Skip to main content

Posts

Showing posts from 2008

Intifadah - Doa Maal Hijrah 1430

Khaibar..Khaibar ... Ya Yahuud... Jaishu Muhammad Saufa Ya'uud... Ya Allah, Sesungguhnya kami meletakkanMu di batang-batang leher musuh-musuh kami Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka Ya Allah, Leburkanlah kumpulan mereka. Pecah belah dan kacau bilaukan kesatuan mereka. Goncangkan pendirian mereka Dan hantarkanlah anjing-anjingMu ke atas mereka. Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa. Wahai Tuhan Yang Gedebe. Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka. Ya Allah Ya Allah Ya Allah Wahai Tuhan yang menurunkan kitab Wahai Tuhan yang mengarakkan awan Wahai Tuhan yang menewaskan tentera Al-ahzab Kalahkan mereka.. Kalahkan mereka.. Kalahkan mereka.. Dan menangkan kami ke atas mereka.

Snippet - Post Haji 2008

Alhamdulillah dan syukur lillah Saya dan Ummi telah selamat kembali ke tanah air pada pagi 24 Disember yang lalu. Terima kasih di atas doa kalian semua; membantu memudah urusan kami di sana. Bermula dari Madinah al-Munawwarah sehinggalah ke Kota Mekah, belum pernah semudah dan setenang ini perjalanan yang saya lalui. Sedikit sebanyak mengalami batuk dan selsema adalah asam garam perjalanan di samping kafarah tuhan terhadap hambanya. Alhamdulillah, tidak sesekali rasa tidak selesa tersebut dijadikan alasan untuk bermalas-malasan ke al-Haram. Perjalanan itu juga menemukan saya dengan beberapa orang yang boleh dijadikan sahabat (di samping beberapa orang yang mungkin hanya sekadar kenalan). Tapi itulah beberapa hakikat kehidupan yang saya temui di sana. Tidak semua yang bertalbiah bersama kita, berkongsi cita rasa yang sama dengan kita termasuk dalam urusan ke al-Haram. Dan saya bersyukur mempunyai Ummi yang memberi semangat kepada saya ketika saya lemah dan memimpin saya ke arah kebaika

Catatan Terakhir Sebelum Berangkat

Saya kira entri ini adalah yang terakhir sebelum menjelangnya tahun baru. Saya mohon untuk mengundurkan diri barang seketika dari dunia siber. Mohon diberi kekuatan untuk menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s. Jika saudara pernah membaca catatan saya bertarikh 1.1.2008 dahulu, tentu saudara faham maksud saya. Alhamdulillah dan Insya Allah, saya dan Ummi adalah antara 27,000 rakyat Malaysia yang di beri kouta untuk mengerjakan Haji musim 1429 hijrah ini. Kami akan bertolak ke sana pada 8 November dan dijadulkan balik semula pada 24 Disember 2008. Antara takut dan harap. Itulah perasaan saya ketika ini. Takut; apakah penyerahan diri ini akan diterima Allah, dan harap; semoga dikurniakan haji yang mabrur. Dan tentunya doa dari kalian saya tagih sebagai penambah bekalan ke sana. Esok, saya dan Ummi akan mula bercuti dari kerja-kerja pejabat. Hasratnya selain menyiapkan bekalan fizikal adalah untuk berkunjung ke rumah saudara-mara yang keuzuran, bertemu mata; entah-entah kali terakhir (samada m

Tahniah untuk Tan Sri Zaki

Selepas berhadapan dengan teka-teki dan kontroversi, akhirnya Ketua Hakim Negara yang ke 12, YAA Tan Sri Zaki Azmi mengangkat sumpah jawatan semalam. Dan saya menyambut baik ucapan sulong sebagai Ketua Hakim untuk mereformasikan bidang kehakiman negara. Sebegaimana yang pernah saya luahkan sebelum ini, bidang kehakiman adalah satu dari tiga organ terpenting negara. Ianya diiktiraf oleh perlembagaan negara. Di mana jatuh dan bangunnya negara tertakluk antaranya kepada penghormatan dan pengiktirafan rakyat terhadap sistem kehakiman. Saya tidak memandang kaitannya dengan UMNO sebelum ini sebagai halangan untuk menjadi Ketua Hakim terbaik. Apa yang saya akan lihat adalah berdasarkan keputusan dan tindakannya selepas ini. Saya percaya YAA tidak akan meninggalkan legasi yang tidak baik terhadap dirinya melainkan dengan membuat keputusan berasaskan kepada undang-undang dan fakta. Cerita selanjutnya di sini .

Snippet - Perlantikan Hakim

Rasanya tidak terlewat untuk saya mengucapkan tahniah kepada YAA Ketua Hakim, YAA Hakim Besar Malaya dan YAA Presiden Mahkamah Rayuan yang baru. Walau apapun prasangka massa, saya percaya tindakan serta keputusan yang diambil oleh YAA semua berasaskan fakta dan undang-undanglah yang akan menentukan legasi bagi generasi akan datang. Dari tiga YAA tersebut, saya hanya pernah dan sempat hadir di hadapan YAA Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria sahaja semasa YAA bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu kira-kira 9 atau 10 tahun yang lampau. Malah boleh dikatakan kerjaya undang-undang saya bermula di hadapan YAA. Permohonan Saman Pemula di bawah Seksyen 36(2) (a) & (b) Akta Profession Undang-Undang 1976 (short call) saya telah di dengar oleh YA Dato' Arifin; 'mention' saya yang pertama beberapa hari kemudian berlaku di hadapan beliau (yang mengajar saya bahawa selain undang-undang, peguam perlu juga mempunyai pengetahuan lain termasuklah bila tarikh anak sulong pengajar say

Cerpen Tah Apa-Apa 2

"Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian. Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri. Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya

Cerpen Tah Apa-Apa 1

Politik baru YB J Saya salin dari laman web The Malaysian Bar . Wednesday, 15 October 2008 06:51am © Mingguan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran) PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J sukar dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga Cha di ibu kota, fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi lagi. Entah mengapa baru sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak pasti sama ada pemandunya, Ahmad, menyedari gelora jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun, peduli apa, YB Josephine berbisik sendirian. Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang kepentingan kaumnya vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad menghormati pendiriannya, walaupun dilihat anti- Melayu, anti-Islam sebagai hak asasi t

Analisa Awal Pengumuman Pak Lah

1. Hari ini gegak gempita dunia siber dengan berita dan ulasan berkenaan keengganan Perdana Menteri mempertahankan jawatannya. Setelah berdolah-dalih hampir setengah tahun Pak Lah akhirnya membuat pengumuman tersebut walaupun masih ada saki baki penyokong merayu untuk sebaliknya. 2. Serentak dengan pengumuman tersebut, beberapa calon sudah menwarkan diri dengan berbagai jawatan yang ada. Terakhirnya adalah tawaran oleh Ketua Penerangan UMNO untuk dipilih sebagai Timbalan Presiden. Besar jawatan tersebut; seakan otomatik menjadi Timbalan Perdana Menteri. 3. Agaknya yang paling gembira dengan pengumuman tersebut Tun Dr. Mahathir. Ada peluang untuknya mengisi borang UMNO semula. Tapi saya percaya Tun tidak akan berhenti setakat itu sahaja kerana seorang lagi masih berleluasa. Khairi menantu Pak Lah; lawan Mukhris merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO. 4. Setakat ini juga (jika cukup pencalonan) perebutan tetap berlaku bagi kerusi Presiden. Semestinya antara Dato' Najib dan Ku Li. Atau mun

Snippets - Post Raya 1429

1. Dengan berakhirnya Ramadhan dan menjelangnya Syawal, kita telah memasuki bulan-bulan haram iaitu Syawal, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan Muharram. Ianya juga menandakan bahawa bulan-bulan haji telah menjelma dan selepas ini umat-umat Islam akan berduyun-duyun pula ke sana menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s. 2. Sepanjang bulan Syawal ini juga, umat Islam berpuasa selama enam hari bagi melengkapkan ibadah puasa sebulan yang lepas. Saya dan Ummi berpuasa lebih awal pada tahun ini bagi mengelakkan 'jam' di penghujungnya. 3. Ada beberapa jemputan kahwin yang tidak sempat saya penuhkan pada hari Sabtu lepas. Saya hanya sempat bertandang ke 5 tempat sahaja. Itupun tidak menjamah hidangan; hanya sekadar minum air. 4. Buat pertama kali saya berpeluang berhari raya secara 'YM' dengan adik di UMS. Rupanya canggih dunia sekarang. 5. Hari ini, hari pertama saya masuk pejabat. Suasana berkerja masih belum terasa sangat sebab masing-masing masih bercerita tentang jamuan raya yang tak hab

Deklarasi Mimbar Khutbah 'Idil Fitri 1429

"Hari ini timbul semangat ingin membuat perubahan; kerana tidak senang dengan keadaan yang berlaku sekarang. Tetapi wahai umat Islam, Ingatlah di mana letaknya Islam. Sekiranya Islam ditinggalkan lagi, maka sama sahaja buruknya dan boleh jadi lebih buruk kalau kita tidak berhati-hati dan mengikut hati yang tidak kembali kepada petunjuk Allah."

Minal 'Aidiin Wal Faizzin... Kullu 'Aamin Wa antum Bi Khair

Assalamualaikum wrh., Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Idil Fitri kepada seluruh umat Islam di mana jua berada. Semoga kedatangan hari raya ini membawa sinar baru dalam kehidupan kita. Dan semoga Ramadhan yang bakal beransur akan menjengah lagi pada masa akan datang. "Taqabbalahhu minna Wa minkum" "Minna wa minkum taqabbalahullah Ya Karim" Ikhlas dari kami: Nik Bahrum Bin Nik Abdullah Khairiah binti Mohamed Nik Asma Madiha Nik Ahmad Madhi Nik Asma Majida Nik Ahmad Majdi p.s. : Buat kali pertama adik beradik seramai 16 orang tidak dapat berkumpul di hari raya tahun ini; Nik Khairi berkelana di London dan Nik Nur Syuhada berkampung di UMS. Ketahuilah, doa untuk kalian tetap mengiringi Solat kami. Semoga berjumpa lagi di lain ketika.

Lailatul Qadar

Disalin dari Berita Harian Online Persoalan Agama: Alam semesta beri tanda kedatangan lailatulqadar Bersama Jakim Saya ingin tahu mengenai lailatul qadar yang pada pandangan saya bercampur baur antara fakta dan mitos. Bagaimana hendak tahu lailatulqadar berlaku. Melalui pembacaan dan pandangan sesetengah orang, antara tanda lailatulqadar ialah suasana ketika itu hening dan tenang, malah ada menyatakan pokok tunduk ke bumi dan air telaga beku. Betulkah? Apakah yang sebenarnya berlaku? Salahuddin Samat Bagan Dalam, Pulau Pinang Lailatulqadar ialah satu malam yang amat agung pada setiap Ramadan. Ia juga malam perhubungan mutlaq antara bumi dan alam al-Malaul-A'la. Pada malam itu juga diturunkan al-Quran keseluruhannya ke langit dunia sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah "Sesungguhnya Kami sudah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul qadar." (Al-Qadr:1) Mencari malam lailatul qadar adalah sunat kerana Rasulullah SAW menu

Tahniah Untuk Dato' Zaid

1. Saya mengucapkan tahniah di atas keputsan muktamad perletakan jawatan Dato' Zaid Ibrahim dari jawatan menteri Kabinet. Keputusan itu menunjukkan betapa besarnya jiwa Dato' Zaid dalam hal-hal kepentingan umum. 2. Keputusan itu juga menunjukkan satu contoh "Walk of the Talk" yang paling jelas. Dato' bukan sahaja bercakap mengenai kepincangan ISA tapi bertindak menentangnya. 3. Dalam sejarah Malaysia moden, inilah kai pertama saya dapat melihat seorang menteri kabinet meletak jawatan di atas prinsip. Sebelum ini ramai menteri yang bercakap semata, tapi masih melonggok di dalam kabinet menunggu masa di pecat. 4. Walaupun fahaman politik saya berlainan dengan Dato', tapi saya bangga kerana anak Kelantan sekali lagi melakar sejarah. TAHNIAH DATO ZAID IBRAHIM.

Snippets - Ikut Suka Aku

1. Saya boleh faham kenapa Raja Petra dan YB Teresa ditahan di bawah akta ISA. 2. YB Teresa Kok adalah orang politik yang ada-ada saja tegurannya. 3. Raja Petra pula cuba bermain politik dengan tulisannya yang perlbagai. 3. Yang paling saya tak faham adalah penahanan Tan Hoon Cheng, wartawan Sin Chew Daily. Kalau tahan Editor Sin Chew fahamlah saya. 4. Bagi saya dia hanya menjalankan tugas yang diamanahkan oleh majikannya. Bukan salah beliau kerana melapurkan apa yang didengar dan difahaminya. 5. Kalau nak kira ramai lagi yang menulis lebih teruk dari itu. Tak muat kem Kemunting. 6. Saya belajar juga pasal ISA dulu. Ia sepatutnya bersifat 'preventive' dalam menjaga keharmonian negara. 7. Tapi nampaknya kerajaan sekarang menggunanya dalam keadaan 'defensive'. 8. Betullah kata orang ISA adalah Ikut Suka Aku.

Snippets - Pre 16/9

1. Saya membenci USA dan presidennya atas apa yang mereka telah buat ke atas umat Islam sedunia. Mereka telah menyokong negara haram Israel, menyerang Afghanistan serta menghancurkan bumi Iraq (antara lainnya). 2. Saya menyedari tidak mungkin akan menang kalau saya berperang keseorangan melawan USA kerana saya kekurangan senjata. Tetapi sejarah telah mencatatkan bahawa USA tetap dibenci. 3. Dulu Rusia juga saya benci kerana fahaman komunisnya. Ia telah menyerang dan menjajah Afghanistan beberapa lama. 4. Kemudian Rusia jatuh diperkudakan USA. Rusia seolah-olah hidup dalam buangan. Timbul rasa kasihan dalam hati saya. 5. USA mengalami banyak masalah. Luar dan dalamannya, ia seperti menunggu masa untuk berkubur. 6. Rusia tiba-tiba menjadi kuat semula, diserangnya Georgia tanpa belas walaupun ditentang USA. 7. Misalan kata, Rusia menyerang USA dan berjaya. Apa perasaan saya? 8. Tentu sahaja saya suka kerana musuh tradisi saya kalah. 9. Tapi saya tidak suka peperangan. 10. Tentu sahaja say

Makan Dalam Bulan Ramadhan

1. Seksyen 26 Qanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan memperuntukkan "Sesiapa yang tidak harus berbuka puasa pada hukum syara' didapati makan atau minum atau menghisap sebarang tembakau atau seumpamanya pada siang hari dalam bulan Ramadhan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya denda tidak melebihi RM1000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya." 2. Seksyen tersebut mempunyai beberapa intipati iaitu: Seseorang yang tidak harus berbuka puasa pada hukum syara' didapati makan/minum/ menghisap rokok dan seumpamanya pada siang hari dalam bulan Ramadhan 3. Jelas di sini pada intipati pertama, hukum syara' memainkan peranan yang utama yang memerlukan pendakwa membuktikan individu tersebut tidak diharuskan oleh syara' untuk tidak berpuasa. Antara sebab syara' un

Snippets - Di Ambang Ramadhan

1. Cuti 3 hari ini saya danUmmi mengunjungi saudara-mara yang akan mengerjakan Umrah di bulan Ramadhan. Pohon untuk menumpang doa mu'tamirin dipanjangkan di sana nanti agar azam 2008 saya dan Ummi dahulu dikabulkan Allah. Antara yang akan ke sana selama sebulan Ramadhan adalah Che (Ibu Ummi), Pok Lan, Mak Cik Aji dan Che Su. Semoga semuanya mendapat umrah mabrurah. 2. Saya dan Ummi sempat mengikuti Forum Merdeka Pelaksanaan Undang-Undang Pasal 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan semalam. Kehadiran peserta agak ramai memenuhi Dewan Putri Saadong, Hotel Grand Riverview. Laporan program boleh diikuti di sini . Tapi bagi saya, kenapa rintihan 152 dan 153 ini hanya timbul selepas PRU12? Apa yang telah dibuat oleh UMNO sehingga begitu rupa kesannya? 3. Sempena sambutan hari Kemerdekaan Malaysia kali ke 51, semalam kami-adik-beradik-dalam-pagar menganjurkan BBQ Merdeka. Majlis bermula selepas Isya' sehingga jam 12 malam. Kanak-kanak paling suk

Roda Anwar Yang Berputar

Sejak kecil saya minat sejarah. Sepanjang hidup saya matapelajaran sejarah adalah subjek yang paling saya minat. Kuliah Maghrib saya yang satu-satu itupun sejak sepuluh tahun dahulu berkaitan sejarah walaupun namanya 'sirah'. Sejarah jugalah yang memungkinkan saya menguasai bidang undang-undang. Bagi saya sejarah akan sentiasa "repeat itself" dan setiap yang berlaku adalah ibarat roda; sentiasa berputar. Sehari berada di bawah, bersentuhan dengan lecah, najis dan tanah. Dan pada ketika yang lain tentunya akan berada di atas pula. Dan nampaknya begitulah roda sejarah DS Anwar Ibrahim. 10 tahun yang lampau beliau telah dihina dan diperlakukan sebegitu rupa. Dari seorang bekas timbalan perdana menteri beliau diheret ke penjara, terpukul hina dengan tuduhan yang amat jijik. Kawan-kawan yang ramai menjauhkan diri. Dan ramai yang meramalkan putaran rodanya akan berakhir di situ. Tapi memang 'Sunnah' Allah. Yang hina tidak selamanya hina dan yang di atas tidak selama

Olimpik 2008 Menutup Tirai

Dengan penyerahan bendera Olimpik kepada wakil bandaraya London semalam maka berakhirlah sudah Olimpik edisi 2008. Menunggu untuk bertemu lagi di kota London dengan debaran memecahkan rekod ciptaan manusia hebat. Juga untuk menguji samada penguasaan China mengatasi USA, Rusia dan kuasa-kuasa besar sukan lain adalah kerana kehebatan mereka ataupun kerana medannya di kampung halaman sendiri. Dengan berakhirnya Olimpik 2008 juga, kita dapat melihat rendah tingginya kemampuan ahli sukan kita berhadapan dengan atlet lain samada dari segi jasmani dan rohani. Apa yang pasti 'kejayaan' membawa pulang sebutir pingat berkilau perak seakan tidak memadai dengan jutaan ringgit yang telah dihabiskan sebelum ini. Rata-rata masyarakat kita membincangkan keharusan anugerah 'Datuk' kepada Chong Wei serta hadiah RM300,000 dan pencen RM3000 sebulan kepadanya; tanpa memikirkan kekecewaan rakyat menyaksikan betapa mudahnya beliau menyerah pada perlawanan akhir badminton sedangkan harapan ra

Misbun

Sejak kecil saya minat bermain badminton. Walaupun saya boleh dikira bukan seorang 'ahli sukan' kerana saya tidak boleh bermain bola sepak, takraw dan seumpamanya tetapi suatu ketika dahulu kalau bermain badminton berpeluhlah juga lawan menghadapi saya. Minatnya saya dengan badminton; sejak kecil lagi satu-satunya alat sukan yang saya sentiasa miliki adalah raket badminton. Saya pernah berjaga sehingga 2.30 pagi menyaksikan pasukan Malaysia bermain. Sukan-sukan lain? Jangan harap. Entah kebetulan atau tidak, apabila disebut badminton, terbayanglah satu nama, "Misbun". Memang sejak kecil kalau bermain badminton, dalam berebut-rebut untuk dapatkan nama pemain kesayangan, nama Misbunlah yang sentiasa bermain dibibir. Memang nama Misbun adalah lagenda badminton negara lebih-lebih lagi dengan kejayaan Lee Ching Wei merangkul pingat perak Olimpik 2008. Lebih-lebih lagi saya kagum dengan semangatnya yang teramat dedikasi dalam kerja untuk melahirkan jaguh badminton peringkat

Mabukkah Orang Ini?

Soalan ini saya tujukan kepada seorang penulis terkenal. Yang ada blog sendiri. Dan yang sepatutnya faham tentang sensitiviti rakyat terutamanya dalam hal agama. Penulis blog yang saya maksudkan itu adalah orang ini . Dia menulis berkenaan kekecewaannya di atas pembatalan Konsert Avril Lavigne yang dijadualkan dua hari sebelum sambutan merdeka sebagaimana petikan arahan dari kerajaan yang dipetiknya. Bagi saya nak tulis apa pun berkenaan dengan konsert tersebut, tulislah. Samada nak sentuh berkenaan kesesuaiannya dengan budaya, perpaduan, keseniaan dan warisan Malaysia; silakan!!! Tapi apabila dia sudah sentuh berkenaan dengan agama, apatahlagi dalam bentuk menghina. Dia memang kurang ajar. Ayat-ayat terakhirnya memang celupar, "Maybe we should learn to wear the turbans and learn how to ride camels from now. Remember, Hadi is the PM in waiting." Saya ingin bertanya apa kaitan dan apa niat dia menulis begitu yang mengaitkan bantahan terhadap konsert dengan pemakaian serban at

Quote Of The Day

"For me, Islam comes first. I am a Muslim first, a party member second. A Muslim first, a lawyer second. A Muslim first, an MP second". Wow!! What a quote to bless my day.... Rest of the story here .

Pindaan Undang-Undang Syariah

Saya menyambut baik saranan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz sebagaimana yang dilapurkan hari ini dalam Berita Harian Online , yang antara lain menyebut bahawa Undang-Undang Syariah negara termasuk di negeri-negeri perlu dipinda semula berikutan kadar hukuman serta penaltinya yang dianggap sudah lapuk serta tidak dapat mencegah berlaku pelbagai salah laku dan perlu kepada perubahan Saya menulis ini dengan menyedari hakikat bahawa Undang-Undang Syariah yang ada itu di atas formula '356' adalah bertentangan dengan hukuman sebenar syariah di bawah hukum hudud, qisas dan ta'zir. Tetapi sebagaimana yang dapat difahami dari kaedah "sesuatu yang tidak boleh diperolehi semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya', saya amat-amat bersetuju dengan saranan tersebut. Kita boleh bayangkan betapa ketinggalannya undang-undang Syariah yang dienakmenkan dalam memenuhi objektif hukuman iaitu untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan ju

Baru 9 Tahun

Tepat-tepat 9 tahun yang lampau, saya memasuki alam baru. Telah saya tinggalkan iblis menangis di pintu masjid yang saya bina. Bersama Ummi. Betapa berat tanggungjawab yang dihadapkan ke atas kepala saya; ketika itu saya mengeluh kesah, kurang senyuman walaupun bergelar raja sehari. Betapa tidak, beberapa bulan sebelum hari perkahwinan itu, saya yang baru menyelesaikan pengajian, menjalani latihan guaman serta baru bekerja selama dua bulan, tiba-tiba meletakkan jawatan untuk bekerja sendiri. Memang betul-betul bekerja sendiri sehinggakan kerja mendirikan dinding bilik, mengecat, memasang meja, memasang karpet -sekadar menyebut beberapa perkara- tangan sayalah yang menggerakkannya sehingga boleh dipanggil sebuah pejabat. Dalam kecelaruan pekerjaan itulah saya berkahwin. Bayangkan!!! Tanpa pendapatan tetap, dengan Ummi juga menjalani latihan guaman tanpa elaun. Rasaya baru kelmarin sahaja peristiwa itu berlalu. Tapi betullah rezeki Allah boleh datang dari sumber yang tidak terduga. Kurni

Kesudahannya Forum Dibatalkan

Sebelum ini saya ada bertanyakan tentang kesudahan isu murtad di negara kita. Berkebetulan pada masa yang sama Majlis Peguam Malaysia dalam rangka untuk menganjurkan satu program yang menyentuh isu pemelukan agama Islam. Walaupun mendapat tentangan masaa termasuk PAS tetapi mereka tetap ingin meneruskannya. Kesudahannya? Saya mendapat khabar bahawa forum tersebut terpaksa dihentikan awal atas nasihat keselamatan. Saya tidak akan mengulas panjang pro dan kontra penerusan atau pembatalan forum tersebut kerana bagi saya secara dasarnya sebarang perbincangan, forum atau majlis penerangan adalah bagus untuk pengetahuan. Tetapi pada masa yang sama ianya tidak patut diteruskan jika niat penganjurannya terpesong dari objektif penubuhan penganjurnya. Saya mencadangkan agar pada masa akan datang, isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diuruskan/dipegerusikan oleh jawatankuasa Islam kerana bagi saya orang yang bukan Islam tidak berhak sedikitpun untuk bercakap hal berkaitan Islam s

Apa Kesudahannya Murtad

Saya telah menulis berkenaan dengan isu ini beberapa kali. Pada mulanya berkaitan kes Subashini dan kemudiannya berkatian kes Siti Fatimah . Setiap kali isu ini timbul setiap kali itulah hati saya menggelegak. Kes terbaru adalah sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam yang menolak rayuan seorang wanita terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk satu pengisytiharan bahawa dia (saya guna dia bukan beliau) berhak untuk meninggalkan Islam serta memeluk Kristian. Sekali lagi, sebagaimana kebanyakan kes-kes berkaitan isu yang sama keputusannya adalah 2-1. Bermaksud hakim yang beragama Islam menolaknya manakala ada seorang lagi hakim (bukan Islam semestinya) menerima. Antara lain, YA Hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut atas alasan - pada pendapat saya - teknikal bilamana dia masih lagi menggunakan nama asalnya sedangkan dia telah menukar namanya kepada nama Islam apabila memeluk agama Islam. Dalam bahasa yang mudah dia sepatutnya me

Double Celebration Untuk Ummi

Sebagaimana yang telah saya khabarkan sebelum ini, hari ini saya sekeluarga akan berangkat ke Kuala Lumpur. Pada mulanya saya berhasrat untuk ke sana berdua sahaja dengan Ummi memandangkan Madiha, Madhi dan Majida bersekolah. Tetapi Ummi berpandangan lain. Katanya, "Semua mesti pergi. Dah lama Ummi simpan angan-angan nak bergambar sekeluarga dengan baju graduasi itu.". Oleh kerana alasan itu, saya mengalah walaupun anak-anak terpaksa ponteng sekolah beberapa hari. Anak-anak pulak pantang dengar 'berjalan' pasti nak ikut. Dan sebagai tambah nilai rehlah, saya berhasrat membawa mereka ke tempat ayah dan Ummi bertemu iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, taman ilmu tersohor di Gombak. Sekurang-kurangnya dapat memberi suntikan motivasi untuk belajar lebih rajin. Hari ini juga, 4 Ogos adalah hari ulang tahun kelahiran Ummi ke 34. Jadi macam "double celebration"lah pula. Cumanya hari ini kena buat sambutan di atas Citra sepanjang jalan ke Kuala Lumpur. Had

Photos of Rehlah Mahabbah

As promised to pemudapc.blogspot, Al-Khazaain present you photos of the Rehlah. No words needed.

Snippets - Post Rehlah Mahabbah DPPNK 2008

1. Alhamdulillah, saya selamat sampai ke rumah lebih kurang pukul 9.00 malam selepas menghantar pemuda-pemuda Pengkalan Chepa yang bersama dengan saya ke rumah masing-masing. Sebetulnya sepanjang perjalanan dari Lumut ke Ipoh dan dari Ipoh ke Kota Bharu saya duduk sahaja di bahagian penumpang. Sedap juga rupanya pakai "drebar". 2. Pagi ini saya buat sejarah peribadi berjalan kaki dari hadapan Balai Islam Lundang, melalui Pasaraya Billion, masuk ke Jalan Dusun Muda sebelum sampai di pejabat di Jalan Pengkalan Chepa. Agakan saya lebih kurang 6-7 kilometer juga jauhnya. Saya berjalan kaki bukan protes minyak mahal, tapi saja-saja nak test ketahanan kaki. Alhamdulillah tidak ada masalah. Tapi petang nanti, untuk mengambil kereta yang di tinggalkan untuk servis, kena tumpang oranglah. 3. Hari ini, saya masuk pejabat. Tapi hari ini ajelah kerana esok saya akan bertolak ke Kuala Lumpur bersama Ummi dan anak-anak untuk menghadiri Majlis Graduasi di Universiti Malaya pada 5 Ogos n

Rehlah Mahabbah DPPNK

Alhamdulillah dengan izin Allah, saya bersama 11 orang pemuda dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa, selamat sampai di Teluk Dalam Resort, Pangkor lebih kurang pukul 7.30 petang semalam. Kami kemudiannya berkumpul besama lebih 120 orang ahli dewan pemuda PAS kawasan-kawasan seluruh Kelantan untuk menjayakan program Rehlah Mahabbah DPPNK 2008 bermula 31 Julai (semalam) sehingga 2 Ogos 2008 (esok). Ini adalah kali kedua saya sampai di Pulau Pangkor dan kali pertama di resort ini . Apa yang dapat saya lihat, tempatnya begitu selesa sekali sebagai tempat "untuk meraikan petugas-petugas pilihanraya pemuda", sebagaimana disebut oleh YB Ketua DPPNK dalam ucapannya semasa taaruf semalam. Program pagi ini dimulakan dengan Solat dan Kuliah Subuh secara berjemaah. Sebentar lagi acara sukaneka dan sukan akan dimulakan dengan beberapa acara telah diatur. Harap-harap DPPPC akan membawa pulang beberapa hadiah yang akan disampaikan malam ini sempena dengan majlis makan malam bersama

Isra' Dan Mi'raj

Saya mengucapkan selamat meraikan ulang tahun Isra' dan Mi'raj Rasulullah (s.a.w.) yang terkandung di dalamnya berbagai hikmah dan pengajaran bagi umatnya. Jika mahu di kaji satu persatu nescaya tidak terkupas dan tiada keupayaan kita yang lemah kemahuan ini. Walau apapun, bagi saya Isra' dan Mi'raj Rasul dapat memberi panduan bagi kita untuk mengenali manusia yang berjiwa Abu Bakar Al-Siddiq dan berjiwa Abu Jahal. Bagi saya Isra' dan Mi'raj Rasul memberi pengajaran jelas bahawa di samping ajaran Islam yang boleh diterima akal (lojik) terdapat juga ajaran agama yang hanya Allah saja mengetahui. Contohnya, kenapa basuh muka dahulu sebelum basuh kaki semasa berwuduk? Kenapa tawaf Baitillah perlu 7 kali pusingan? Kenapa itu dan kenapa ini...! Cuma jenis manusia sahaja yang banyak soal. Bagi mereka setiap perkara perlu alasan yang boleh diterima akal. Selagi tidak berjumpa alasan tersebut atau tidak selari dengan ilmu mereka, ajaran agama tersebut tidak boleh diteri

Memang Betul Gila Talak

Tergelak saya membaca beberapa berita utama hari ini - Utusan Online , Berita Harian - yang menyiarkan tentang tawaran Datuk Seri Tajol Rosli untuk PAS dan UMNO bergabung membentuk kerajaan Negeri Perak. Cantik punya tawaran iaitu dengan mengekalkan menteri besarnya dari PAS dan boleh berunding pula untuk mengisi jawatan exco. Oh yaa... satu lagi, beliau tidak akan menduduki barisan kepimpinan, cukup dengan jadi anggota kerajaan biasa saja.... POOOORAH!!!! Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Kalau tidak silap saya, UMNO Perak sebelum ini begitu beriya-iya menyatakan kerajaan UMNO akan ditubuhkan selewat-lewatnya 31 Julai 2008. Apa dah jadi? Sehingga terpaksa memujuk PAS pula. Atau adakah sudah terkena pukulan Munajat Rakyat Perak baru-baru ini? Bagi saya cukup-cukuplah dengan apa yang telah berlaku setakat ini. Tinggalkanlah politiking sehingga musim pilihanraya akan datang. Rakyat telah menunjukkan mandatnya. Hormatilah keputusan rakyat tersebut. Nanti sampai masa tagihlah simp

Glem Night Mak Nyah

Seingat saya, tidak pernah saya memandang rendah golongan pondan (lelaki bernaluri lembut); kerana mereka juga mahkluk Allah swt. Soal mereka berperasaan lelaki atau wanita, itu adalah naluri semula jadi mereka. Pendek kata sebagaimana kita mempunyai hak sebagai warganegara dan umat Islam, begitulah juga mereka. Bermaksud, saya sentiasa meraikan mereka seadanya, tanpa perlu terikut-ikut dengan gaya percakapan atau bahasa tubuh mereka. Dan saya berjaya "survive" berkawan dengan mereka semasa di UIAM samada dalam urusan pembelajaran ataupun sosial. Pendek kata tiada masalah sedikitpun. Tetapi rupanya ada sesetengah golongan tersebut yang lupa diri dengan hakikat penciptaan diri mereka sehingga ada yang melebih-lebihkan naluri kewanitaan mereka dan seakan membiarkan kecintaan terhadap bentuk tubuh wanita sehingga sanggup membuat suntikan, pembedahan dan sebagainya; mungkin sekali pandang kalah wanita sejati. Itulah yang saya rasa dan saya lihat malam Sabtu yang lepas. Kebetulann

Muzakarah: Kenyataan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan

Adakah Kita Mahu Ditendang Kali Kedua Tuesday, 22 July 2008 Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong penuh pendirian Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS mengenai isu muzakarah PAS-UMNO. DPPNK menganggap bahawa isu muzzakarah ini hanyalah agenda politik UMNO untuk turut mengheret PAS menanggani masalah dalaman UMNO yang secara nyata telah ditolak oleh rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu. Kenapa baru sekarang pemimpin UMNO sibuk dengan isu muzakarah, sedangkan muzakarah ini telah dicadangkan oleh PAS sejak sekian lama tapi tidak pernah disambut oleh UMNO. PAS pernah menghantar surat rasmi kepada UMNO untuk mengadakan muzakarah tapi tidak disambut oleh UMNO. Kenapa semasa UMNO kuat suatu ketika dahulu pemimpin mereka tidak menyambut cadangan muzakar

Dah Lupa Ke? Masih Berseronok?

Kita telah meninggalkan perang PRU12 lebih kurang 4 bulan yang lalu. Kalau tidak ada aral bahaya, mengikut kiraan perlembagaan, dalam 4 tahun setengah lagi kita akan berhadapan pula dengan PRU 13. Mungkin ramai yang melihat ianya masih jauh. Suasana sekarang adalah untuk meraikan kemenangan. Atau untuk bermain politik. Sehingga kita lupa 4 tahun setengah tetap akan datang. Pejam celik pejam celik, kita sudah tidak mempunyai masa yang cukup lagi. Apa yang ingin saya sentuh adalah berkenaan dengan berita ini . Saya tidak nampak di mana-mana hatta sebaran rasmi parti pun menyentuh perkara ini. Sedangkan isu daftar pemilih adalah isu yang penting. Dan antara yang terpenting. Jika sebelum ini kita sanggup menghabiskan wang yang bukan sedikit untuk urusan daftar dan bantah; dan kita telah berjaya dalam PRU 12 lantaran itu. Apakah kita tidak mengambil pengajaran PRU11, sehingga kerajaan Islam Kelantan dibezakan dengan 1 kerusi sahaja antara memerintah dan tidak, baru kita termengadah? Lebih d

Syabas Tuanku

Saya amat berbesar hati membaca berita ini: Keputeraan Tuanku Mizan tanpa darjah kebesaran Oleh Nor Aziah Jaafar - Utusan Malaysia Online KUALA TERENGGANU 19 Julai – Buat pertama kali, Istana Terengganu tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran negeri sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke-46 yang disambut esok. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau diberitahu bahawa tiada istiadat penganugerahan kepada penerima darjah dan pingat kebesaran pada sambutan esok oleh Istana Terengganu, kira-kira sebulan lepas. ‘‘Saya tidak diberitahu mengenai sebab mengapa tiada pengurniaan darjah dan pingat kebesaran tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. Bagaimanapun, beliau tidak pasti jika terdapat kemungkinan pemilihan penerima dan istiadat pengurniaan akan diadakan selepas ini. ‘‘Setakat ini tiada penerima untuk darjah dan pingat kebesaran, kemungkinan istiadat akan dibuat se

Ulasan Awal Debat

Setelah meneliti dengan agak teliti dan menjauhkan prasangka, saya berpendapat YB Menteri Penerangan gagal dalam mempertahankan kerajaan BN dalam debat yang baru berakhir sebentar tadi. Saya kira dalam ketiga-tiga pusingan debat, beliau gagal menerangkan secara objektif rasional kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak selepas beberapa bulan pilihanraya walaupun telah berjanji tidak akan menaikkannya semasa kempen pilihanraya. Sebagaimana yang telah saya ulas pagi tadi bahawa saya menunggu hujah yang meyakinkan dari kedua-dua pendebat. Saya tidak melihat langsung dari kehebatan cara penyampaian tetapi lebih kepada isi. Saya juga berpendapat, YB Menteri Penerangan telah melakukan kesilapan yang teramat besar apabila menyentuh perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan tajuk debat seperti cuba mengungkit kisah-kisah lama yang berbaur politik. Saya dapat melihat ada beberapa orang telah menepuk dahi sambil tersenyum sinis apabila YB Menteri Penerangan mengungkit kisah demontrasi t