30.7.08

Isra' Dan Mi'raj

Saya mengucapkan selamat meraikan ulang tahun Isra' dan Mi'raj Rasulullah (s.a.w.) yang terkandung di dalamnya berbagai hikmah dan pengajaran bagi umatnya. Jika mahu di kaji satu persatu nescaya tidak terkupas dan tiada keupayaan kita yang lemah kemahuan ini.

Walau apapun, bagi saya Isra' dan Mi'raj Rasul dapat memberi panduan bagi kita untuk mengenali manusia yang berjiwa Abu Bakar Al-Siddiq dan berjiwa Abu Jahal. Bagi saya Isra' dan Mi'raj Rasul memberi pengajaran jelas bahawa di samping ajaran Islam yang boleh diterima akal (lojik) terdapat juga ajaran agama yang hanya Allah saja mengetahui.

Contohnya, kenapa basuh muka dahulu sebelum basuh kaki semasa berwuduk? Kenapa tawaf Baitillah perlu 7 kali pusingan? Kenapa itu dan kenapa ini...!

Cuma jenis manusia sahaja yang banyak soal. Bagi mereka setiap perkara perlu alasan yang boleh diterima akal. Selagi tidak berjumpa alasan tersebut atau tidak selari dengan ilmu mereka, ajaran agama tersebut tidak boleh diterima pakai.

Saya berpendapat, Isra' dan Mi'raj Rasul tidak mengajar sedemikian. Isra' dan Mi'raj Rasul mengajar kita untuk redha dengan Qada' dan Qadar Allah disamping berusaha. Nabi Muhammad tidak meminta untuk di hadiahkan dengan Isra' dan Mi'raj; tetapi seusainya perjalanan, dalam keadaan tertekan oleh Abu Jahal lantaran ketidaklogikannya, akidah umat bertambah teguh seteguh iman Abu Bakar.

Lantaran itu, bagi saya, isu dan usul kebolehpercayaan pemimpin dalam urusan muzakarah dan muqabalah tidak akan memesongkan saya dari matlamat dan perjuangan PAS iaitu Islam. Saya serahkan wala' kepada pimpinan parti untuk membawa saya kepada matlamat tersebut. Selagi belum bercanggah dengan dasar - al-Quran, al-hadis ijma' ulama dan qias - silakan wahai pemimpin-pemimpinku. berjumpalah siapa sahaja untuk menyampaikan dakwah Islam. Melayu, Cina, India, Orang Asli.... teruskan.

Kenapa pada masa sekarang kita perlu menggugat wala' kita, sedangkan kita mempunyai ruang untuk bermuhasabah dan berbincang. Sedangkan muktamar tahunan hanya beberapa minggu sahaja lagi. Gunakan peluang nanti untuk menyatakan pandangan dan bermesyuarat.

Bagi saya, tepat sekali Isra' dan Mi'raj mengajar kita. Dan cukuplah dengan satu pegajarannya itu.

29.7.08

Memang Betul Gila Talak

Tergelak saya membaca beberapa berita utama hari ini -Utusan Online, Berita Harian- yang menyiarkan tentang tawaran Datuk Seri Tajol Rosli untuk PAS dan UMNO bergabung membentuk kerajaan Negeri Perak. Cantik punya tawaran iaitu dengan mengekalkan menteri besarnya dari PAS dan boleh berunding pula untuk mengisi jawatan exco.

Oh yaa... satu lagi, beliau tidak akan menduduki barisan kepimpinan, cukup dengan jadi anggota kerajaan biasa saja....

POOOORAH!!!! Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

Kalau tidak silap saya, UMNO Perak sebelum ini begitu beriya-iya menyatakan kerajaan UMNO akan ditubuhkan selewat-lewatnya 31 Julai 2008. Apa dah jadi? Sehingga terpaksa memujuk PAS pula. Atau adakah sudah terkena pukulan Munajat Rakyat Perak baru-baru ini?

Bagi saya cukup-cukuplah dengan apa yang telah berlaku setakat ini. Tinggalkanlah politiking sehingga musim pilihanraya akan datang. Rakyat telah menunjukkan mandatnya. Hormatilah keputusan rakyat tersebut. Nanti sampai masa tagihlah simpati dari rakyat untuk mendapat mandat baru.

Sekarang adalah masa untuk membina hidup baru. Keperluan dan kebajikan rakyat seharusnya diutamakan. Bukannya untuk segelintir pemimpin.

Nota: Nak rujuk boleh. Tapi kena betulkan yang menjadi punca cerai dulu....

27.7.08

Glem Night Mak Nyah

Seingat saya, tidak pernah saya memandang rendah golongan pondan (lelaki bernaluri lembut); kerana mereka juga mahkluk Allah swt. Soal mereka berperasaan lelaki atau wanita, itu adalah naluri semula jadi mereka. Pendek kata sebagaimana kita mempunyai hak sebagai warganegara dan umat Islam, begitulah juga mereka. Bermaksud, saya sentiasa meraikan mereka seadanya, tanpa perlu terikut-ikut dengan gaya percakapan atau bahasa tubuh mereka.

Dan saya berjaya "survive" berkawan dengan mereka semasa di UIAM samada dalam urusan pembelajaran ataupun sosial. Pendek kata tiada masalah sedikitpun.

Tetapi rupanya ada sesetengah golongan tersebut yang lupa diri dengan hakikat penciptaan diri mereka sehingga ada yang melebih-lebihkan naluri kewanitaan mereka dan seakan membiarkan kecintaan terhadap bentuk tubuh wanita sehingga sanggup membuat suntikan, pembedahan dan sebagainya; mungkin sekali pandang kalah wanita sejati.

Itulah yang saya rasa dan saya lihat malam Sabtu yang lepas.

Kebetulannya saya mengikuti Hari Keluarga Jawatankuasa Peguam Kelantan di salah sebuah resort di Bachok bersama ahli keluarga yang lain. Sesampainya saya di sana, sebaik sahaja turun dari kereta sudah terdengar sayup -sayup di telinga suara merdu pengacara majlis. Sedang rehearsel rupanya untuk "Glem Night 2008". Aturcaranya? Pertunjukan pakaian termasuk night dress dan bikini.

Kesudahannya pada malam tersebut, sebagaimana yang saudara mungkin tahu, pertunjukan tersebut telah diserbu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan sebagaimana berita yang dilapurkan ini. Saya tidak akan mengulas mengenai apa yang saya saksikan kerana berkemungkinan ceritanya panjang.

Agak mengejutkan kerana boleh terjadi peristiwa sedemikian di sebuah negeri yang terkenal dengan Islamnya dan slogan Membangun Bersama Islam. Tapi begitulah hakikat. Di mana-mana saja ada syaitan yang akan menggoda manusia hatta di tanah suci sekalipun.

Saya difahamkan bahawa tindakan akan diambil di bawah Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 kerana kesalahan lelaki memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksima seribu ringgit atau penjara maksiama enam bulan atau kedua-duanya. Enakmen ini dikuatkuasa oleh JAHEIK.

Kenapa tidak dikenakan juga tindakan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Kelantan 1998 kerana menganjurkan hiburan tanpa lesen di mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000.00? Tindakan ini boleh diambil oleh pihak polis ataupun PBT berkaitan.

Ulasan YAB Tok Guru Menteri Besar Kelantan boleh diikuti di sini.

Saya berharap itu adalah yang terakhir.

22.7.08

Muzakarah: Kenyataan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan




Adakah Kita Mahu Ditendang Kali Kedua
Tuesday, 22 July 2008

Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong penuh pendirian Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS mengenai isu muzakarah PAS-UMNO. DPPNK menganggap bahawa isu muzzakarah ini hanyalah agenda politik UMNO untuk turut mengheret PAS menanggani masalah dalaman UMNO yang secara nyata telah ditolak oleh rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

Kenapa baru sekarang pemimpin UMNO sibuk dengan isu muzakarah, sedangkan muzakarah ini telah dicadangkan oleh PAS sejak sekian lama tapi tidak pernah disambut oleh UMNO. PAS pernah menghantar surat rasmi kepada UMNO untuk mengadakan muzakarah tapi tidak disambut oleh UMNO. Kenapa semasa UMNO kuat suatu ketika dahulu pemimpin mereka tidak menyambut cadangan muzakarah oleh PAS dan kenapa sekarang apabila keadaan UMNO semakin "nazak", mereka baru sibuk menghulur tangan untuk bermuzakarah dgn PAS.

Bagi kami DPPNK, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah satu lagi tindakan licik politik UMNO di saat sedang ‘nazak’ sekarang ini untuk turut mengheret PAS agar sama-sama merasai masalah dalaman UMNO yang semakin tenat.

DPPNK mengharapkan agar para pimpinan PAS sentiasa bersabar dan mengambil kira pandangan akar umbi parti samada perlu berunding dengan UMNO atau tidak perlu. Pimpinan juga kena sentiasa ingat sejarah mengenai kelicikan politik UMNO ini yang suatu masa dahulu pernah melamar PAS agar bergabung dengan UMNO untuk menyelesai masalah perbalahan kaum ketika peristiwa 13 Mei 1969. Setelah PAS menyertai BN dan kemudiannya UMNO kembali kuat lalu mereka "tendang" PAS keluar daripada BN. Cukup hebat dan licik.

Adakah kita (PAS) mahu terkena tendangan kedua UMNO?


Mohamad Zaki bin Ibrahim
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
22 Julai 2008
Kaherah, Mesir


Berita selanjutnya di sini.

21.7.08

Dah Lupa Ke? Masih Berseronok?

Kita telah meninggalkan perang PRU12 lebih kurang 4 bulan yang lalu. Kalau tidak ada aral bahaya, mengikut kiraan perlembagaan, dalam 4 tahun setengah lagi kita akan berhadapan pula dengan PRU 13.

Mungkin ramai yang melihat ianya masih jauh. Suasana sekarang adalah untuk meraikan kemenangan. Atau untuk bermain politik. Sehingga kita lupa 4 tahun setengah tetap akan datang. Pejam celik pejam celik, kita sudah tidak mempunyai masa yang cukup lagi.

Apa yang ingin saya sentuh adalah berkenaan dengan berita ini. Saya tidak nampak di mana-mana hatta sebaran rasmi parti pun menyentuh perkara ini. Sedangkan isu daftar pemilih adalah isu yang penting. Dan antara yang terpenting. Jika sebelum ini kita sanggup menghabiskan wang yang bukan sedikit untuk urusan daftar dan bantah; dan kita telah berjaya dalam PRU 12 lantaran itu.

Apakah kita tidak mengambil pengajaran PRU11, sehingga kerajaan Islam Kelantan dibezakan dengan 1 kerusi sahaja antara memerintah dan tidak, baru kita termengadah?

Lebih dari itu saya merasakan urusan tindakan DUN sepatutnya terus dihidupkan. Apa yang saya perhatikan, banyak majlis tindakan dun di seluruh negara, seakan terlupa hatta untuk mengadakan majlis "post mortem" apatahlagi membuat penyusunan semula jentera bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

Sedangkan ianya tetap akan datang selagi negara mengamalkan demokrasi berperlembagaan.

Tak salah merasa seronok. Nak bermuzakarah, berbincang atau bertemu? Silakan. Tapi jentera parti dilupa jangan!!

Nota: Nak memerintah kena gentlemen. Bukan kerana lompat melompat.

20.7.08

Syabas Tuanku

Saya amat berbesar hati membaca berita ini:

Keputeraan Tuanku Mizan tanpa darjah kebesaran

KUALA TERENGGANU 19 Julai – Buat pertama kali, Istana Terengganu tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran negeri sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke-46 yang disambut esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau diberitahu bahawa tiada istiadat penganugerahan kepada penerima darjah dan pingat kebesaran pada sambutan esok oleh Istana Terengganu, kira-kira sebulan lepas.

‘‘Saya tidak diberitahu mengenai sebab mengapa tiada pengurniaan darjah dan pingat kebesaran tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti jika terdapat kemungkinan pemilihan penerima dan istiadat pengurniaan akan diadakan selepas ini.

‘‘Setakat ini tiada penerima untuk darjah dan pingat kebesaran, kemungkinan istiadat akan dibuat selepas ini, saya belum diberitahu,” ujarnya.

Darjah kebesaran tertinggi di Terengganu ialah Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menurut Mokhtar, seperti kebiasaan, Hari Keputeraan Sultan Terengganu akan disambut secara sederhana bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat di masjid seluruh negeri malam ini.

Beliau memberitahu, majlis yang sama juga akan dilangsungkan di Istana Maziah di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari esok.

Sampaikan ada jenaka dipertutur dari mulut ke mulut. "Kamu berdiri di Chow Kit, baling secara rambang seketul batu, nescaya batu tersebut akan jatuh di atas kepala seorang Datuk." Malah ada yang menambah "Datuk tadi ambil batu yang kena kepalanya, dibalingkan ke atas, nescaya akan terkena kepala Tan Sri lain pula.".

Sebenarnya bukan jenakapun. Ia adalah realiti kehidupan di Malaysia. Entah kebetulan mungkin, kerana kita mempunyai sistem beraja yang paling ramai atau kerana pemurahnya raja-raja, maka bersesak-sesak datuk-datuk dan tan seri-tan seri dalam negara kita.

Sampai kepada peringkat, kita tidak dapat membezakan yang mana satu datuk original.

Apapun, tahniah diucapkan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan terengganu ke 46. DAULAT TUANKU.

15.7.08

Ulasan Awal Debat

Setelah meneliti dengan agak teliti dan menjauhkan prasangka, saya berpendapat YB Menteri Penerangan gagal dalam mempertahankan kerajaan BN dalam debat yang baru berakhir sebentar tadi. Saya kira dalam ketiga-tiga pusingan debat, beliau gagal menerangkan secara objektif rasional kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak selepas beberapa bulan pilihanraya walaupun telah berjanji tidak akan menaikkannya semasa kempen pilihanraya.

Sebagaimana yang telah saya ulas pagi tadi bahawa saya menunggu hujah yang meyakinkan dari kedua-dua pendebat. Saya tidak melihat langsung dari kehebatan cara penyampaian tetapi lebih kepada isi.

Saya juga berpendapat, YB Menteri Penerangan telah melakukan kesilapan yang teramat besar apabila menyentuh perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan tajuk debat seperti cuba mengungkit kisah-kisah lama yang berbaur politik. Saya dapat melihat ada beberapa orang telah menepuk dahi sambil tersenyum sinis apabila YB Menteri Penerangan mengungkit kisah demontrasi tahun '70an dan kirisis kewangan 1998.

Bagi saya isu-isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan kerana tajuknya bukan cerita lama tetapi lebih menjurus kepada masa depan serta debat tersebut bukan forumnya.

Baiklah!!! Buat kali pertamanya saya memberikan tabik hormat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas hujah-hujah yang bagi saya mencapai tahap 70% keyakinan yang saya tunggu.

Dan, saya kira Pak Lah sudah boleh mula berkira-kira untuk melantik Menteri Penerangan baru sebagaimana janji Datuk Shabry.

Debat Ditunggu (Jika bukan gari yang menghalang....)

Walaupun ada sedikit keraguan, saya tetap berharap Debat antara DS Anwar Ibrahim dan YB Menteri Penerangan dapat dilansungkan malam ini. Saya sudah menempah tiket kelas pertama untuk mengikutinya dari kaca TV di rumah. Walaupun jarang berkesempatan untuk menonton, saya sebolehnya akan meluangkan masa.

Kenapa?

Kerana saya hendak mendengar sendiri mekanisma penurunan harga minyak yang diwarwarkan itu. Saya akan cuba melapangkan fikiran dan terbuka hati saya untuk mendengar hujah-hujah bermutu. Dan saya (setakat ini) tidak berpihak kepada mana-mana pendebat (Memang bolehpun sebab saya orang PAS bukan PKR atau BN).

Sebetulnya sehingga sekarang saya belum betul-betul mendapat jawapan yang konkrit berkenaan dengan isu minyak. Pihak kerajaan asyik mempertahankan pendiriannya secara membabi buta hatta di Parlimen. Begitu juga pihak pembangkang asyik menyerang sahaja. Jadi saya nak guna betul-betul peluang malam ini untuk menetapkan pemikiran saya tanpa sebarang dorongan kepartian.

Setakat ini hanya satu hujah sahaja yang termakan dalam pemikiran saya berkenaan dengan harga minyak, iaitu sebagaimana yang diutarakan oleh Ketua Penerangan saya, YB Hj. Mahfuz Omar dalam segmen Debat TV9. Katanya "Negara mengeluarkan lebih kurang 600,000 tong sehari. Kegunaan dalam negeri 400,000 tong sahaja. Apa salahnya jika 400,000 tong dari 600,000 yang dikeluarkan itu dijual murah-murah kepada rakyat, tanpa bergantung kepada import luar? Kita masih ada lagi 200,000 tong untuk dieksport."

Bagi saya itulah kenyataan yang paling logik. Yang tidak belajar tinggi pun boleh laksanakan.

Apapun, saya tunggu malam ini. Dan kalau Datuk Seri tak boleh meyakinkan saya, tak usah angan-anganlah nak jadi Perdana Menteri.

14.7.08

Bila MOU Terjalin

Sebagai seorang yang dibesarkan dengan pendidikan agama oleh Yayasan Islam kelantan, saya antara bekas pelajarnya yang bersyukur di atas selesainya kemelut hampir 6 tahun antara Kementerian Pelajaran dan Yayasan Islam Kelantan.

Berita sebagaimana yang disiarkan melalui berita semalam, Harakah Online dan beberapa akhbar utama negara di mana Yayasan Islam Kelantan bersetuju untuk mendaftar sebanyak 20 buah sekolah buat permulaan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi membolehkan bantuan perkapita diberikan.

Tambah berbesar hatinya saya kerana pentadbiran pengurusan sekolah, guru dan murid serta kurikulum dikekalkan di bawah YIK.

Walaupun saya bukan guru YIK atau pekerjanya atau apa sahaja yang berkaitan dengan YIK, tetapi saya berpendapat kesediaan kedua-dua pihak bersemuka, berbincang walaupun mengambil masa yang panjang adalah merupakan kemenangan awal. Saya percaya pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan (walaupun silibus politik diajar di sekolah) demi survival masa depan pelajar-pelajar.

Begitu juga dengan Kementerian Pelajaran. Walaupun saya tidak pernah bersekolah peringkat menengah di bawah kelolaan KP, tetapi KP tetap menimbulkan nostalgia bagi saya. Semasa bersekolah dahulu, saya pernah dua kali mewakili negeri Kelantan dalam pertandingan pidato kelolaan KP (masa itulah saya kenal Khairil Anas). Biasiswa pengajian matrikulasi saya juga ditanggung oleh KP. Pendek kata, banyaklah jasa KP kepada saya.

Takkan saya lupakan sampai bila-bila. Tapi YIK tetap di hati.

Tambahan pula saya sudah merancang untuk menghantar anak-anak saya ke sekolah di bawah YIK apabila sampai masanya; mengikut jejak langkah saya, Ummi dan semua emak dan bapa saudaranya yang berjumlah 18 orang (15 orang adik-adik saya, 3 orang abang dan kakak Ummi). Semuanya pernah dan sedang mendapat jasa pendidikan dari YIK.

Kesemuanya Insya Allah telah dan akan menjadi orang.

12.7.08

Saya Sokong 100%

Saya percaya tidak ada apa lagi yang perlu saya tambah dan ulas, kerana jawapan-jawapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam wawancara dengan Harakahdaily yang saya petik di bawah saya sokong 100%. Dan pernah sipi-sipi saya ulas sebelum ini.

Memantapkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat
Harakahdaily
Fri | Jul 11, 08 | 12:40:09 pm MYT

HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini?

USTAZ HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad.

Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?

Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut?

Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

Hasil pertemuan dan rumusan PAS?

Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC.

Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah?

Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar.

Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik.

Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas?

Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan.

Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya.

Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku.

Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS?

Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu.

Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh.

Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing.

Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza.

Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam.

Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya?

Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi.

Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati.

Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat?

Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya.

Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)?

Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno.

Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan 'engagement' yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita.

Penerimaan ahli PAS mengenai 'engagement' seperti ini macam mana?

Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya.

Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat?

Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri.

Dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS?

Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah.

Maknanya ia perlu selesai di mahkamah?

Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah ....

Isu Anwar, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru?

Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting.

Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? ... sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya.

Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya 'loose'. Itu yang penting.

Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu?

PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita. Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam.

Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru?

PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh.

Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara?

Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas.

Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini?

Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada.

Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar.

Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi 'king maker' kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah.

Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang.

Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan raya iaitu 'Islam For All'. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai 'Islamophobia' tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.


Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi. Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan.

Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi.


Tambah sikit jah: Semoga kita semua pakat reti basa dan tidak mengikut arus semata.

11.7.08

Nafkah Ibu Bapa

Boleh atau tidak dituntut terhadap anak yang mengabaikannya?

Saya berpendapat ibu bapa boleh menuntut nafkah mereka dari anak-anak di mahkamah syariah berdasarkan perintah Allah agar anak-anak berbuat ehsan kepada ibu bapa dan kerana ada peruntukan sedemikian di dalam enakmen keluarga Islam negeri-negeri.

Cuma setakat ini saya tidak berjumpa lagi dengan kes sedemikian di bawa ke mahkamah kecuali satu kes di Negeri Sembilan yang mana mahkamah membenarkannya.

Apakata jika peguam-peguam syarie seluruh Malaysia cuba membawa kes-kes seperti ini? Kalau selama ini tuntutan hanya dibuat oleh isteri terhadap suami bagi tuntutan nafkah, nafkah edah, nafkah kebelakangan, mut'ah, harta sepencarian dan nafkah anak-anak, kita meriahkan pula mahkamah syariah dengan tuntutan nafkah ibu bapa pula.

Saya percaya yang arif hakim-hakim akan banyak menolong.

Nota: Cadangan ini lahir dari lontaran pertanyaan seorang pakcik semasa Forum Pelaksanaan Undang-Undang Syariah di Mahkamah Syariah sempena Majlis Mahabbah JKSM Bersama Masyarakat Peringkat Negeri Kelantan Tahun 2008 di Balai Islam pada 10/7/2008 semalam. Idea boleh lahir dari sumber yang tidak tersangka.

9.7.08

"Mari Menuju Ke Arah Kejayaan"

Berdasarkan makna laungan itu sahaja saya sudah boleh bersetuju dengan gagasan Ayah Zik untuk menjadikan solat sebagai indikator perlantikan dan kenaikan pangkat kakitangan awam Negeri kelantan.

Sesungguhnya gagasan tersebut adalah merupakan sebuah gagasan yang melampaui pemikiran sekular Dr. Mashitah dan Omar Osman; seolah-olah segala cadangan yang datang dari orang PAS semuanya tidak betul, tidak tepat dan tidak boleh dipakai walaupun sedikit. Nampaknya dalam isu ini, Dr. Mashitah tidak perlu menunggu guru-gurunya yang lain untuk berkata-kata. Malah sehingga setakat ini saya tidak berjumpa lagi dengan ulasan orang bukan Islam terhadap isu tersebut.

Sebenarnya tidak ada apa masalahpun tentang cadangan tersebut. Sedangkan solat sejak berzaman telah menjadi asas untuk pembentukan generasi yang bertakwa dan bekerja kerana Allah.

Hanya orang sekular sahaja yang menganggapnya sebagai pelik. Sedangkan banyak lagi tindakan orang sekular yang lebih pelik dari itu. Seperti contoh, mewajibkan pemasangan lampu motorsikal walaupun pada waktu siang. Tapi arahan tersebut boleh diikuti oleh orang sekular dan orang ugama tanpa sebarang masalah.

Isunya sekarang, pada pendapat saya adalah masalah dengki, dendam kesumat serta tidak senang dengan apa yang dianjurkan oleh PAS (baca Islam).

Ayuh... Tok Guru!!!! Teruskan dengan gagasan tersebut. Usah dihiraukan tentangan orang-orang terbuang itu.

7.7.08

Padan Muka Mu

Itulah saja yang saya nak hamburkan kepada "Tahi Kaburator" yang dibaling dan dipukul oleh anggota Protes semalam.

Buatlah lagi.


Kepada 'Event Manager' - pikir-pikirlah yeee.

Kepada Unit Amal - Syabas kerana menarik diri.

Kepada saya - nasib baik aku tak pergi (sebab saya dah tahu ada konsert).

6.7.08

O.K....O.K.... Saya Mengaku

bahawa saya tidak hadir 'Protes' hari ini.

Tapi saya memanifestasikan usaha untuk mengurangkan kenaikan harga minyak dengan cara:
  1. Saya berhemah dalam berbelanja; keluar membeli-belah keperluan dapur sekali sebulan sahaja;
  2. Saya tidak sewenang-wenangnya menghidupkan kereta ke tempat yang tidak perlu;
  3. Saya periksa dan matikan segala jenis suis elektrik yang tidak diperlukan samada di rumah atau pejabat;
  4. Saya tidak bergayut dan berSMS tanpa sebab;
  5. Saya tidak makan di kedai-kedai berjenama (juga tanpa sebab);
  6. Saya tidak menangguhkan pembayaran kad kredit walau satu sen;
  7. Saya tidak akan ke Kuala Lumpur semata-mata nak tengok konsert underground walaupun percuma;
  8. Saya tambah pelaburan dengan duit-duit yang saya jimatkan di atas.
Saya rasa berbaloi juga protes saya ini.

4.7.08

Boring! Boring! Rasa Nak Muntah...

Daripada saya buat ulasan tentang Bala yang dah jadi bola (dan akan mendatangkan bala kepadanya) dan yang sewaktu dengannya, lebih baik saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi tahniah kepada satu-satunya artis wanita Malaysia yang saya minat; Maya Karin yang akan melangsungkan perkahwinannya pada 14 Ogos depan di Italy.

(Satu hari selepas ulangtahun perkahwinan saya dan Ummi yang ke 9)


Berita lanjutnya di sini.

Habis tu apa jadi dengan gosip-gosip yang menyatakan Maya dah kahwin dengan orang itu di Singapura? Lain kali tulis betul-betul tau. Sakit hati saya....

Apapun tahniah sekali lagi. Jaga baik-baik aqidah Abang Mat Ali yee.

Nota: Gambar di ambil dari Kickdefella.

3.7.08

Ditipu? Tertipu? Atau....

Saya tidak tahulah samada Aishah di tipu, tertipu atau telah menjadi mangsa sindiket nikah kahwin. Tidak pasal-pasal menjadi mangsa keadaan yang mungkin berpunca dari kejahilannya sendiri serta tidak mendapat nasihat yang secukupnya.

Isu sekarang bukan berkenaan dengan sah atau tidak lafaz talak yang dikeluarkan oleh Defendan, tetapi lebih dari itu adalah tentang status sah perkahwinan terlebih dahulu. Atas alasan tersebut mahkamah sebenarnya tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes.

Lapuran Berita Harian Online pagi ini menjelaskan segalanya.

Aishah berkemungkinan besar bukan sekadar akan terpinga-pinga dengan status pengesahan lafaz talaknya. Tetapi lebih dari itu, beliau berkemungkinan besar akan kehilangan hak untuk menuntut nafkah edah, nafkah kebelakangan, mut'ah, harta sepencarian serta hak penjagaan anak.

Sebabnya? Hanya satu iaitu status perkahwinannya yang tidak didaftarkan dan besar kemungkinannya melibatkan isu pemalsuan dokumen perkahwinan.

Jalan terbaik? Menangguhkan proses pengesahan lafaz cerai. Tumpukan usaha untuk mendapatkan pengesahan status perkahwinan terlebih dahulu. Dan sekiranya rasa tertipu, buat laporan polis.

Lagi berita boleh didapati di sini.

1.7.08

Tahniah Abang Mat

di atas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu semalam yang membenarkan permohonan Abang Mat untuk berpoligami 4 serentak.

Tahniah tersebut bukan kerana Abang Mat berjaya dalam permohonan dan boleh tambah isteri. Bukan, tetapi kerana Abang Mat percaya kepada sistem perundangan Islam yang ada. Bak kata Hakim Syari'e yang memutuskannya, kesungguhan Abang Mat begitu ketara sekali kerana sanggup hadir sampai empat kali ke mahkamah. Bukan calang orang boleh buat begitu.

Berita selanjutnya boleh diikuti di sini. Catatan saya sebelum ini di sini dan di sini.

Bila nak makan nasi minyaknya?
Blog Widget by LinkWithin