Skip to main content

Pindaan Undang-Undang Syariah

Saya menyambut baik saranan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz sebagaimana yang dilapurkan hari ini dalam Berita Harian Online, yang antara lain menyebut bahawa Undang-Undang Syariah negara termasuk di negeri-negeri perlu dipinda semula berikutan kadar hukuman serta penaltinya yang dianggap sudah lapuk serta tidak dapat mencegah berlaku pelbagai salah laku dan perlu kepada perubahan

Saya menulis ini dengan menyedari hakikat bahawa Undang-Undang Syariah yang ada itu di atas formula '356' adalah bertentangan dengan hukuman sebenar syariah di bawah hukum hudud, qisas dan ta'zir. Tetapi sebagaimana yang dapat difahami dari kaedah "sesuatu yang tidak boleh diperolehi semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya', saya amat-amat bersetuju dengan saranan tersebut.

Kita boleh bayangkan betapa ketinggalannya undang-undang Syariah yang dienakmenkan dalam memenuhi objektif hukuman iaitu untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan juga ingatan kepada masyarakat umum. Bayangkan sebagai contoh, hukuman di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985 bagi kesalahan zina seksyen 11, apabila disabitkan dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5000 atau kedua-duanya dan disebat enam kali

Itu adalah maksimum hukuman yang boleh dikenakan.

Contoh lain adalah pada seksyen 23 bagi kesalahan galakan maksiat iaitu menganjur, memujuk atau menggalakkan mana-mana orang melakukan apa-apa pekerjaan maksiat adalah bersalah dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak lebih empat bulan atau kedua-duanya.

Sahaja!!!

Bagi saya, apalah sangat nilainya hukuman-hukuman tersebut jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, sementelahan pula ianya telah digubal 23 tahun yang lampau, ketika mungkin wang sebanyak RM500 adalah merupakan satu jumlah yang besar.

Tapi tentu sahaja untuk membuat pindaan terhadap undang-undang syariah tersebut beberapa undang-undang lain perlu juga dipinda. Yang paling penting bagi saya adalah kekangan yang terdapat di dalam Muslim Courts (Criminal Jurusdiction) Act, 1965 dengan pindaan terakhir pada tahun 1984. Akta inilah yang mengekang bidangkuasa syariah sebenarnya dengan hanya menetapkan formula 356; penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM5000 dan sebat tidak lebih 6 kali sebatan atau gabungan kesemuanya.

Akta inilah yang perlu di pinda.

Menyedari hakikat kekangan itulah, pernah Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa tahun 2007 meluluskan usul agar Kerajaan Negeri Kelantan meminda Enekman Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985 dengan memperuntukkan hukuman maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang bagi setiap kesalahan yang disenaraikan di bawah enakmen tersebut.

Saya tidak pasti apa jadi kepada usul yang diluluskan sebulat suara itu.

Saya berpendapat ini adalah masa yang terbaik untuk membangkitkan isu ini semula di peringkat nasional. Syabas JAKIM.


Nota: Pagi tadi saya dengar Radio IKIM mengulas isu ini. Tapi DJ macam nak potong setiap pendapat yang dikeluarkan. Rileklah Ustaz Zamri, bila lagi nak bagi peluang.

Comments

Popular posts from this blog

Nikah Batin

Nikah adalah upacara agama. Ianya adalah sesuatu yang amat suci. Ia adalah permulaan untuk membentuk sebuah keluarga yang sempurna; ayah, ibu dan anak-anak. Lebih besar lagi, persemendaan hasil dari perkahwinan yang sah menjadi asas kepada wujudnya sebuah masyarakat yang berfungsi. Setiap ajaran agama di dunia - lebih-lebih lagi Islam - amat menitikberatkan soal nikah. Tidak cukup dengan pendaftaran sibil, pasangan dinikahkan juga mengikut tradisi masing-masing. Pasangan yang melanggar norma ini, dipandang jelek oleh masyarakat hatta oleh masyarakat barat yang terkenal dengan kemajuan kebendaan. Tapi hari ini, saya dikejutkan dengan berita ini - Nikah Batin - !!! Jika sebelum ini hanya pemberitaan khabar angin tentang nikah batin oleh beberapa ajaran tarikat sesat, tetapi hari ini sudah sampai di mahkamah; bertujuan untuk mengesahkan nikah tersebut. Ringkas sungguh nikahnya. Tidak perlu wali, jurunikah. Hanya bersaksi Allah sahaja. Saya tercari-cari juga dalam kitab-kitab muktabar ber...

Susur Galur Saya

Saya percaya ramai di kalangan kita; apabila ditanya tentang nama-nama nenek moyang hanya dapat menyebut sekadar dua atau tiga lapis sahaja iaitu sekadar tingkatan moyang. Selebihnya? Wallahu a’lam. Bagi kebanyakan orang urusan tersebut tidaklah sepenting mana, tapi bagi sesetengah yang lain susur galur inilah jati diri mereka. Bagi diri saya sendiri, saya bertuah sebenarnya kerana sekurang-kurangnya 13 lapisan saya ketahui iaitu sehingga ke awal abad 17. Senarainya adalah seperti berikut: Nik Bahrum Bin Nik Abdullah bin Raja Ahmad bin Raja Mat bin Raja Abdullah bin Raja Senik bin Raja Kecik bin Raja Mohamad bin Raja Abd Rahman bin Raja Kecil Sulong bin Raja Omar bin Raja Sakti. Manakala di sebelah ibu pula saya adalah anak kepada Nik Syamsiah binti Nik Som bin Raja Senik bin Raja Husin bin Raja Bongsu bin Raja Senik dan seterusnya sebagaimana susur galur sebelah bapa. Setakat ini yang saya belum jelas adalah susur keturunan sebelah Tokku (ibu Nik Abdullah) kerana se...