29.2.08

Cuti Seketika

Pagi ni saya cuti seketika dari kerja-kerja pilihanraya.

Sebenarnya sejak tengah malam semalam. Kebetulan pula Majdi demam. Entah berapa kali terbangun kerana muntah dan 2 kali saya bertukar baju kerana muntahnya ke atas baju yang saya pakai.

Pagi ini pula, sampai jadual membeli belah. Sepatutnya Sabtu lepas, tapi sebagaimana yang diketahui umum, minggu lepas semua orang sibuk dengan penamaan calon, terpaksalah ditangguhnkan ke hari ini untuk memnuhklan stok sebulan.

Sejak mengamalkan konsep membeli untuk sebulan tersebut, mengikut kiraan, saya dapat berjimat lebih kurang 20%-25% belanja dapur, tidak termasuk masa dan petrol. Ialah kebiasaannya sekali pergi untuk 10 hari, habislah juga dalam RM150 - RM200, tapi sejak 2-3 bulan ni sekali pergi paling tinggi pun RM350. Untuk bulan ni berbelanja sebanyak RM301.60 sahaja. Jimat kan?

Saya fikir hari ni saya nak cuti sehingga tengah hari. Lepas sembahyang Jumaat sambung balik kerja-kerja pilihanraya. Malam nanti bertambah satu lagi kerja saya, iaitu bermulanya sebagai tenaga penceramah. Tak tahulah macammana sebab dah lama tak ceramah. Mungkin lepas ni nak kena layari laman-laman web yang ada untuk mencari modal ceramah.

Sementara itu, saya nak nikmati cuti saya seketika. Moga jumpa lagi.

25.2.08

Kata-Kata Menarik Hari Penamaan Calon

"Orang nak bunuh saya letak bertanding di Chempaka lawan Dato'" kata Dr. Nik Zain.

Tanpa berkerut kening Tok Guru balas "Doh tahu lagu tu, tanding wok gapo".

"Ambo sera nok suka juga. Selama kening kita dengar UMNO ni kayo. Pah hok bangkrap ni gapo? Ucapan Tok Guru di Komplek Purnama selepas penamaan calon

Ketelusan SPR?

Saya tak pasti samada proses penamaan calon oleh SPR telus atau tidak. Mungkin kalau dilihat secara luaran dengan adanya proses pengisian borang, perarakan, pengisytiharan calon-calon yang bertanding oleh SPR secara terbuka; seseorang akan mencanangkan lihatlah betapa terbukanya SPR.

Tapi tidak bagi saya.

Saya telah menulis berkenaan dengan pembayaran duti stem sebelum ini. Betapa tidak telusnya SPR arahan hanya dibuat pada hari Khamis. Keesokannya ditambah arahan baru untuk membatalkan duti stem tersebut. Pada hari penamaan dikatakan arahan tersebut telah ditarik secara lisan sebagaimana kes yang dilapurkan di Titiwangsa.

Selain itu, ketidaktelusan SPR ini dapat juga dilihat dalam urusan memutuskan bantahan semasa penamaan calon. Tidak ada hak untuk didengar. Pihak-pihak yang berurusan seolah-olah berbisik tiba-tiba selesai samada ditolak atau diterima bantahan tersebut.

Sebagai contoh saya kemukakan situasi yang terjadi di Bilik Penamaan Calon P020 Pengkalan Chepa di mana saya sendiri terlibat.

Saya telah menyerahkan borang SPR713 kepada ARO N06 Chempaka. Selang tidak lama kemudian saya telah dipanggil ke meja beliau yang bertanyakan samada saya boleh berkompromi tentang kecatatan borang pencalunan tersebut. Saya katakan tidak sama sekali kerana tandatangan adalah perkara mandatori borang pencalonan. Akhirnya ARO tersebut berkata mereka telah rujuk perkara tersebut ke Ibu Pejabat.

Tidak lama kemudian, saya sekali lagi dipanggil, kali ini oleh RO sendiri ke meja beliau untuk dibacakan keputusan. Sebagaimana diketahui bantahan saya tersebut di tolak. Tidak timbul isu kompromi sebagaimana diwar-warkan oleh beberapa pihak.

Apa yang ingin saya tegaskan adalah betapa tidak telusnya SPR dalam amengendalikan urusan yang amat penting tersebut. SPR seharusnya bertindak atas dasar keadilan, iaitu apabila saya menyerahkan borang 713, SPR sepatutnya memanggil kedua-dua pihak untuk didengar secara bersama. Bukan bersosek-sosek dengan sebelah pihak saja.

Hak untuk mendengar dan di dengar seharusnya diamalkan oleh SPR. Ambillah masa 5-10 minit untuk mengadakan perbicaraan tertutup dengan kedua pihak mengemukakan hujah masing-masing. Barulah dikatakan demokrasi.

24.2.08

Kemenangan Awal - N 05 - Kijang

Terlebih dahulu diucapkan setinggi tahniah kepada Puan Wan Ubaidah binti Omar yang telah menang tanpa bertanding bagi kerusi N 05 Kijang. Saya berada bersama beliau dalam dewan penamaan calon di Sek. Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 ketika keputusan tersebut diisytiharkan oleh RO. Sekilas ucapan tahniah terus diucapkan atas kemenangan tersebut.

Sebetulnya banyak kejadian menarik berlaku pagi tadi. Saya akan catatkan disini antaranya.

1. Saya telah dilantik untuk menjadi pencadang kepada YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar merangkap panel peguam bagi calon-calon PAS kawasan Pengkalan Chepa. Urusan pengisian borang kesemua calon adalah menjadi tanggungjawab saya. Berbekalkan pengalaman sejak tahun 1995 lagi serta beberapa siri perbincangan dengan rakan-rakan peguam lain, Alhamdulillah urusan pengisian borang tersebut dapat diselesaikan tanpa sebarang masalah, walaupun 3 malam berturut-turut tidur tidak nyenyak.

2. Saya telah mengemukakan 3 bantahan secara bertulis apabila masa untuk mengemukakan bantahan dibuka pada jam 10 pagi. Secara khususnya:

1. Terhadap calon N 06 Chempaka yang mengemukakan borang pencalunan tanpa menurunkan tandatangan beliau pada borang tersebut - Bantahan tersebut ditolak atas alasan calon yang hendak bertanding telah hadir sendiri dan menunjukkan hasrat untuk bertanding.

2. Terhadap calon P 020 Pengkalan Chepa berkenaan dengan status pekerjaannya yang dikatakan sebagai pesara - Bantahan tersebut ditolak apabila beliau menunjukkan sekeping surat peletakan jawatan.

3. Terhadap calon N 05 Kijang atas alasan beliau merupakan seorang yang tidak layak kerana telah dikenakan perintah kebangkrapan. Alasan ini telah diterima oleh RO apabila dikemukakan bukti perintah tersebut yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh Januri 2007.

3. Saya berpendapat keputusan RO terhadap bantahan 1 di atas adalah tidak tepat kerana ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Tapi keputusan RO dalam perkara tersebut adalah muktamad dimana rayuan hanya boleh dibuat melalui petisyen.

Itulah gambaran umum apa yang terjadi sebentar tadi. Insya Allah kalau ada masa saya akan ceritakan dengan lebih terperinci.

22.2.08

Borang Pencalonan

I

Mainan apa yang cuba dimainkan oleh SPR? Dengan masa tinggal berbaki 2 hari lagi untuk penamaan calon, tiba-tiba keluar satu arahan baru yang ditandatangani sendiri oleh Dato' Kamaruzzaman. Iaitu arahan agar Borang Akuan Bersumpah calon hendaklah dibayar duti stemnya sebanyak RM10.00.


Arahan tersebut pula difaxkan kepada setiusaha agung setiap parti dan diterima di negeri Kelantan ini (baca PAS) jam lebih kurang 3.30 petang. Memburukkan sinario, semalam adalah hari Khamis, bakal-bakal calon ada yang dah balik ke rumah selepas taklimat dan borang akuan bersumpah tersebut belum di sempurnakan.

Sekal lagi saya bertanya. Mainan apa yang kamu mainkan itu?

Sebetulnya semalam, saya telah dijemput untuk memberi taklimat hari pencalonan kepada bakal-bakal calon di JKR 10 termasuk panduan mengisi borang pencalunan. Berdasarkan pengalaman dan bacaan undang-undang, akuan berkanun tersebut tidak pernah dan tidak perlu di duti stemkan. Tambahan pula ternyata di bahagian atas borang berkenaan ditulis secara jelas "CUKAI STEM DIKECUALIKAN".

Taklimat selesai lebih kurang jam 12.30 tengahari. Selepas makan dan menjemput anak di sekolah, tiba-tiba jam 4 petang, panggilan segera dari JKR 10, untuk kembali hadir ke sana.

Tak sempat panik. Keputusan yang dibuat adalah untuk mematuhi arahan tersebut, Gaduh kemudian kira. Ada yang dihantar untuk membeli stem hasil, dan ada yang ditugaskan untuk menguruskan pesuruhjaya sumpah.

Alhamdulillah, segalanya selesai lebih kurang jam 7 petang. Saya meninggalkan JKR 10 dengan langkah longlai tapi berazam untuk bersedia dengan permainan lain.



II


Malam tadi selesailah sudah siri kursus kepada petugas PAKA terhadap ketiga-tiga DUN dalam kawasan Pengkalan Chepa. Sebetulnya telah hampir separuh negeri Kelantan saya pusing dalam siri taklimat sebelum ini.

Saya percaya kalau mereka mempraktikkan apa yang telah dibincang itu, tak seekorpun hantu akan lepas.

Itu amaran saya.

20.2.08

Menjelang Penamaan Calon

Kalau benar bagai dilaporkan, sehingga hari ini dah hampir 2000 set borang pencalonan telah dijual. Dengan harga RM20 satu set cuba bayangkan berapa banyak SPR mendapat untuk jika dibandingkan dengan modal mencetaknya. Tapi sebagaimana kata-kata Dato Kamaruzaman, Setiausaha SPR "dah ada orang nak beli, takkan kita tak nak jual".

Di samping itu, di sana sini isu calon terus diperkatakan. Ada yang menarik diri, ada yang menawarkan diri, ada yang kata tak nak bertanding tapi dalam hati hanya tuhan yang tahu.

PAS telah memulakan langkah dengan beberapa negeri seperti Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya telah memperkenalkan calon masing-masing.Selamat maju jaya kepada semua.

Cuma harapan saya, sediakan banyak-banyak borang pencalonan tersebut. Selain isi kandungan borang itu bersifat sensitif, ia juga bersifat tidak muktamad. Maksud saya selagi belum dibawa dan diserahkan kepada Pegawai Pengurus pada pukul 9 pagi hari penamaan macam-macam boleh berlaku.

Pengalaman saya tahun 2004 semasa membantu PAS di Parlimen Pengkalan Chepa, hari-hari menjelang penamaan, kandungan (nama calon) empat kali bertukar. Baru muktamad menjelang pukul 2 malam. Bayangkan. Itu di Pengkalan Chepa.

Alhamdulillah, rasanya calon-calon yang disnaraikan di kawasan Pengkalan Chepa ini tidak akan menimbulkan kontroversi. Terima kasih di atas keperihatinan pimpinan dalam merialisasikan usul Mesyuarat Agong PAS kawasan Pengkalan Chepa 2007.

Selepas ini, kita tunggu kalau ada apa-apa perubahan saat terakhir. Kemudiannya kita bergerak untuk mempertahankan kerajaan Islam Kelantan. Jangan dihiraukan orang-orang hutan itu.

17.2.08

Kempen Bermula

Sekiranya anda adalah pemimpin parti, maka berbagai programlah yang perlu anda hadiri. Jika anda adalah petugas parti, maka banyaklah tugasan menenti. Dan jika anda adalah pengambil upah, maka banyaklah poster dan bendera yang anda akan gantung. Pendek kata musim pesta berjaga malam sudah bermula.

Semasa meninggalkan arena kempen, sebelum melabuhkan mata beradu, tidak ada sekeping poster pun tergantung. Esoknya, sudah penuh bergantungan dengan pelbagai bentuk; terpulang kepada tukang gantungnya. Kalau tidak cukup poster, bendera dan lambang parti maka selagi itulah si pemimpin parti digesa untuk menyediakannya.

Malah sampai ke peringkat, ada jentera parti yang merajuk tidak mahu bekerja kerana poster dan bendera kurang. Ataupun lebih parah ada yang beralih arah ke parti lawan.

Sebenarnya itulah realiti permainan politik di peringkat bawah. Bab-bab merancang dan menyusun strategi diserahkan kepada ketua dan setiausaha cawangan. Kalau demam sekalipunpun; apabila selonggok bendera dan poster di depan mata serta merta peluh memercik di dahi.

Melihat suasana itulah, saya tertanya-tanya keseorangan. Berapa pengundi sebenarnya yang kita boleh tarik dengan gantungan bendera dan tampalan poster itu? Adakah pernah terbukti dengan sebab bendera dn poster tersebut, seorang pengundi yang dahulunya mengundi parti lawan akan berubah arah mengundi kita? Sedangkan belanja menyedia, menggantung dan menampal poster tersebut bukan sedikit.

Cuma adalah respon dari seseorang yang menyebut bahawa kita akan kehilangan beberapa undi orang yang mengundi kita kalau tidak ada poster bergantungan. Mati semangat katanya.

Betul juga!!!

Jalan tengahnya...berpada-padalah dengan poster. Janganlah sampai 30% wang peruntukan digunakan untuk poster dan bendera. Habis pilihanraya, sebahagian besarnya akan dibuang dan dibakar sahaja.

Atau; tidak ada cadangankah bagi wakil-wakil parti berpakat untuk mengurangkan poster dan bendera ke tahap 10% sahaja? Kalau semua setuju, wang peruntukan tu boleh digunakan untuk berbagai tujuan yang lain.

Kalau diserahkan kepada saya, banyaklah yang saya boleh buat.

13.2.08

Memang Hari Ini

Akhirnya segala teka teki terjawab tengahari tadi apabila PM mengumumkan pembubaran sesi parlimen. Bermaksud SPR dipertanggungjawabkan untuk menyudahkan segalanya dalam tempuh 60 hari. Bermaksud lebih kurang 10.5 juta pengundi akan menentukan nasib dan masa depan negara bagi 5 tahun mendatang.

Teka teki tekini adalah tarikh penamaan serta hari pembuangan undi. Itu terserah kepada SPR menentukannya.

Saya cuma terkilan satu perkara. Kenapa PMku yang terbaru ni bercakap bohong? Semalam beliau menyatakan parlimen tidak akan dibubarkan hari ini. Tak sampai 12 jam lain pula ceritanya. Kalau nak sembunyikan tarikhpun janganlah sampai berbohong. Seluruh dunia tahu.

Tidak adakah satu sistem yang lebih telus dalam menentukan tarikh pilihanraya. Misalnya; pilihanraya mesti dibuat dalamj tempoh lima tahun. Sampai satu-satu ketika parlimen bubar. Rakyat semua dah tahu tentang tarikh-tarikh pembubaran, pengundian dan sebagainya macam di US.

Nanti taklah perlu berbohong kering macam PMku.

Hari ini Ke?

Saya akan sibuk sehari ini. Tapi memandangkan hari ini juga hari yang agak signifikan dalam tarikh ramalan orang-orang politik, saya curi sedikit masa menulis.

Saya tidak kisah bila parlimen nak dibubarkan. Hari ini, esok ataupun tahun depan. Yang sangat-sangat saya kisahkan adalah tentang bakal-bakal calon yang nak bertanding. Baik pihak kerajaan mahupun pembangkang. Memang jadi calon ni besar kesannya. Glamor, orang kenal berpengaruh dan yang sewaktu dengannya.

Tapi cuba kita kaji.

Apa maksud bertanding? Bertanding maksudnya setiap calun nak menang walaupun dengan satu majoriti. Setiap calun akan merangka srategi, membelanjakan puluhan ribu wang, tenaga, masa serta petugas-petugas. Perkara-perkara tersebut mungkin boleh disedia dan dicari terutamanya kalau bertanding mewakili parti yang sudah establish.

Dalam sistem demokrasi berperlembagaan, perkara yang paling penting adalah undi setiap individu adalah segalanya. Saya percaya setiap kawasan pilihanraya sudah mempunyai rekod lampau yang boleh dijadikan panduan. Parti "A" berapa undi dan parti "B" berapa undi. Situasi peralihan undi besar-besaran jarang sekali berlaku. Malah rekod 1990 dan 1999 pun menunjukkan banyak kawasan pilihanraya tidak berlaku gelombang perubahan ke atas corak pengundian.

Atas alasan tersebut, saya ingin bertanya secara bersungguh-sumgguh. Untuk apa meletakkan calun dan bertanding di kawasan dan negeri yang memang tak akan menang. Malah sampai ke peringkat mustahil menang. Contohnya calon UMNO bertanding di Pengkalan Chepa, Kelantan ataupun calon PAS bertanding di Segamat, Johor ataupun Negeri sembilan. Kata orang pengundi-pengundi di situ selepas keluar dari perut ibu dah menangis "UMNOOOOOO....PASSSSSS". Buat perabih beras jah.

Lebih baik jika tenaga yang ada di kerahkan sepenuhnya ke kawasan putih.

Minta maaflah yee, kerana saya tahu ramai yang tidak setuju dengan pandangan ini termasuk kawan-kawan rapat.

7.2.08

Gong Xi Fa Chai

Selamat tahun baru Cina.

Seperti orang lain, saya juga bercuti hari ini. Tapi bukan di rumah tau. Saya sekeluarga bersama adik-adik - Atikah, Nabil, Ridwana, Hakimah dan Din sekeluarga selamat sampai di Bukit Merah Lake Town Resort jam 2.45 petang.

Sekarang dah selamat mendaftar masuk, mandi dan sembahyang. Cuba lelapkan mata tapi tak pejam juga. Tak tahu apa nak buat, saya buka "lap-top" untuk menyilau blog-blog yang ada.

Sya berazam nak lupakan urusan pejabat sekejap. Dah sakit kepala sangat-sangat tengok fail-fail yang bertambun di pejabat. Hari ni dan esok nak main air puas-puas.

Sekarang saya nak cuba lelapkan mata sekali lagi. Hajatnya malam nanti selepas Maghrib nak ke Zoo Taiping - Night Safari. Cuba cari pengalaman baru untuk budak-budak.

Sekali lagi, Gong Xi Fa Chai.

3.2.08

The Rock & The Bar

I

Entah kali berapa saya telah menonton The Rock; lakonan Sean Connery dan Nicholas Cage. Malam ni sekali lagi peluang itu datang apabila satu program dibatalkan. Rasa macam teruja sangat dengan lakonan bersahaja Sean dan macam-macam bodoh Cage dalam usaha menyelamatkan jutaan nyawa dari senjata kimia.

Apa yang menariknya juga dalam cerita tersebut adalah tentang usaha sekumpulan askar marin USA yang cuba menarik perhatian pemerintah terhadap kesengsaraan, pengorbanan dan yang sewaktu dengannya yang dialami oleh tentera-tentera dalam perkhidmatan mereka. Pengorbanan mereka tidak mendapat perhatian daripada kerajaan.

Ketika itulah bermulanya jalan cerita. Sekumpulan tentera marin merampas Alcatraz dengan 81 pelancong sebagai tebusan. Mereka menuntut USD100 juta sebagai gantitugi terhadap keluarga tentera marin yang terkorban dalam peperangan dan dinafikan sebarang pampasan. Mereka juga mengugut untuk melancarkan 15 biji roket mengandungi VX nerve gas sekiranya tuntutan tersebut tidak dipenuhi.

Pada masa tersebutlah keluarnya cerita John Mason dan Stanley Goodspeed yang telah berjaya menghalang bencana menimpa. Kesudahan agak menarik kerana ia diserikan dengan sedikit humor.

OK. Sebenarnya bukan jalan cerita yang nak saya ceritakan sangat. Tapi sedikit pengajaran yang dapat saya petik adalah betapa sebenarnya ada segolongan manusia yang sanggup membuat apa sahaja untuk mencapai cita-cita mereka; walaupun mungkin cita-cita tersebut agak mulia. Tapi jalan untuk mencapai cita-cita tersebut tidak elok.

Kita biasa sebut suasana tersebut dengan doktrin Machiavelli yang menganjurkan ajaran matlamat menghalalkan cara.

Islam tidak pernah menganjurkan demikian. Kerana itulah saya sedikit terkedu membaca berita hari ini menyatakan bahawa letupan di sebuah pasar di Iraq adalah akibat dari pengebom berani mati wanita. Dikatakan bahawa wanita tersebut adalah seorang wanita yang cacat otaknya (mentally retarded).

Saya berdoa agar bukan itu perkara yang sebenar. Islam tidak mengajar begitu. Islam adalah agama keselamatan. Hanya musuh Islam yang menggambarkan sebaliknya. 9/11 dijadikan alasan.

Filem-filem pasca 9/11 semuanya menunjukkan orang barat yang menjadi pengganas. Hanya selepas itu Islam dan umatnya dikaitkan dengan pengganas.

Saya percaya itulah antara cubaan barat menjauhkan manusia dari kebesaran Islam. Tapi saya juga percaya Islam akan tetap menang. Insya Allah.


II

Petang tadi dalam Mesyuarat Agung Jawatankuasa Peguam Negeri Kelantan, saya telah dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa Peguam Negeri Kelantan. Saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan rakan-rakan untuk saya bagi tahun kedua berkhidmat.

Sesi lepas saya telah diamanahkan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Syariah. Untuk tahun ni belum di putuskan lagi. Nantilah saya catatkan kemudian.

2.2.08

Politik

Jika pembaca telah meneliti catatan saya sebelum ini, tentu ramai yang dah tahu saya ada terlibat dalam politik kepartian. O.K. saya mengaku saya dah terlibat dalam politik kepartian ni sepanjang hidup saya. Seingat saya masa darjah dua dulu saya dah ada kefahaman politik. Saya dah tahu apa erti kempen, poster, bangsal panas dan sebagainya ketika itu.


Apatah lagi sekarang.


Walaupun tak banyak, adalah juga jawatan yang saya pegang dalam politik ni. Dari cawangan sampailah ke peringkat negeri. Jawatan pusat saja saya tak pernah pegang. Seingat saya semasa sekolah, universiti, bekerja; tidak ada satu haripun hidup saya kosong dari politik.

Kerana itulah, saya termanggu-manggu sekejap apabila ada seorang kenalan bertanyakan tentang cita-cita saya dalam politik. Saya tanya balik apa maksudnya. Beliau jawab apa-apa sajalah yang berkaitan.

Macammana saya nak jawab ye? Baiklah saya jawab sebagaimana pengalaman yang pernah saya alami.

Tahun 1992, semasa saya di tahun 2 Matriukulasi UIA, di ambang pilihanraya kampus, sahabat saya bertanyakan samada saya berminat untuk menjadi calun mewakili HI. Tanpa berfikir terus saya jawab tidak. Noktah di situ. Kemudiannya pada tahun tersebut saya dipilih sebagai Presiden Majlis Perwakilan Kolej UIA; tanpa pertandingan.

Seterusnya pada tahun 1994 (satu tahun penuh tribulasi di UIA), sekali lagi saya ditanya dan jawapan saya tetap sama. Saya tidak akan bertanding. Sessi 1995/1996 saya dilantik sebagai Ketua Musyrif Kolej Abu Bakar dan sekaligus menjawat Presiden Majlis Perwakilan Kolej termasuk di Gombak. Juga tanpa pertandingan.

Selepas habis belajar, saya balik ke tempat asal. Menetap, berkahwin dan bekerja. Tapak saya di Pengkalan Chepa. Orang kata kubu terkuat Islam di dunia. Saya dilantik pada tahun 1997 sebagai AJK dewan pemuda Pas kawasan. Kekallah saya di situ sehingga tahun 2007.

Tahun 2007 adalah tahun pemilihan. Beberapa cawangan mencadangkan nama saya sebagai Timbalan Ketua Dewan pemuda disamping nama lain. Sehari sebelum pemilihan, Setiausaha dewan bertanyakan saya samada mahu bertanding atau tidak. Jawapan saya "Jika nak ambillah. Saya tidak berminat". Full stop.

Demikianlah jawapan saya untuk yang bertanya tentang cita-cita saya dalam politik. Politik adalah darah daging saya. Mencari makan dengan politik bukan cara saya. "Politik O.K. Politiking K.O".

Jangan bimbang dengan saya. Saya tidak akan merampas kedudukan "anda".
Blog Widget by LinkWithin