Skip to main content

Poligami

Saya tertarik hati membaca kisah Mohamed Nor Bin Awang yang membuat permohonan berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu minggu lepas. Permohonannya bukan sebarang permohonan kerana beliau sudahpun mempunyai isteri seramai 3 orang. Kata orang nak cukupkan kouta.

Saya ucapkan syabas kepada Mohamed. Tapi bukan kerana berjaya kahwin 3 dalam satu masa dan bercadang untuk tambah satu lagi. Bukan!!! Ucapan syabas dan tahniah kepada beliau adalah kerana beliau percaya serta menyerahkan diri kepada bidangkuasa mahkamah yang akan menentukan samada beliau layak atau tidak untuk berkahwin lagi. Bukan macam sesetengah orang lain yang berkahwin macam pencuri sahaja.

Sebenarnya isu poligami termasuk di bawah bidangkuasa mahakamah syariah di negeri masing-masing. Bertentangan dengan kefahaman awam, tandatangan isteri sedia ada bukanlah pra-syarat untuk berkahwin lagi. Mahkamah akan melihat kepada berbagai faktor lain.

Umpamanya di negeri Kelantan, permohonan untuk berpoligami mengikut seksyen 23(4) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 hendaklah:
  1. menyatakan alasan-alasan mengapa perkahwinan yang dicadangkan itu perlu;
  2. pendapatan pemohon;
  3. butir-butir komitmen serta kewajipan tanggungan kewangan;
  4. bilangan tanggungan termasuk bakal isteri; dan
  5. samada izin atau pandangan isteri sedia ada telah diperolehi atau tidak.
Apabila menerima permohonan tersebut mahkamah akan memanggil pemohon, isteri sedia ada, bakal isteri dan wali ataupun mana-mana orang yang difikirkan perlu untuk memberi pandangan berkenaan dengan perkahwinan yang dicadangkan.

Mengikut seksyen yang sama, mahkamah hanya akan memberi kebenaran jika ianya berpuas hati:
  1. bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu patut atau perlu memandangkan antara lain keuzuran jasmani atau rohani;
  2. bahawa pemohon mempunyai kemampuan untuk menaggung semua isteri dan tangungannya termasuk bakal isteri;
  3. bahawa pemohon berupaya memberi layanan adil kepada semua isteri' dan
  4. bahawa perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syari'e kepada isteri sedia ada.
Satu isu yang menarik dan sepatutnya diambil perhatian oleh isteri sedia adalah adalah berkenaan dengan harta sepencarian di mana peruntukan undang-undang juga menyebut bahawa mahkamah juga berkuasa untuk memerintahkan supaya harta sepencarian dibahagi antara mereka. Ia adalah untuk mengelakkan tuntutan bertindih sekiranya timbul masalah dengan isteri baru nanti.

Melihat kepada peruntukan-peruntukan yang ada itulah, saya percaya ramai yang berkahwin secara senyap-senyap. Tambahan pula dendanya hanyalah sekelumit jika dibandingkan dengan peruntukan membahagikan harta. Seksyen 124 hanya memperuntukkan denda tidak lebih RM1000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya sekali.

Tambahan pula jarang mahkamah mengenakan hukuman penjara. Kebiasaanya hanyalah denda sebanyak RM400 - RM600 sahaja. Sambil pejam mata aje kata orang. Sebab itulah ramai yang kahwin senyap-senyap. Bukan macam Abang Mat kite.

Comments

Popular posts from this blog

Nikah Batin

Nikah adalah upacara agama. Ianya adalah sesuatu yang amat suci. Ia adalah permulaan untuk membentuk sebuah keluarga yang sempurna; ayah, ibu dan anak-anak. Lebih besar lagi, persemendaan hasil dari perkahwinan yang sah menjadi asas kepada wujudnya sebuah masyarakat yang berfungsi. Setiap ajaran agama di dunia - lebih-lebih lagi Islam - amat menitikberatkan soal nikah. Tidak cukup dengan pendaftaran sibil, pasangan dinikahkan juga mengikut tradisi masing-masing. Pasangan yang melanggar norma ini, dipandang jelek oleh masyarakat hatta oleh masyarakat barat yang terkenal dengan kemajuan kebendaan. Tapi hari ini, saya dikejutkan dengan berita ini - Nikah Batin - !!! Jika sebelum ini hanya pemberitaan khabar angin tentang nikah batin oleh beberapa ajaran tarikat sesat, tetapi hari ini sudah sampai di mahkamah; bertujuan untuk mengesahkan nikah tersebut. Ringkas sungguh nikahnya. Tidak perlu wali, jurunikah. Hanya bersaksi Allah sahaja. Saya tercari-cari juga dalam kitab-kitab muktabar ber...

Susur Galur Saya

Saya percaya ramai di kalangan kita; apabila ditanya tentang nama-nama nenek moyang hanya dapat menyebut sekadar dua atau tiga lapis sahaja iaitu sekadar tingkatan moyang. Selebihnya? Wallahu a’lam. Bagi kebanyakan orang urusan tersebut tidaklah sepenting mana, tapi bagi sesetengah yang lain susur galur inilah jati diri mereka. Bagi diri saya sendiri, saya bertuah sebenarnya kerana sekurang-kurangnya 13 lapisan saya ketahui iaitu sehingga ke awal abad 17. Senarainya adalah seperti berikut: Nik Bahrum Bin Nik Abdullah bin Raja Ahmad bin Raja Mat bin Raja Abdullah bin Raja Senik bin Raja Kecik bin Raja Mohamad bin Raja Abd Rahman bin Raja Kecil Sulong bin Raja Omar bin Raja Sakti. Manakala di sebelah ibu pula saya adalah anak kepada Nik Syamsiah binti Nik Som bin Raja Senik bin Raja Husin bin Raja Bongsu bin Raja Senik dan seterusnya sebagaimana susur galur sebelah bapa. Setakat ini yang saya belum jelas adalah susur keturunan sebelah Tokku (ibu Nik Abdullah) kerana se...