Skip to main content

Petikan dari Laman Dr. Maza

Saya siarkan untuk renungan bersama:


Pandangan Dr Mohd Asri Zainul Abidin Tentang Kerajaan-Kerajaan Pembangkang Yang Baru Dibentuk

SOALAN: Apakah pandangan Dr. tentang kerajaan-kerajaan baru yang dibentuk oleh pembangkang; khususnya Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor?

JAWAPAN: “Melihat kepada senario politik yang sedang berlaku dalam negara ini, maka beberapa perkara –setakat ini- mungkin boleh saya ulas seperti berikut:

1) Rakyat patut memuji kepimpinan Kerajaan dan rakyat Kelantan. Mereka terkenal dengan kematangan politik. Walaupun media yang bongkak menghina mereka sebelum pilihanraya berlaku, namun mereka telah berjaya merentasi pilihanraya dengan jayanya –alhamdulillah-. Di kala negeri-negeri lain masih dalam kekalutan, Kelantan tenang dan damai dengan keputusan yang dibuat oleh rakyatnya. Mudah-mudahan itu sebagai tanda bahawa Islam yang dilaungkan di Kelantan benar-benar mendapat keberkatan Allah. Bumi Kelantan adalah antara benteng-bentang umat Islam di negara ini. Wajib kepada seluruh muslimin terus membantu hasrat Islam yang dilaungkan, selagi zahir padanya keikhlasan bukan bertujuan politik semata. Masih banyak ruang yang boleh dilakukan untuk mengangkat imej Islam di negeri berkenaan.

2) Kerajaan Baru Kedah adalah harapan umum agar prinsip-prinsip siasah Islam yang menekankan soal keadilan dan kemaslahatan rakyat dalam dasar dan perlaksanaan benar-benar dapat dihayati. Mereka perlu bernafas panjang dalam mengambil sesuatu tindakan agar kegopohan parti mereka di Trengganu dahulu tidak berulang. Kelihatannya YAB Menteri Besar Kedah yang baru, mampu menonjolkan ciri-ciri kematangan politik yang baik di peringkat awal ini. Pegangan ‘siasah untuk maslahah ummah’ amat penting agar tidak timbul sama sekali unsur politik membalas dendam. Kita berdoa agar prinsip-prinsip Islam yang damai, harmoni lagi adil dapat dikecapi oleh rakyat Kedah menerusi kerajaan mereka yang baru.

3) Kerajaan Baru Selangor sebenarnya berhadapan dengan situasi yang amat sengit. Ini kerana, Selangor adalah negeri maju, rakyatnya mungkin lebih sensitif dan kritis. Kedudukan Selangor yang terdedah kepada dunia yang lebih terbuka, menjadikannya kayu pengukur golongan cerdik pandai sejauh manakah slogan golongan pembaharuan politik ini dapat direalisasikan. Nampaknya tawaran-tawaran Kerajaan Baru Selangor mampu menzahirkan prinsip pemerintah mengutamakan rakyat seperti yang menjadi teras siasah dalam Islam. Kita amat berharap ketelusan dan kejujuran akan menjadikan mereka lebih unggul dibandingkan kerajaan sebelum ini.

4) Ada pun Perak, saya belum dapat melihat perkembangannya. Namun keperibadian yang baik YAB Menteri Besar yang baru mudah-mudahan mengundang pertolongan Allah untuk pentadbirannya.

Sekali lagi saya ingin sebut, seperti yang sering nyatakan dalam berbagai tulisan dan kenyataan saya, bahawa “laksanakanlah keadilan dan ketelusan, di situlah akan lahirnya cinta rakyat dan keberkatan Allah. Jangan ulangi segala bentuk penyelewengan dan kebongkakan yang pernah dilakukan oleh mereka yang lain sebelum ini, kerana pada bongkah, sombong dan tidak telus itu mengundang kebencian rakyat dan kemurkaan Allah”.

Comments

Popular posts from this blog

Nikah Batin

Nikah adalah upacara agama. Ianya adalah sesuatu yang amat suci. Ia adalah permulaan untuk membentuk sebuah keluarga yang sempurna; ayah, ibu dan anak-anak. Lebih besar lagi, persemendaan hasil dari perkahwinan yang sah menjadi asas kepada wujudnya sebuah masyarakat yang berfungsi. Setiap ajaran agama di dunia - lebih-lebih lagi Islam - amat menitikberatkan soal nikah. Tidak cukup dengan pendaftaran sibil, pasangan dinikahkan juga mengikut tradisi masing-masing. Pasangan yang melanggar norma ini, dipandang jelek oleh masyarakat hatta oleh masyarakat barat yang terkenal dengan kemajuan kebendaan. Tapi hari ini, saya dikejutkan dengan berita ini - Nikah Batin - !!! Jika sebelum ini hanya pemberitaan khabar angin tentang nikah batin oleh beberapa ajaran tarikat sesat, tetapi hari ini sudah sampai di mahkamah; bertujuan untuk mengesahkan nikah tersebut. Ringkas sungguh nikahnya. Tidak perlu wali, jurunikah. Hanya bersaksi Allah sahaja. Saya tercari-cari juga dalam kitab-kitab muktabar ber...

Susur Galur Saya

Saya percaya ramai di kalangan kita; apabila ditanya tentang nama-nama nenek moyang hanya dapat menyebut sekadar dua atau tiga lapis sahaja iaitu sekadar tingkatan moyang. Selebihnya? Wallahu a’lam. Bagi kebanyakan orang urusan tersebut tidaklah sepenting mana, tapi bagi sesetengah yang lain susur galur inilah jati diri mereka. Bagi diri saya sendiri, saya bertuah sebenarnya kerana sekurang-kurangnya 13 lapisan saya ketahui iaitu sehingga ke awal abad 17. Senarainya adalah seperti berikut: Nik Bahrum Bin Nik Abdullah bin Raja Ahmad bin Raja Mat bin Raja Abdullah bin Raja Senik bin Raja Kecik bin Raja Mohamad bin Raja Abd Rahman bin Raja Kecil Sulong bin Raja Omar bin Raja Sakti. Manakala di sebelah ibu pula saya adalah anak kepada Nik Syamsiah binti Nik Som bin Raja Senik bin Raja Husin bin Raja Bongsu bin Raja Senik dan seterusnya sebagaimana susur galur sebelah bapa. Setakat ini yang saya belum jelas adalah susur keturunan sebelah Tokku (ibu Nik Abdullah) kerana se...