23.7.09

Hati-Hati Dr. Lo' Lo' Dan Sharizat

Saya menyambut baik ketegasan hakim-hakim Syar'i Negeri Pahang yang nampaknya mendahului rakan-rakan sejawat mereka seluruh negara dalam menjatuhkan hukuman. Kalau sebelum ini negeri Pahang telah mendahului dalam pendakwaan satu kes di bawah Enakmen Pengawalan Pengembangan Ugama Bukan Islam; nampaknya kali ini mereka akan mencatat sejarah sebagai negeri pertama yang menjalankan hukuman sebat ke atas pesalah wanita.

Kartika Sari Dewi Shukarno bersedia menerima hukuman tersebut di mana beliau tidak berhasrat untuk merayu terhadap hukuman. Walaupun hukumannya adalah sekadar enam sebatan dan jauh bilangannya dari sebatan syara', saya berpendapat ianya lebih baik dari tiada langsung. Dan sebagaimana yang pernah saya tuliskan sebelum daripada ini, sekurang-kurangnya hakim syar'ei dapat berlatih untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dari segi perundangan syara'.

Cumanya saya sedikit terkesan dengan kenyataan Datuk Seri Sharizat dan Dr. Lo' Lo' yang saya faham dari muka surat 33 Berita Harian hari ini yang seakan mempertikai peruntukan undang-undang sebat. Walaupun pada asasnya kenyataan mereka adalah untuk membela kaum wanita tetapi proses hukuman itu adalah proses sah sebuah mahkamah yang diiktiraf. Sebarang pertikaian adalah melalui proses rayuan atau semakan. Dan dalam kes ini Kartika Dewi telah menarik balik rayuannya dan juga tidak ada berita yang menunjukkan proses semakan kehakiman telah difailkan.

Sebagai penggubal undang-undang Datuk Seri dan Dr Lo' Lo' tidak seharusnya mempertikai hak hakim untuk menjatuhkan hukuman mengikut sebagaimana peruntukan. Tugas penggubal adalah untuk melihat kesesuaian undang-undang samada perlu diperketat atau dilonggar.

Itu sahaja.

Dan melihat kepada peruntukan undang-undang sendiri, hukuman sebat di mahkamah syariah jauh lebih mendidik dari seksaan di mahkamah bukan syariah. Saya tidak dapat mengulas bentuk hukumannya di Pahang, tetapi mengikut seksyen 125 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Kelantan 2002 "alat sebatan, tidak termasuk pemegangnya, hendaklah daripada jenis yang sama dan dibuat samada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter".

Peruntukan selanjutnya dalam subseksyen 3 menyatakan perotan hendaklah menggunakan alat sebatan dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah. Dan bagi pesalah perempuan dilakukan dalam keadaan dia duduk.

Bagi saya ianya tidak lebih sebagaimana hukuman rotan yang saya terima dari ayah semasa kecil-kecil dulu. Bukan untuk mendatangkan cedera tetapi lebih untuk mendidik.

Mungkin agaknya dua orang tokoh wanita kita ini terpengaruh dengan cerita Semerah Padi? Saya pun kecil-kecil dulu terpengaruh juga.....!!!

16.7.09

"65 pun 65 lah...asalkan menang"

Saya bergerak pulang dari UPU Chuchoh Puteri lebih kurang jam 6.00 pada 14 Julai yang lepas. Hati saya ketika itu gundah gulana memikirkan peratus pengundian yang teramat tinggi. 87%. "Something wrong", perkataan yang sentiasa bermain difikiran saya.

Mengikut rekod, kelaziman peratusan keluar mengundi dalam pilihanraya adalah dalam sekitar 78% - 80%. Ini sampai 87%. Masakan hati tidak bimbang dan pada ketika itu, hati sudah memujuk-mujuk untuk menerima berita kekalahan.

Kemudiannya, secara bertalu-talu berbagai makluman dan panggilan mengesahkan kebimbangan saya. Pas kalah di 5 peti undi; dan yang paling mengejutkan adalah kekalahan di UPU Manek Urai Lama dan Baru tambah mengesahkan teori saya. Sehinggalah akhirnya panggilan dari Saudara Aznam yang mememetik sumber rasmi tapi belum disahkan bahawa PAS menang dengan majoriti 65 undi.

Saya menyatakan "65 pun 65 lah...asalkan menang". Serentak dengan itu keputusan yang diambil adalah untuk meminta peguam yang masih berada di Kuala Krai bersedia untuk proses pengiraan semula.

Saya ketika itu sudah pun hampir sampai ke rumah. Setiausaha LUHAM meminta saya menghubungi Saudara Murtadza yang kebetulan ketika itu berada di dalam tempat pengumpulan jumlah undi bagi hujah untuk tidak membenarkan pengiraan semula. Dan memang itulah hujah kita. Pengiraan semula hanya boleh dibuat di tempat pengiraan dan sekali borang pengesahan dihantar ke pusat penjumlahan tidak ada lagi proses ulang kira.

Dan akhirnya; sebagaimana yang saudara sedia maklum, muktamad PAS menang 65 undi. Menang tetap menang. Dan LUHAM bakal bersedia berhadapan dengan satu lagi petisyen pilihanraya dari BN.

p/s : gambar diambil dari sini.

13.7.09

Hati Sudah Dihala Ke Manek Urai

Alhamdulillah, nampaknya hasrat saya untuk bersama teman-teman peguam lain bertugas di Manek Urai esok dikabulkan tuhan. Insya Allah jika tidak ada aral melintang, petang ini bertolaklah saya ke sana.

Saya dijadualkan bertugas di UPU Chuchoh Puteri. Dan kebetulan pada hari Sabtu lepas semasa bertugas, kes pertama melibatkan isu 'kepolisian' dan orang kampung terjadi di situ. Sekurang-kurangnya memudahkan saya mengenali kepala-kepala di situ.

Ummi akan turut serta. Dan dijangkakan buat kali pertama beberapa peguam muslimat juga akan turut serta. Memang tepatlah kalau dikatakan PRU ini dijadikan medan praktikal peguam berhadapan dengan masyakat (masih ingat Law & Society?).

Sebenarnya kalau mengikut perancangan asal saya saya tidak mungkin dapat ke MU esok sebagaimana alasan dalam tulisan sebelum ini. Ditakdirkan tuhan, atas sebab-sebab yang tidak terjangkau dek kudrat manusia, kes hanya dijalankan sehari sahaja; kelmarin. Tuan Abdul Razak, pendakwa yang mengendalikan kes sempat berbisik dengan saya "Sampai juga hasrat nak ke MU".

Alhamdulillah.

8.7.09

Hati Saya Di Tempat Lain...

Maafkan saya kerana tidak mengemaskini blog ini. Hati saya di tempat lain. Antara PRK Manek Urai, kerja dan minoriti Muslim Uighur di Xinjiang; saya perlu mengutamakan yang sepatutnya.

Saya hadir ke Manek Urai. Dan di antara jam 10.00 ke 11.00 pagi hari Isnin lepas saya kemukakan satu bantahan. Sebagaimana semua tahu, bantahan tersebut di tolak dan pemilihan akan dibuat pada 14 haribulan nanti.

Saya doakan 14 haribulan nanti tiada masalah besar yang berbangkit. Insya Allah bulan akan mengambang penuh.

14 haribulan nanti, saya tidak dapat ke Manek Urai. Kes melibatkan hukuman mati di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tidak mungkin dapat ditangguhkan lagi. Dalam keadaan pihak hakim dan mahkamah mementingkan statistik, saya tidak sampai hati memohon penangguhan. Kerana bimbang ditolak mentah-mentah.

Dalam pada itu juga, tanpa angin bergoyang tiba-tiba keluar berita rusuhan di Xinjiang antara Komunis Han dan minoroti Islam Uighur. Saya belum mendapat gambaran menyuluruh tentang kejadian tersebut. Tapi saya percaya umat Islam Uighur sudah mula meluat dengan penindasan Komunis Han terhadap mereka.

Apakah peristiwa di Bosnia-Herzegovena 12 tahun lepas mahu berulang? Di mana PBB dan di mana OIC? Adakah mahu menunggu kehancuran serupa baru mahu bertindak?

Hati saya di tempat lain....
Blog Widget by LinkWithin