29.12.08

Intifadah - Doa Maal Hijrah 1430

Khaibar..Khaibar ... Ya Yahuud... Jaishu Muhammad Saufa Ya'uud...



Ya Allah,

Sesungguhnya kami meletakkanMu di batang-batang leher musuh-musuh kami Dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan-kejahatan mereka

Ya Allah,

Leburkanlah kumpulan mereka. Pecah belah dan kacau bilaukan kesatuan mereka. Goncangkan pendirian mereka Dan hantarkanlah anjing-anjingMu ke atas mereka.

Wahai Tuhan Yang Gagah Perkasa.

Wahai Tuhan Yang Gedebe.

Wahai Tuhan Yang Bersifat Murka.

Ya Allah Ya Allah Ya Allah

Wahai Tuhan yang menurunkan kitab
Wahai Tuhan yang mengarakkan awan
Wahai Tuhan yang menewaskan tentera Al-ahzab

Kalahkan mereka.. Kalahkan mereka.. Kalahkan mereka..
Dan menangkan kami ke atas mereka.

27.12.08

Snippet - Post Haji 2008

Alhamdulillah dan syukur lillah

Saya dan Ummi telah selamat kembali ke tanah air pada pagi 24 Disember yang lalu.

Terima kasih di atas doa kalian semua; membantu memudah urusan kami di sana. Bermula dari Madinah al-Munawwarah sehinggalah ke Kota Mekah, belum pernah semudah dan setenang ini perjalanan yang saya lalui.

Sedikit sebanyak mengalami batuk dan selsema adalah asam garam perjalanan di samping kafarah tuhan terhadap hambanya. Alhamdulillah, tidak sesekali rasa tidak selesa tersebut dijadikan alasan untuk bermalas-malasan ke al-Haram.

Perjalanan itu juga menemukan saya dengan beberapa orang yang boleh dijadikan sahabat (di samping beberapa orang yang mungkin hanya sekadar kenalan).

Tapi itulah beberapa hakikat kehidupan yang saya temui di sana. Tidak semua yang bertalbiah bersama kita, berkongsi cita rasa yang sama dengan kita termasuk dalam urusan ke al-Haram.

Dan saya bersyukur mempunyai Ummi yang memberi semangat kepada saya ketika saya lemah dan memimpin saya ke arah kebaikan.

Saya sedar diri ini tidak akan dapat mengulangi prestasi(?) ibadat di sana. Kekangan masa dan kesibukan harian akan sentiasa menghantui saya selepas ini. Hanya kepada Allah s.w.t saya pinta agar menetapkan hati saya istiqamah di atas kebenaran.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih di atas ucapan selamat oleh rakan-rakan blogger dalam posting terdahulu. Maaf dipinta kerana tidak dapat membalasnya secepat mungkin. Di sana saya betul-betul terputus hubungan luar.

Insya Allah saya akan berkongsi perjalanan tersebut dalam catatan lain di masa hadapan; semoga dapat dijadikan teladan kepada kita semua.

3.11.08

Catatan Terakhir Sebelum Berangkat

Saya kira entri ini adalah yang terakhir sebelum menjelangnya tahun baru. Saya mohon untuk mengundurkan diri barang seketika dari dunia siber. Mohon diberi kekuatan untuk menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s.

Jika saudara pernah membaca catatan saya bertarikh 1.1.2008 dahulu, tentu saudara faham maksud saya. Alhamdulillah dan Insya Allah, saya dan Ummi adalah antara 27,000 rakyat Malaysia yang di beri kouta untuk mengerjakan Haji musim 1429 hijrah ini.

Kami akan bertolak ke sana pada 8 November dan dijadulkan balik semula pada 24 Disember 2008.

Antara takut dan harap. Itulah perasaan saya ketika ini.

Takut; apakah penyerahan diri ini akan diterima Allah, dan harap; semoga dikurniakan haji yang mabrur. Dan tentunya doa dari kalian saya tagih sebagai penambah bekalan ke sana.

Esok, saya dan Ummi akan mula bercuti dari kerja-kerja pejabat. Hasratnya selain menyiapkan bekalan fizikal adalah untuk berkunjung ke rumah saudara-mara yang keuzuran, bertemu mata; entah-entah kali terakhir (samada mereka atau kami?).

Kami memohon untuk ke sana dengan beban yang kosong.

Saya pohon dengan sepenuh hati, jika ada dosa dan silap kami....kami pohon...halalkanlah ataupun beritahulah kami agar kami yang menyebutnya.

Semoga dengan jasa baik kalian akan memudahkan kami ketika berada di sana.

Sekian, wassalamualaikum wrh.

30.10.08

Tahniah untuk Tan Sri Zaki

Selepas berhadapan dengan teka-teki dan kontroversi, akhirnya Ketua Hakim Negara yang ke 12, YAA Tan Sri Zaki Azmi mengangkat sumpah jawatan semalam. Dan saya menyambut baik ucapan sulong sebagai Ketua Hakim untuk mereformasikan bidang kehakiman negara.

Sebegaimana yang pernah saya luahkan sebelum ini, bidang kehakiman adalah satu dari tiga organ terpenting negara. Ianya diiktiraf oleh perlembagaan negara. Di mana jatuh dan bangunnya negara tertakluk antaranya kepada penghormatan dan pengiktirafan rakyat terhadap sistem kehakiman.

Saya tidak memandang kaitannya dengan UMNO sebelum ini sebagai halangan untuk menjadi Ketua Hakim terbaik. Apa yang saya akan lihat adalah berdasarkan keputusan dan tindakannya selepas ini. Saya percaya YAA tidak akan meninggalkan legasi yang tidak baik terhadap dirinya melainkan dengan membuat keputusan berasaskan kepada undang-undang dan fakta.

Cerita selanjutnya di sini.

23.10.08

Snippet - Perlantikan Hakim

Rasanya tidak terlewat untuk saya mengucapkan tahniah kepada YAA Ketua Hakim, YAA Hakim Besar Malaya dan YAA Presiden Mahkamah Rayuan yang baru. Walau apapun prasangka massa, saya percaya tindakan serta keputusan yang diambil oleh YAA semua berasaskan fakta dan undang-undanglah yang akan menentukan legasi bagi generasi akan datang.

Dari tiga YAA tersebut, saya hanya pernah dan sempat hadir di hadapan YAA Hakim Besar Malaya Datuk Arifin Zakaria sahaja semasa YAA bertugas di Mahkamah Tinggi Kota Bharu kira-kira 9 atau 10 tahun yang lampau. Malah boleh dikatakan kerjaya undang-undang saya bermula di hadapan YAA.

Permohonan Saman Pemula di bawah Seksyen 36(2) (a) & (b) Akta Profession Undang-Undang 1976 (short call) saya telah di dengar oleh YA Dato' Arifin; 'mention' saya yang pertama beberapa hari kemudian berlaku di hadapan beliau (yang mengajar saya bahawa selain undang-undang, peguam perlu juga mempunyai pengetahuan lain termasuklah bila tarikh anak sulong pengajar saya akan grad!!!!)

Dalam kekeliruan apabila saya menjawab "tidak ada dalam pengetahuan saya", dengan senyuman beliau berkata "kena tahulah....".

Akhirnya, lebih kurang 7 bulan kemudian, sekali lagi saya tampil di hadapan beliau dalam majlis penerimaan masuk sebagai peguambela dan peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya. Saya masih ingat lagi ucapan beliau dalam majlis tersebut "walaupun dari rekod pengajian kamu yang agak cemerlang dengan 2 ijazah sibil dan syariah, jangan berhenti di situ sahaja tetapi anggaplah hari ini sebagai permulaan pengajian kamu yang sebenar...".

Saya pegang sampai bila-bila.

15.10.08

Cerpen Tah Apa-Apa 2

"Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian.

Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri.

Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.

YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.

Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.

Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.

Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.

Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.

Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.

Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan."


Ulasan saya : Oohhh!!! Alangkah malangnya anak muda itu. Sia-sianya pengorbanan. Namanya tetap menjadi sumpahan rakyat. Matinya membunuh diri. Tidak diterima bumi.

Cerpen Tah Apa-Apa 1

Politik baru YB J PDF Print E-mail
Saya salin dari laman web The Malaysian Bar.

Wednesday, 15 October 2008 06:51am

©Mingguan Malaysia (Digunakan dengan kebenaran)

PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J sukar dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga Cha di ibu kota, fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi lagi. Entah mengapa baru sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak pasti sama ada pemandunya, Ahmad, menyedari gelora jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun, peduli apa, YB Josephine berbisik sendirian.

Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang kepentingan kaumnya vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad menghormati pendiriannya, walaupun dilihat anti- Melayu, anti-Islam sebagai hak asasi tinggal dalam sebuah negara demokrasi. Bukankah kebebasan asasi itu dijamin oleh Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi YB J akui demokrasi ada yang tidak sempurna dan kerap disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi hakikat itu tidak menghalang rakyat menempatkan pembangkang di Dewan Rakyat. YB Josephine adalah salah seorang daripadanya.

Ah, tudahan dia anti-Islam, anti-Melayu tuduhan yang melulu bentak YB J seolah-olah mahu menyedapkan dirinya.. Ia juga tuduhan yang tidak berasas, hati kecilnya bersuara lagi. Dia meyakinkan dirinya bahawa kenyataankenyataan yang dibuatnya atas nama pelbagai kaum untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya, bukan sesuatu yang rasis. Amensty International, organisasi hak asasi antarabangsa akan menyetujuinya. Begitu juga dengan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketua Pembangkang, di Parlimen pun tidak pernah menganggapnya rasis. Yang menganggapnya rasis hanya orang Melayu di dalam Parti Orang Melayu (POM).

“Aku juga bukan anti-Islam. Aku bukan anti Melayu,” pujuk hati YB J yang sudah dua penggal bergelar YB itu, mewakili Parti Bertindak Rakyat. Parti itu dianggotainya sejak berada di kampus lagi, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang para siswa membabitkan diri secara langsung dalam mana-mana organisasi siasah. Lagi pun penguatkuasaan undang-undang itu sekadar melepas batuk di tangga. Lebih dari itu, ia adalah satu lagi undang-undang lapuk, kata YB J.

Kata hatinya lagi: “Aku sekadar memperjuangkan kepentingan kaum aku, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM memperjuangkan kepentingan bangsanya, sama seperti pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa menggunakan wajah Islamnya.”

Malah YB J berasakan kelantangannya memperjuangkan kepentingan kaumnya itulah yang telah membantunya menang kali kedua kerusi Parlimennya. Kali ini dengan majoriti yang lebih besar lagi. Apa yang membanggakan dia adalah perjuangan yang dianggap anti-Melayu dan anti-Islam itu kini turut disokong pengundi-pengundi Melayu di kawasan pilihan rayanya itu. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan sebahagian besar pengundi Melayu yang merupakan 20 peratus keseluruhan pemilihan berdaftar dalam kawasan Parlimen Alam Maya telah memangkahnya.

Ini satu perkembangan luar biasa. Tidak mungkin mereka menyokong aku, bisik hatinya. Tetapi apabila dimaklumkan oleh para pekerja parti bahawa pengundi Melayu di semua peti undi telah beralih arah mendokongnya, dia menerimanya dengan fikiran terbuka. Baguslah kalau orang Melayu menerima perjuangan Malaysia Barunya.

Tidak puas hati bermonolog dengan perasaannya, YB J secara spontan berpaling kepada Ahmad, pemandunya yang sejak tadi tekun dengan tugasnya.

“Kamu fakir saya anti-Islam, anti-Melayu?”

Pertanyaan

Ahmad yang sudah menghampiri usia bersara itu tidak menjawab, seolah-olah dia tidak mendengar pertanyaan itu. Matanya tertumpu ke jalan raya. Tugasnya adalah untuk mempastikan YB J selamat ke majlis yang ingin dihadirinya. Dan tiba tepat pada waktunya. Majlis itu penting kerana YB J akan mengadakan dialog dengan generasi muda seketurunan dengannya yang belajar di luar negara tetapi kebetulan berada di tanah air kerana bercuti. Ahmad sendiri tidak pasti sama ada pelajar yang pernah mempersendakan lagu Negara Ku sewaktu menuntut di sebuah universiti di Seberang Laut turut berada dalam kelompok itu. Kalau pun ada, pemandu YB J tidak ambil pusing. Budak itu memang kurang ajar. Ada ke patut Malaysia dianggap sebagai Negara Kuku (ejaan Inggerisnya cuckoo) yang bermaksud gila. Dan kreativiti digunakan untuk menghalalkan perbuatan biadapnya itu. Cuma Ahmad berfikir kalau semua orang dibiarkan menghina lagu Kebangsaan dengan lirik yang memperlekehkan kehidupan orang Islam, dan atas nama kreativiti, maka kesannya terhadap perhubungan kaum adalah negatif.

Ahmad tidak tahu apakah yang sebenarnya mengganggu bosnya itu sejak dari tadi lagi. Dia jarang begitu. Ahmad dapat mengesan YB J lain macam sahaja pagi itu. Dia dapat membaca keresahan dan kegelisahan YB J. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena walaupun apa yang sebenarnya berkocak di dalam diri YB J dia tidak pasti. Sepanjang ingatan Ahmad, YB J juga tidak pernah berbual dengannya tentang politik, apa lagi tentang isu-isu semasa - kecuali memberi arahan yang ada kaitan dengan perjalanan atau jadual kerja. YB J juga tidak bertanya sama ada dia mengundi pom atau parti apa pada pilihan raya yang lalu.

Lazimnya, sepanjang perjalanan, baik ke pejabat atau majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang lain, YB J akan menghabiskan masa membaca akhbar atau membelek-belek fail. Tetapi pagi itu YB J lain macam sahaja. Dia kelihatan resah. Gelisah. Fikirannya juga seolah-olah tidak menentu. Apa yang dibuat serba tak kena. Sekejap dia membelek ucapan utama yang akan disampaikan sebentar lagi menghuraikan gagasan Politik Baru Malaysia Baru yang dipeloporinya. Sekejap dia membelek akhbar-akhbar yang memang menemani YB J ke mana juga dia pergi.

Ahmad cuba mencongak mungkin keresahan YB J ada kaitan dengan suhu politik negara sedang panas ketika itu. Bahangnya terasa di mana-mana. POM sendiri sedang menghadapi pergolakan yang hebat berkait dengan kepimpinannya. Pertarungan kepentingan puak-puak di dalam parti sedang mengambil tempatnya. Kalaulah tidak kerana kedudukan politik kerajaan agak lemah selepas kehilangan majoriti dua pertiga, sudah lama Operasi Lalang, seperti yang pernah dibuat pada 1987, dilaksanakan, agaknya. Mungkin juga tidak kerana di bawah kepimpinan sekarang, kerajaan mengambil sikap yang lebih liberal terhadap para pengkritiknya.

Ahmad juga terfikir mungkin perasaan YB J terganggu dengan tindakan kalangan yang tidak diketahui siapa mereka melempar bom petrol ke rumah keluarga ahli Parlimen Sepohon Beringin, Su Lan. Barangkali, fikir Ahmad, YB J, bimbang kejadian yang sama boleh menimpa diri atau keluarganya.

Mana tahu selepas keluarga Su Lan, bosnya YB J pula yang menjadi mangsa. Dan yang dilempar itu bom betul-betul. Meletup pula. Tidakkah nahas YB J. Sekonyong-konyong Ahmad terbayang kejadian letupan bom berani mati yang berlaku di Damsyik, Syria yang ditonton menerusi Buletin Utama di TV3 beberapa hari lalu. Kalau kejadian yang sudah menghiasi kehidupan harian di Iraq, Israel, Tebing Barat, Gaza atau Afghanistan itu menular di negara ini, alangkah malangnya bumi bertuah ini. Minta disimpang malaikat 44, Ahmad berkata sendirian di dalam hatinya.

Tetapi fikir Ahmad, amaran kalau tidak diendahkan berbahaya. Dia teringat apa yang diceritakan berlaku pada 13 Mei 1969. Bapanya menceritakan dalam tragedi selepas pilihan raya umum pada 10 Mei itu, orang Cina dan Melayu berbunuh-bunuhan. Perjuangan yang mahu menafikan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat diterima oleh mereka. Kata-kata kesat dan menghina orang Melayu oleh para penyokong parti-parti pembangkang sewaktu berarak meraikan kemenangan besar di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain pada pilihan raya 1969 itu tidak dapat ditelan oleh orang Melayu. Parang yang terbiar tumpul selama ini diasah tajam. Dalam keadaan itu tercetuslah pergaduhan yang dahsyat menyebabkan Parlimen digantung dan pemerintahan darurat diisytiharkan. Negara diletakkan di bawah perintah berkurung. Ahmad sendiri belum lahir ketika itu. Tidak lama selepas itu, peralihan kuasa berlaku daripada Tunku Abdul Rahman kepada timbalannya, Tun Abdul Razak.

“Mat, saya ni anti-Melayu dan anti-Islam ke?,” YB J secara mendadak mengulang semula pertanyaannya apabila tiada jawapan daripada pemandunya.

Ahmad, yang sejak tadi membisu seribu bahasa selamba menjawab: “Mungkin tidak YB.” Dia memberi jawapan berlapik. Maksudnya: Mungkin tidak, mungkin ya bergantung pada mata yang menilai.

“Apa maksud kamu mungkin tidak.”

" Ini soal persepsi YB. Persepsinya begitulah. Hakikatnya YB tidak membenci Melayu tidak juga membenci Islam. YB sekadar memperjuangkan kepentingan kaum YB. Tidak salah YB berbuat demikian. Kalau YB tidak memperjuangkan kepentingan kaum YB sendiri, siapa lagi. Tetapi cara YB itu barangkali disalahertikannya.”

“Maksud kamu?" Tanya YB J yang masih belum jelas lagi.

Bergantung

“Yalah, ia bergantung pada mata yang memandang. Bukan sahaja di kalangan orang Melayu, tetapi di kalangan bukan Melayu. YB kena ingat di kalangan bukan Melayu pun bukan semuanya menerima politik baru Malaysia baru YB. Kalau tidak masakan parti satu kaum seperti Parti Orang Cina (POC) masih boleh bertahan.”

“Apa maksud kamu. Saya tidak begitu jelas?"

“Yalah bagi YB perjuangan YB adalah pelbagai kaum. Tetapi dalam tindak tanduk, perjuangan pelbagai kaum YB itu tidak tertonjol. YB mahu menghapuskan tulisan jawi dan ganti dengan tulisan Cina . Bagi mereka itu bukan perjuangan pelbagai kaum. Ia perjuangan satu kaum. Kalau benar pelbagai kaum, YB patut mempertahankan tulisan jawi.” Ahmad memberanikan diri untuk memberikan pandangannya.

Mengesan bosnya ingin mendengar pandangannya lagi, Ahmad berkata: “Patutnya kalau YB benar-benar ingin menjadi pejuang pelbagai kaum, kepentingan orang Melayu jangan diketepikan sewaktu mengetengahkan kepentingan kaum Cina. YB perjuangkan kepentingan kedua-duanya sekali. Penerimaannya saya pasti berbeza. YB akan dilihat sebagai mahu menjaga kepentingan kaum YB, tetapi pada waktu yang sama tidak menafikan hak orang Melayu.”

Itu perjuangan POM dan POC, dengus YB J di dalam hatinya. Bosan aku dengan Si Ahmad ini, dia berkata sendirian. Aku penganjur politik baru dan tidak mahu terikat dengan kerangka politik lama, katanya lagi kepada dirinya.

Perbualan YB J dengan pemandunya habis di situ sahaja. Dia tidak mahu lagi mendengar pandangan karut pemandunya. Dia mahu terus melayan perasaan: Aku percaya pada Politik Baru Malaysia Baru, tegas YB J pada dirinya. Setiap warganegara, tanpa mengira apa keturunan mereka patut diberi hak yang sama mengikut undang-undang. Tidak ada bangsa yang patut diberi layanan istimewa. Tidak ada warga yang patut diberi darjat atau kelas kedua. Kita semua orang Malaysia.

YB J enggan melayan Ahmad lagi. Sebaliknya, dia membelek akhbar Utusan Malaysia yang secara rasmi diboikot oleh partinya. Perhatiannya tertumpu pada artikel berjudul Jangan Padam Rekod Negara yang ditulis oleh seorang generasi muda Cina yang menolak tesis politik baru Malaysia baru.

Ah, satu lagi propaganda yang memperlekehkan kaum aku, dengus hati YB J. Jangan-

jangan yang menulis artikel ini orang Melayu. Mereka masih menganggap kaum aku sebagai berketurunan pendatang. Tidak guna punya generasi baru. Dengus YB J. Bisik hatinya lagi: Betullah dulu nenek moyang aku berhijrah ke bumi bertuah ini untuk mencari kekayaan, membebaskan diri mereka daripada kemiskinan dan keperitan hidup di China. Itu dulu. Generasi Cina sekarang sudah menjadi warganegara Malaysia dan mereka hendaklah dilayan seperti warganegara Malaysia..

Dikejutkan

Sedang YB J asyik dengan lamunannya, dia dikejutkan dengan suara pemandunya yang memaklumkan, “Kita sudah sampai YB.”

Menunggu dia di luar ialah para penganjur dialog yang bakal berlangsung. Salah seorang daripada mereka membuka pintu kereta YB J, bersalaman dengannya dan memperkenalkannya dengan ahli jawatankuasa penganjur yang lain. Diiringi oleh mereka, YB J dibawa ke pentas. Menurut kiraannya ada 500 orang di dalam dewan pagi itu. Dia bangga dengan kehadiran begitu ramai anak bangsanya yang ingin bertemu dengannya. Apa yang lebih membanggakan YB J ialah mereka belajar luar negara dengan biayai sendiri, bukannya bantuan kerajaan.

Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian.

Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri.

Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.

YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.

Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.

Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.

Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.

Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.

Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.

Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.

9.10.08

Analisa Awal Pengumuman Pak Lah

1. Hari ini gegak gempita dunia siber dengan berita dan ulasan berkenaan keengganan Perdana Menteri mempertahankan jawatannya. Setelah berdolah-dalih hampir setengah tahun Pak Lah akhirnya membuat pengumuman tersebut walaupun masih ada saki baki penyokong merayu untuk sebaliknya.

2. Serentak dengan pengumuman tersebut, beberapa calon sudah menwarkan diri dengan berbagai jawatan yang ada. Terakhirnya adalah tawaran oleh Ketua Penerangan UMNO untuk dipilih sebagai Timbalan Presiden. Besar jawatan tersebut; seakan otomatik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

3. Agaknya yang paling gembira dengan pengumuman tersebut Tun Dr. Mahathir. Ada peluang untuknya mengisi borang UMNO semula. Tapi saya percaya Tun tidak akan berhenti setakat itu sahaja kerana seorang lagi masih berleluasa. Khairi menantu Pak Lah; lawan Mukhris merebut kerusi Ketua Pemuda UMNO.

4. Setakat ini juga (jika cukup pencalonan) perebutan tetap berlaku bagi kerusi Presiden. Semestinya antara Dato' Najib dan Ku Li. Atau mungkin juga ada nanti ketua cawangan mana-mana yang menawarkan diri; untung-untung boleh jadi Perdana Menteri.

5. Tidak dapat tidak , proksi orang itu dan orang ini, kem-kem akan dibentuk. Untung-untung kalau menjadi sabut timbul. Hakikatnya begitulah bermain politik.

6. Tapi setakat mana pengumuman Pak Lah itu. Adakah setakat di mulut sahaja atau cuba mencipta sejarah selepas Tun Mahathir? Hanya masa yang akan menentukannya. Tapi dalam diam-diam disindirnya Tun. Tahun 2020 nanti, dia dah berumur 80 tahun. Takkan umur macam tu dia nak menyibuk lagi.

7. Apapun hakikatnya, UMNO sudah sampai ke penghujung usia. Ibarat menarik nafas yang terakhir sahaja, sebelum hembusan yang terakhir. Kecuali kalau pengganti Pak Lah amat berwibawa. Tapi berwibawakah Dato' Najib?

8. Tolong jawab secara terbuka dan berani tuduhan RPK dan Kickdefella terhadap anda, sebelum mungkin rakyat menyokong anda. Pemimpin bukan setakat perlu bersih tapi mesti dilihat bersih (tambahan - bukan setakat batang tubuh pemimpin itu tapi keluarganya juga).

9. Secara peribadi, antara Ku Li dan Najib, saya lebih suka kalau Najib yang menang. Manakala untuk timbalannya harap-haraplah Mat Taib yang menang. Mudah kita nak ceramah.

6.10.08

Snippets - Post Raya 1429

1. Dengan berakhirnya Ramadhan dan menjelangnya Syawal, kita telah memasuki bulan-bulan haram iaitu Syawal, Zul Qaedah, Zul Hijjah dan Muharram. Ianya juga menandakan bahawa bulan-bulan haji telah menjelma dan selepas ini umat-umat Islam akan berduyun-duyun pula ke sana menyahut seruan Nabi Ibrahim a.s.

2. Sepanjang bulan Syawal ini juga, umat Islam berpuasa selama enam hari bagi melengkapkan ibadah puasa sebulan yang lepas. Saya dan Ummi berpuasa lebih awal pada tahun ini bagi mengelakkan 'jam' di penghujungnya.

3. Ada beberapa jemputan kahwin yang tidak sempat saya penuhkan pada hari Sabtu lepas. Saya hanya sempat bertandang ke 5 tempat sahaja. Itupun tidak menjamah hidangan; hanya sekadar minum air.

4. Buat pertama kali saya berpeluang berhari raya secara 'YM' dengan adik di UMS. Rupanya canggih dunia sekarang.

5. Hari ini, hari pertama saya masuk pejabat. Suasana berkerja masih belum terasa sangat sebab masing-masing masih bercerita tentang jamuan raya yang tak habis-habis. Tak pe... bagi peluang seminggu.

2.10.08

Deklarasi Mimbar Khutbah 'Idil Fitri 1429

"Hari ini timbul semangat ingin membuat perubahan; kerana tidak senang dengan keadaan yang berlaku sekarang.

Tetapi wahai umat Islam,

Ingatlah di mana letaknya Islam. Sekiranya Islam ditinggalkan lagi, maka sama sahaja buruknya dan boleh jadi lebih buruk kalau kita tidak berhati-hati dan mengikut hati yang tidak kembali kepada petunjuk Allah."


29.9.08

Minal 'Aidiin Wal Faizzin... Kullu 'Aamin Wa antum Bi Khair

Assalamualaikum wrh.,

Saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Idil Fitri kepada
seluruh umat Islam di mana jua berada.
Semoga kedatangan hari raya ini membawa sinar baru dalam kehidupan kita.
Dan semoga Ramadhan yang bakal beransur akan menjengah lagi pada
masa akan datang.

"Taqabbalahhu minna Wa minkum"

"Minna wa minkum taqabbalahullah Ya Karim"

Ikhlas dari kami:

Nik Bahrum Bin Nik Abdullah
Khairiah binti Mohamed
Nik Asma Madiha
Nik Ahmad Madhi
Nik Asma Majida
Nik Ahmad Majdi

p.s. : Buat kali pertama adik beradik seramai 16 orang tidak dapat berkumpul di hari raya tahun ini; Nik Khairi berkelana di London dan Nik Nur Syuhada berkampung di UMS. Ketahuilah, doa untuk kalian tetap mengiringi Solat kami. Semoga berjumpa lagi di lain ketika.

21.9.08

Lailatul Qadar

Disalin dari Berita Harian Online


Persoalan Agama: Alam semesta beri tanda kedatangan lailatulqadar

Bersama Jakim


Saya ingin tahu mengenai lailatul qadar yang pada pandangan saya bercampur baur antara fakta dan mitos. Bagaimana hendak tahu lailatulqadar berlaku. Melalui pembacaan dan pandangan sesetengah orang, antara tanda lailatulqadar ialah suasana ketika itu hening dan tenang, malah ada menyatakan pokok tunduk ke bumi dan air telaga beku. Betulkah? Apakah yang sebenarnya berlaku?


Salahuddin Samat

Bagan Dalam, Pulau Pinang



Lailatulqadar ialah satu malam yang amat agung pada setiap Ramadan. Ia juga malam perhubungan mutlaq antara bumi dan alam al-Malaul-A'la. Pada malam itu juga diturunkan al-Quran keseluruhannya ke langit dunia sebelum diturunkan secara berperingkat kepada Nabi Muhammad SAW seperti firman Allah "Sesungguhnya Kami sudah menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatul qadar." (Al-Qadr:1) Mencari malam lailatul qadar adalah sunat kerana Rasulullah SAW menurut hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim menyatakan bahawa Baginda berusaha sedaya upaya pada malam 10 akhir Ramadan melebihi usahanya daripada malam lain.


Mengenai cerita dan riwayat yang dikatakan berlaku pada malam itu perlu kita selidiki mengenai sejauh mana ia bertepatan dengan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW. Banyak pandangan beberapa sahabat dan ulama mengenainya antaranya ialah pandangan Imam Ghazali. Menurut beliau malam ini boleh diketahui melalui:


  • Jika awal Ramadan pada Ahad atau Rabu, maka lailatulqadar pada malam 29 Ramadan.


  • Jika awal Ramadan pada Isnin, lailatul qadar pada malam 21 Ramadan.


  • Jika awal Ramadan pada Selasa atau Jumaat maka lailatulqadar pada malam 27 Ramadan.


  • Jika awal Ramadan pada Khamis, lailatulqadar pada malam 25 Ramadan.


  • Jika awal Ramadan pada Sabtu, maka lailatulqadar pada 23 Ramadan.


    Selain tanda itu malam ini juga boleh dikenali dengan beberapa tanda iaitu:


  • Malam itu langitnya kelihatan suci bersih.


  • Bulan bercahaya segar dan terang benderang.


  • Udaranya nyaman, tidak sejuk dan tidak panas.


  • Langit tidak diganggu bintang.


  • Matahari pada waktu paginya memancarkan cahaya seimbang seperti cahaya bulan purnama.


    Bagaimanapun, lailatulqadar ialah rahsia yang hikmahnya supaya umat Islam terus mencari dengan menggandakan amal ibadah. Rasulullah bersabda "Telah datang kepada kamu Ramadan bulan membawa berkat, Allah menyelubungi kamu, lalu ia menurunkan rahmat serta menghapuskan kesalahan-kesalahan. Allah SWT memperkenankan doa pada bulan itu. Allah juga melihat perlumbaan antara kamu pada Ramadan dan menyampaikan kebanggaan-Nya terhadap kamu kepada malaikat. Oleh itu hendaklah kamu membuktikan kebaikan kamu kepada-Nya. Sesungguhnya orang yang celaka itu ialah orang yang dijauhkan atau diharamkan oleh Allah daripada mendapat rahmat-Nya." (Riwayat Tabarani)
  • 16.9.08

    Tahniah Untuk Dato' Zaid

    1. Saya mengucapkan tahniah di atas keputsan muktamad perletakan jawatan Dato' Zaid Ibrahim dari jawatan menteri Kabinet. Keputusan itu menunjukkan betapa besarnya jiwa Dato' Zaid dalam hal-hal kepentingan umum.

    2. Keputusan itu juga menunjukkan satu contoh "Walk of the Talk" yang paling jelas. Dato' bukan sahaja bercakap mengenai kepincangan ISA tapi bertindak menentangnya.

    3. Dalam sejarah Malaysia moden, inilah kai pertama saya dapat melihat seorang menteri kabinet meletak jawatan di atas prinsip. Sebelum ini ramai menteri yang bercakap semata, tapi masih melonggok di dalam kabinet menunggu masa di pecat.

    4. Walaupun fahaman politik saya berlainan dengan Dato', tapi saya bangga kerana anak Kelantan sekali lagi melakar sejarah. TAHNIAH DATO ZAID IBRAHIM.

    13.9.08

    Snippets - Ikut Suka Aku

    1. Saya boleh faham kenapa Raja Petra dan YB Teresa ditahan di bawah akta ISA.

    2. YB Teresa Kok adalah orang politik yang ada-ada saja tegurannya.

    3. Raja Petra pula cuba bermain politik dengan tulisannya yang perlbagai.


    3. Yang paling saya tak faham adalah penahanan Tan Hoon Cheng, wartawan Sin Chew Daily. Kalau tahan Editor Sin Chew fahamlah saya.

    4. Bagi saya dia hanya menjalankan tugas yang diamanahkan oleh majikannya. Bukan salah beliau kerana melapurkan apa yang didengar dan difahaminya.

    5. Kalau nak kira ramai lagi yang menulis lebih teruk dari itu. Tak muat kem Kemunting.

    6. Saya belajar juga pasal ISA dulu. Ia sepatutnya bersifat 'preventive' dalam menjaga keharmonian negara.

    7. Tapi nampaknya kerajaan sekarang menggunanya dalam keadaan 'defensive'.

    8. Betullah kata orang ISA adalah Ikut Suka Aku.

    11.9.08

    Snippets - Pre 16/9

    1. Saya membenci USA dan presidennya atas apa yang mereka telah buat ke atas umat Islam sedunia. Mereka telah menyokong negara haram Israel, menyerang Afghanistan serta menghancurkan bumi Iraq (antara lainnya).

    2. Saya menyedari tidak mungkin akan menang kalau saya berperang keseorangan melawan USA kerana saya kekurangan senjata. Tetapi sejarah telah mencatatkan bahawa USA tetap dibenci.

    3. Dulu Rusia juga saya benci kerana fahaman komunisnya. Ia telah menyerang dan menjajah Afghanistan beberapa lama.

    4. Kemudian Rusia jatuh diperkudakan USA. Rusia seolah-olah hidup dalam buangan. Timbul rasa kasihan dalam hati saya.

    5. USA mengalami banyak masalah. Luar dan dalamannya, ia seperti menunggu masa untuk berkubur.

    6. Rusia tiba-tiba menjadi kuat semula, diserangnya Georgia tanpa belas walaupun ditentang USA.

    7. Misalan kata, Rusia menyerang USA dan berjaya. Apa perasaan saya?

    8. Tentu sahaja saya suka kerana musuh tradisi saya kalah.

    9. Tapi saya tidak suka peperangan.

    10. Tentu sahaja saya berada dalam persimpangan, sebagaimana persimpangan saya menanti 16/9.

    2.9.08

    Makan Dalam Bulan Ramadhan

    1. Seksyen 26 Qanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan memperuntukkan "Sesiapa yang tidak harus berbuka puasa pada hukum syara' didapati makan atau minum atau menghisap sebarang tembakau atau seumpamanya pada siang hari dalam bulan Ramadhan adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga bulan dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya denda tidak melebihi RM1000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya."

    2. Seksyen tersebut mempunyai beberapa intipati iaitu:
    1. Seseorang yang tidak harus berbuka puasa pada hukum syara'
    2. didapati makan/minum/ menghisap rokok dan seumpamanya
    3. pada siang hari dalam bulan Ramadhan

    3. Jelas di sini pada intipati pertama, hukum syara' memainkan peranan yang utama yang memerlukan pendakwa membuktikan individu tersebut tidak diharuskan oleh syara' untuk tidak berpuasa. Antara sebab syara' untuk tidak berpuasa adalah Musafir, sakit yang memudaratkan, wanita yang berhaid, nifas dan sebagainya sebagaimana peruntukan syara' dan juga bukan Islam.

    4. Jika boleh membuktikan perkara-perkara tersebut, individu itu tidak akan disabitkan dengan seksyen 26 tersebut dan dia akan dibebaskan oleh mahkamah.

    5. Satu perkara yang dahsyat berlaku, apabila ada individu Islam tapi berperwatakan seperti bangsa Cina, India atau pan-asia menggunakan peluang tersebut untuk makan dan minum. Bagi saya ia boleh membawa kepada satu fenomena lain iaitu murtad.

    6. Akhirnya, seksyen tersebut tidak menyatakan samada makan dan minum itu di tempat awan ataupun tidak. Bagi saya dalam keadaan ini sekalipun ditangkap di dalam rumah sendiri, dia boleh dihukum di bawah seksyen ini.

    31.8.08

    Snippets - Di Ambang Ramadhan

    1. Cuti 3 hari ini saya danUmmi mengunjungi saudara-mara yang akan mengerjakan Umrah di bulan Ramadhan. Pohon untuk menumpang doa mu'tamirin dipanjangkan di sana nanti agar azam 2008 saya dan Ummi dahulu dikabulkan Allah. Antara yang akan ke sana selama sebulan Ramadhan adalah Che (Ibu Ummi), Pok Lan, Mak Cik Aji dan Che Su. Semoga semuanya mendapat umrah mabrurah.

    2. Saya dan Ummi sempat mengikuti Forum Merdeka Pelaksanaan Undang-Undang Pasal 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan semalam. Kehadiran peserta agak ramai memenuhi Dewan Putri Saadong, Hotel Grand Riverview. Laporan program boleh diikuti di sini. Tapi bagi saya, kenapa rintihan 152 dan 153 ini hanya timbul selepas PRU12? Apa yang telah dibuat oleh UMNO sehingga begitu rupa kesannya?

    3. Sempena sambutan hari Kemerdekaan Malaysia kali ke 51, semalam kami-adik-beradik-dalam-pagar menganjurkan BBQ Merdeka. Majlis bermula selepas Isya' sehingga jam 12 malam. Kanak-kanak paling suka semalam kerana teramat banyak makanan di sediakan dan hampir setiap keluarga mendapat cabutan bertuah. Antara blogger-dalam-pagar yang hadir adalah Dari Pandangan Mata, Nik Nabil, Che Wa, Che Su dan Ali Sabki (Link masing-masing boleh di dapati pada bahagian tepi blog ini).

    4. Insya Allah kalau anak bulan kelihatan petang ini, umat Islam akan mula berpuasa esok. Tahun lepas Madiha telah mula berpuasa sebanyak 23 hari. Tahun ini katanya nak puasa penuh. Ummi nak bagi upah. Madhi pula awal-awal lagi dah pesan untuk bangun bersahur. Katanya nak lawan kakak.

    27.8.08

    Roda Anwar Yang Berputar

    Sejak kecil saya minat sejarah. Sepanjang hidup saya matapelajaran sejarah adalah subjek yang paling saya minat. Kuliah Maghrib saya yang satu-satu itupun sejak sepuluh tahun dahulu berkaitan sejarah walaupun namanya 'sirah'.

    Sejarah jugalah yang memungkinkan saya menguasai bidang undang-undang. Bagi saya sejarah akan sentiasa "repeat itself" dan setiap yang berlaku adalah ibarat roda; sentiasa berputar. Sehari berada di bawah, bersentuhan dengan lecah, najis dan tanah. Dan pada ketika yang lain tentunya akan berada di atas pula.

    Dan nampaknya begitulah roda sejarah DS Anwar Ibrahim. 10 tahun yang lampau beliau telah dihina dan diperlakukan sebegitu rupa. Dari seorang bekas timbalan perdana menteri beliau diheret ke penjara, terpukul hina dengan tuduhan yang amat jijik. Kawan-kawan yang ramai menjauhkan diri. Dan ramai yang meramalkan putaran rodanya akan berakhir di situ.

    Tapi memang 'Sunnah' Allah. Yang hina tidak selamanya hina dan yang di atas tidak selamanya begitu. Yang hina akan bertukar mulia; ia akan tetap berterusan selagi roda sejarah berputar.

    Natijahnya? Semalam kita telah dapat melihat. Sirih telah pulang ke ganggang. Belut telah pulang ke lubuk. DS Anwar mengenggam kembali haknya yang dirampas 10 tahun dahulu. Cuma kali ini atas nama Pakatan Rakyat. Esok beliau akan kembali ke Parlimen untuk berhadapan secara peribadi dengan musuh-musuh politiknya dan mengetuai anggota Pakatan Rakyat.

    Ayuh.. Datuk Seri!!! Gunakan peluang yang ada itu untuk melaksanakan sumpah keramatmu. Gunakan kesempatan itu untuk membawa perubahan ke arah Malaysia yang lebih gemilang. Jadikan kemenangan rakyat semalam sebagai hadiah hari kemerdekaan yang paling bermakna. Jangan disia-siakan harapan kami semua.

    Kerana Datok Seri, roda akan tetap berputar. Sejarah akan tetap berulang. Kami tidak mahu melihat Dato Seri sebagaimana "10 tahun" sebelum 10 tahun yang lampau.

    25.8.08

    Olimpik 2008 Menutup Tirai

    Dengan penyerahan bendera Olimpik kepada wakil bandaraya London semalam maka berakhirlah sudah Olimpik edisi 2008. Menunggu untuk bertemu lagi di kota London dengan debaran memecahkan rekod ciptaan manusia hebat. Juga untuk menguji samada penguasaan China mengatasi USA, Rusia dan kuasa-kuasa besar sukan lain adalah kerana kehebatan mereka ataupun kerana medannya di kampung halaman sendiri.

    Dengan berakhirnya Olimpik 2008 juga, kita dapat melihat rendah tingginya kemampuan ahli sukan kita berhadapan dengan atlet lain samada dari segi jasmani dan rohani. Apa yang pasti 'kejayaan' membawa pulang sebutir pingat berkilau perak seakan tidak memadai dengan jutaan ringgit yang telah dihabiskan sebelum ini.

    Rata-rata masyarakat kita membincangkan keharusan anugerah 'Datuk' kepada Chong Wei serta hadiah RM300,000 dan pencen RM3000 sebulan kepadanya; tanpa memikirkan kekecewaan rakyat menyaksikan betapa mudahnya beliau menyerah pada perlawanan akhir badminton sedangkan harapan rakyat seramai 27 juta terletak di atas bahunya.

    Perak yang dihadiahkan itu hanyalah sekadar menyamai rekod Olimpik kita sebelum ini.

    Bagaimanapun, secara peribadi saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Chong Wei yang berjaya juga meletakkan Malaysia dalam senarai penerima pingat. Dan tentunya, sebagaimana keluhan saya sebelum ini tahniah yang serupa saya tujukan kepada sifu badminton negara Misbun Haji Sidek yang akan menerima gelaran Datuk dari negeri Melaka (Melaka pun Melaka...lah....).

    Semoga anugerah-anugerah itu akan menyemarakkan lagi khidmat bakti untuk negara.

    Dalam pada itu saya terfikir juga satu perkara. Iaitu kemungkinan besar kita akan kempunan dalam berlawan menggunakan tenaga kerana faktor tubuh rakyat kita yang sedikit kecil jika dibandingkan dengan atlet-atlet luar. Tetapi dalam permainan yang melibatkan emosi dan pemikiran seperti memanah, menembak, boling dan sebagainya kita tentu saja dapat bersaing dengan mereka kerana otak manusia diciptakan tuhan sama sahaja.

    Apa kata kalau kerajaan mula mengkaji potensi otak atlet kita sebelum membuat pilihan samada nak hantar atau tidak mereka bertanding di luar negara. Tentu ada perubahan.

    21.8.08

    Misbun

    Sejak kecil saya minat bermain badminton. Walaupun saya boleh dikira bukan seorang 'ahli sukan' kerana saya tidak boleh bermain bola sepak, takraw dan seumpamanya tetapi suatu ketika dahulu kalau bermain badminton berpeluhlah juga lawan menghadapi saya. Minatnya saya dengan badminton; sejak kecil lagi satu-satunya alat sukan yang saya sentiasa miliki adalah raket badminton. Saya pernah berjaga sehingga 2.30 pagi menyaksikan pasukan Malaysia bermain.

    Sukan-sukan lain? Jangan harap.

    Entah kebetulan atau tidak, apabila disebut badminton, terbayanglah satu nama, "Misbun". Memang sejak kecil kalau bermain badminton, dalam berebut-rebut untuk dapatkan nama pemain kesayangan, nama Misbunlah yang sentiasa bermain dibibir. Memang nama Misbun adalah lagenda badminton negara lebih-lebih lagi dengan kejayaan Lee Ching Wei merangkul pingat perak Olimpik 2008.

    Lebih-lebih lagi saya kagum dengan semangatnya yang teramat dedikasi dalam kerja untuk melahirkan jaguh badminton peringkat dunia.

    Bertolak dari situ, di atas kejayaan Chong Wei merangkul perak, dihadiahkan dengan wang tunai RM300,000 serta RM3000 sebulan seumur hidup dan gelaran Datuk, janganlah dilupakan terhadap seorang insan yang begitu berjasa itu. Bak kata Choong Wei sendiri Misbun Sidek yang bukan sahaja mengorbankan masa dan tenaga malah keluarga semata-mata untuk memberi perhatian sepenuhnya bagi memastikan kejayaannya di Sukan Olimpik Beijing.

    Tidakkah kerajaan negeri Selangor ada sesuatu untuk wira yang tidak didendang itu?

    20.8.08

    Mabukkah Orang Ini?

    Soalan ini saya tujukan kepada seorang penulis terkenal. Yang ada blog sendiri. Dan yang sepatutnya faham tentang sensitiviti rakyat terutamanya dalam hal agama.

    Penulis blog yang saya maksudkan itu adalah orang ini. Dia menulis berkenaan kekecewaannya di atas pembatalan Konsert Avril Lavigne yang dijadualkan dua hari sebelum sambutan merdeka sebagaimana petikan arahan dari kerajaan yang dipetiknya.

    Bagi saya nak tulis apa pun berkenaan dengan konsert tersebut, tulislah. Samada nak sentuh berkenaan kesesuaiannya dengan budaya, perpaduan, keseniaan dan warisan Malaysia; silakan!!! Tapi apabila dia sudah sentuh berkenaan dengan agama, apatahlagi dalam bentuk menghina. Dia memang kurang ajar.

    Ayat-ayat terakhirnya memang celupar, "Maybe we should learn to wear the turbans and learn how to ride camels from now. Remember, Hadi is the PM in waiting." Saya ingin bertanya apa kaitan dan apa niat dia menulis begitu yang mengaitkan bantahan terhadap konsert dengan pemakaian serban ataupun menunggang unta.

    Melainkan satu kenyataan yang menghina.

    Saya percaya ini bukanlah kali pertama dia menulis perkara seumpamanya. Dan nampaknya tulisan-tulisan seumpama itu akan terus dikeluarkan kerana tidak ada tindakan dari pihak yang berwajib.

    Atau adakah tulisannya itu dapat dimaafkan atas alasan mabuk?

    19.8.08

    Quote Of The Day

    "For me, Islam comes first. I am a Muslim first, a party member second. A Muslim first, a lawyer second. A Muslim first, an MP second".

    Wow!! What a quote to bless my day....

    Rest of the story here.

    14.8.08

    Pindaan Undang-Undang Syariah

    Saya menyambut baik saranan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz sebagaimana yang dilapurkan hari ini dalam Berita Harian Online, yang antara lain menyebut bahawa Undang-Undang Syariah negara termasuk di negeri-negeri perlu dipinda semula berikutan kadar hukuman serta penaltinya yang dianggap sudah lapuk serta tidak dapat mencegah berlaku pelbagai salah laku dan perlu kepada perubahan

    Saya menulis ini dengan menyedari hakikat bahawa Undang-Undang Syariah yang ada itu di atas formula '356' adalah bertentangan dengan hukuman sebenar syariah di bawah hukum hudud, qisas dan ta'zir. Tetapi sebagaimana yang dapat difahami dari kaedah "sesuatu yang tidak boleh diperolehi semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya', saya amat-amat bersetuju dengan saranan tersebut.

    Kita boleh bayangkan betapa ketinggalannya undang-undang Syariah yang dienakmenkan dalam memenuhi objektif hukuman iaitu untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan juga ingatan kepada masyarakat umum. Bayangkan sebagai contoh, hukuman di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985 bagi kesalahan zina seksyen 11, apabila disabitkan dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5000 atau kedua-duanya dan disebat enam kali

    Itu adalah maksimum hukuman yang boleh dikenakan.

    Contoh lain adalah pada seksyen 23 bagi kesalahan galakan maksiat iaitu menganjur, memujuk atau menggalakkan mana-mana orang melakukan apa-apa pekerjaan maksiat adalah bersalah dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak lebih empat bulan atau kedua-duanya.

    Sahaja!!!

    Bagi saya, apalah sangat nilainya hukuman-hukuman tersebut jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, sementelahan pula ianya telah digubal 23 tahun yang lampau, ketika mungkin wang sebanyak RM500 adalah merupakan satu jumlah yang besar.

    Tapi tentu sahaja untuk membuat pindaan terhadap undang-undang syariah tersebut beberapa undang-undang lain perlu juga dipinda. Yang paling penting bagi saya adalah kekangan yang terdapat di dalam Muslim Courts (Criminal Jurusdiction) Act, 1965 dengan pindaan terakhir pada tahun 1984. Akta inilah yang mengekang bidangkuasa syariah sebenarnya dengan hanya menetapkan formula 356; penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM5000 dan sebat tidak lebih 6 kali sebatan atau gabungan kesemuanya.

    Akta inilah yang perlu di pinda.

    Menyedari hakikat kekangan itulah, pernah Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa tahun 2007 meluluskan usul agar Kerajaan Negeri Kelantan meminda Enekman Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985 dengan memperuntukkan hukuman maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang bagi setiap kesalahan yang disenaraikan di bawah enakmen tersebut.

    Saya tidak pasti apa jadi kepada usul yang diluluskan sebulat suara itu.

    Saya berpendapat ini adalah masa yang terbaik untuk membangkitkan isu ini semula di peringkat nasional. Syabas JAKIM.


    Nota: Pagi tadi saya dengar Radio IKIM mengulas isu ini. Tapi DJ macam nak potong setiap pendapat yang dikeluarkan. Rileklah Ustaz Zamri, bila lagi nak bagi peluang.

    13.8.08

    Baru 9 Tahun

    Tepat-tepat 9 tahun yang lampau, saya memasuki alam baru. Telah saya tinggalkan iblis menangis di pintu masjid yang saya bina. Bersama Ummi. Betapa berat tanggungjawab yang dihadapkan ke atas kepala saya; ketika itu saya mengeluh kesah, kurang senyuman walaupun bergelar raja sehari.

    Betapa tidak, beberapa bulan sebelum hari perkahwinan itu, saya yang baru menyelesaikan pengajian, menjalani latihan guaman serta baru bekerja selama dua bulan, tiba-tiba meletakkan jawatan untuk bekerja sendiri. Memang betul-betul bekerja sendiri sehinggakan kerja mendirikan dinding bilik, mengecat, memasang meja, memasang karpet -sekadar menyebut beberapa perkara- tangan sayalah yang menggerakkannya sehingga boleh dipanggil sebuah pejabat.

    Dalam kecelaruan pekerjaan itulah saya berkahwin. Bayangkan!!! Tanpa pendapatan tetap, dengan Ummi juga menjalani latihan guaman tanpa elaun.

    Rasaya baru kelmarin sahaja peristiwa itu berlalu. Tapi betullah rezeki Allah boleh datang dari sumber yang tidak terduga. Kurnian Allah yang terbesar (setakat ini) empat orang penyejuk mata ayah dan Ummi; Madiha, Madhi, Majida dan Majdi. Tidak seharipun berlalu kecuali saya tidak pernah menyesal memilih Ummi sebagai ibu Al-Khazaain. Sebagaimana Ummi harapnya tidak menyesal memilih saya sebagai bapa Al-Khazaain.

    Tentu sahaja sepanjang 9 tahun ini, ada ketika kami menangis dan ada kalanya bergembira. Itu lumrah. Dan saya bersyukur kerana adanya Ummi saya dapat 'menyederhanakan' tangisan dan kegembiraan itu.

    Terima kasih Ummi. Terima kasih kerana telah berada di sisi saya, kanan dan kiri depan dan belakang selama ini. Atas dan bawah. Semoga begitu selamanya dengan keberkatan dari Allah jua.

    10.8.08

    Kesudahannya Forum Dibatalkan

    Sebelum ini saya ada bertanyakan tentang kesudahan isu murtad di negara kita. Berkebetulan pada masa yang sama Majlis Peguam Malaysia dalam rangka untuk menganjurkan satu program yang menyentuh isu pemelukan agama Islam. Walaupun mendapat tentangan masaa termasuk PAS tetapi mereka tetap ingin meneruskannya.

    Kesudahannya? Saya mendapat khabar bahawa forum tersebut terpaksa dihentikan awal atas nasihat keselamatan.


    Saya tidak akan mengulas panjang pro dan kontra penerusan atau pembatalan forum tersebut kerana bagi saya secara dasarnya sebarang perbincangan, forum atau majlis penerangan adalah bagus untuk pengetahuan. Tetapi pada masa yang sama ianya tidak patut diteruskan jika niat penganjurannya terpesong dari objektif penubuhan penganjurnya.

    Saya mencadangkan agar pada masa akan datang, isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diuruskan/dipegerusikan oleh jawatankuasa Islam kerana bagi saya orang yang bukan Islam tidak berhak sedikitpun untuk bercakap hal berkaitan Islam samada menyentuh moral ataupun undang-undang.

    Tetapi selanjutnya, saya masih lagi ingin bertanya, di mana kesudahannya tentang isu murtad ini. Kerana sebagaimana yang dijelaskan oleh penganjurnya:

    "It may be controversial, but that doesn't mean you don't talk about these issues. If it is emotive, if it is sensitive, we still have to talk about discuss these things. That is our position; you need to discuss!" he stressed.

    "What we're saying is, it's not an issue of conversion. We're not questioning Article 121 (1A), we're not questioning Article 3 of the Federal Constitution on the status of Islam. When you have two jurisdictions, the civil and the syariah jurisdiction, obviously there will be conflicts of law.

    "When you have conflicts of law, you need to resolve these conflicts. This is what we're looking at: How do you resolve these issues? That is all."

    Jelas, penganjurannya adalah berdasarkan satu isu sahaja iaitu pertentangan undang-undang yang timbul berkaitan dua bidangkuasa yang ada; bidangkuasa sivil dan bidangkuasa syariah.

    Jadi ke mana arahnya? Saya tujukan permasalahan ini kepada saya dan anda yang sepatutnya memilih sebuah kerajaan yang mampu untuk menyelsaikan pertentangan undang-undang tersebut.

    Alangkah baiknya jika penganjuran bantahan semalam juga terselit mesej tersebut ke arah mencari kesudahannya.

    6.8.08

    Apa Kesudahannya Murtad

    Saya telah menulis berkenaan dengan isu ini beberapa kali. Pada mulanya berkaitan kes Subashini dan kemudiannya berkatian kes Siti Fatimah. Setiap kali isu ini timbul setiap kali itulah hati saya menggelegak.

    Kes terbaru adalah sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam yang menolak rayuan seorang wanita terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk satu pengisytiharan bahawa dia (saya guna dia bukan beliau) berhak untuk meninggalkan Islam serta memeluk Kristian.

    Sekali lagi, sebagaimana kebanyakan kes-kes berkaitan isu yang sama keputusannya adalah 2-1. Bermaksud hakim yang beragama Islam menolaknya manakala ada seorang lagi hakim (bukan Islam semestinya) menerima.

    Antara lain, YA Hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut atas alasan - pada pendapat saya - teknikal bilamana dia masih lagi menggunakan nama asalnya sedangkan dia telah menukar namanya kepada nama Islam apabila memeluk agama Islam. Dalam bahasa yang mudah dia sepatutnya menggunakan nama Islam semasa membuat permohonan tersebut.

    Iya....bagi saya YA Hakim adalah betul apabila membuat keputusan tersebut walaupun atas dasar teknikal, kerana sebelum ini pun teramat banyak kes-kes peringkat rayuan yang ditolak atas alasan teknikal (sampai bila?).

    Tapi atas kesedaran yang lebih luas, apakah kesudahannya. Apakah selama-lamanya mahkamah akan bersikap menafikan (denial) seperti itu; bilamana seperti tidak mahu langsung menyentuh persoalan pokok iaitu boleh atau tidak seseorang yang telah memeluk Islam kembali murtad?

    Saya berpendapat persoalan inilah yang utama sekarang dalam isu ini (untuk tujuan entry ini saya tidak akan menjawab soalan boleh atau tidak seseorang murtad kerana bagi saya ia memang tidak boleh dan perlu dihukum dengan hukuman yang sekeras-kerasnya). Untuk itu perlu ada sekurang-kurangnya satu mekanisma yang lebih detail berkenaan dengan permasalahan ini. Seumpama contohnya penggubalan akta undang-undang murtad yang entah bila akan kunjung tibanya. Apa yang ada sekarang hanyalah beberapa seksyen kecil dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri-negeri yang kewujudannya hanya menambah kecelaruan dalam sistem kehakiman kita.

    Kalau tidak percaya cuba teliti beberapa kes yang pernah terjadi sebelum ini seperti kes Mat Ya dan isterinya, nabi Melayu di Selangor dan beberapa kes lain. Kemelutnya sehingga ke Mahkamah Persekutuan hanya semata-mata untuk menentukan samada kerajaan negeri berhak mengenakmenkan undang-undang berkaitan.

    Tak celaru kalau begitu?

    Kerana itulah bagi saya sudah sampai ketikanya (kalau saudara masih rasa tidak terlambat) untuk semua pihak memainkan peranannya baik YA Hakim, Peguam, exco agama negeri, orang biasa dan juga penulis-penulis blog. Mari kita gembeling tenaga dan fikiran sekurang-kurangya untuk merealisaikan Akta Undang-Undang Murtad dan juga untuk menjenayahkannya bagi dihadiahkan dengan satu hukuman yang terberat dalam kanun jenayah iaitu hukuman mati.

    Barulah ada kesudahannya...

    4.8.08

    Double Celebration Untuk Ummi

    Sebagaimana yang telah saya khabarkan sebelum ini, hari ini saya sekeluarga akan berangkat ke Kuala Lumpur. Pada mulanya saya berhasrat untuk ke sana berdua sahaja dengan Ummi memandangkan Madiha, Madhi dan Majida bersekolah. Tetapi Ummi berpandangan lain.

    Katanya, "Semua mesti pergi. Dah lama Ummi simpan angan-angan nak bergambar sekeluarga dengan baju graduasi itu.". Oleh kerana alasan itu, saya mengalah walaupun anak-anak terpaksa ponteng sekolah beberapa hari. Anak-anak pulak pantang dengar 'berjalan' pasti nak ikut.

    Dan sebagai tambah nilai rehlah, saya berhasrat membawa mereka ke tempat ayah dan Ummi bertemu iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, taman ilmu tersohor di Gombak. Sekurang-kurangnya dapat memberi suntikan motivasi untuk belajar lebih rajin.


    Hari ini juga, 4 Ogos adalah hari ulang tahun kelahiran Ummi ke 34. Jadi macam "double celebration"lah pula. Cumanya hari ini kena buat sambutan di atas Citra sepanjang jalan ke Kuala Lumpur. Hadiahnya? Biasiswa pengajian dilupuskan. Hee....heee....


    Nota: Kalau ada masa gambar-gambar akan saya masukkan nanti.

    3.8.08

    Photos of Rehlah Mahabbah

    As promised to pemudapc.blogspot, Al-Khazaain present you photos of the Rehlah.






























    No words needed.

    Snippets - Post Rehlah Mahabbah DPPNK 2008

    1. Alhamdulillah, saya selamat sampai ke rumah lebih kurang pukul 9.00 malam selepas menghantar pemuda-pemuda Pengkalan Chepa yang bersama dengan saya ke rumah masing-masing. Sebetulnya sepanjang perjalanan dari Lumut ke Ipoh dan dari Ipoh ke Kota Bharu saya duduk sahaja di bahagian penumpang. Sedap juga rupanya pakai "drebar".

    2. Pagi ini saya buat sejarah peribadi berjalan kaki dari hadapan Balai Islam Lundang, melalui Pasaraya Billion, masuk ke Jalan Dusun Muda sebelum sampai di pejabat di Jalan Pengkalan Chepa. Agakan saya lebih kurang 6-7 kilometer juga jauhnya. Saya berjalan kaki bukan protes minyak mahal, tapi saja-saja nak test ketahanan kaki. Alhamdulillah tidak ada masalah. Tapi petang nanti, untuk mengambil kereta yang di tinggalkan untuk servis, kena tumpang oranglah.


    3. Hari ini, saya masuk pejabat. Tapi hari ini ajelah kerana esok saya akan bertolak ke Kuala Lumpur bersama Ummi dan anak-anak untuk menghadiri Majlis Graduasi di Universiti Malaya pada 5 Ogos nanti. Bukan graduasi saya, tetapi untuk Ummi yang akhirnya berjaya menghantar tesis Sarjana Syariahnya pada pagi hari terakhir tempoh yang dibenarkan – selepas beberapa kali meminta pelanjutan masa – sebelum senat bermesyuarat pada petangnya. Fooh lega, sebab sayalah sponsornya.


    Nampaknya . ber 'rehlah' sekali lagilah saya.


    1.8.08

    Rehlah Mahabbah DPPNK

    Alhamdulillah dengan izin Allah, saya bersama 11 orang pemuda dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa, selamat sampai di Teluk Dalam Resort, Pangkor lebih kurang pukul 7.30 petang semalam.

    Kami kemudiannya berkumpul besama lebih 120 orang ahli dewan pemuda PAS kawasan-kawasan seluruh Kelantan untuk menjayakan program Rehlah Mahabbah DPPNK 2008 bermula 31 Julai (semalam) sehingga 2 Ogos 2008 (esok).

    Ini adalah kali kedua saya sampai di Pulau Pangkor dan kali pertama di resort ini. Apa yang dapat saya lihat, tempatnya begitu selesa sekali sebagai tempat "untuk meraikan petugas-petugas pilihanraya pemuda", sebagaimana disebut oleh YB Ketua DPPNK dalam ucapannya semasa taaruf semalam.

    Program pagi ini dimulakan dengan Solat dan Kuliah Subuh secara berjemaah. Sebentar lagi acara sukaneka dan sukan akan dimulakan dengan beberapa acara telah diatur. Harap-harap DPPPC akan membawa pulang beberapa hadiah yang akan disampaikan malam ini sempena dengan majlis makan malam bersama YB Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan Dan NGO Negeri Kelantan.

    Rehlah ini akan berakhir esok apabila semua peserta berkunjung untuk makan tengahari di Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Perak di Ipoh sebelum bergerak pulang.

    Semoga program ini mencapai matlamatnya.

    30.7.08

    Isra' Dan Mi'raj

    Saya mengucapkan selamat meraikan ulang tahun Isra' dan Mi'raj Rasulullah (s.a.w.) yang terkandung di dalamnya berbagai hikmah dan pengajaran bagi umatnya. Jika mahu di kaji satu persatu nescaya tidak terkupas dan tiada keupayaan kita yang lemah kemahuan ini.

    Walau apapun, bagi saya Isra' dan Mi'raj Rasul dapat memberi panduan bagi kita untuk mengenali manusia yang berjiwa Abu Bakar Al-Siddiq dan berjiwa Abu Jahal. Bagi saya Isra' dan Mi'raj Rasul memberi pengajaran jelas bahawa di samping ajaran Islam yang boleh diterima akal (lojik) terdapat juga ajaran agama yang hanya Allah saja mengetahui.

    Contohnya, kenapa basuh muka dahulu sebelum basuh kaki semasa berwuduk? Kenapa tawaf Baitillah perlu 7 kali pusingan? Kenapa itu dan kenapa ini...!

    Cuma jenis manusia sahaja yang banyak soal. Bagi mereka setiap perkara perlu alasan yang boleh diterima akal. Selagi tidak berjumpa alasan tersebut atau tidak selari dengan ilmu mereka, ajaran agama tersebut tidak boleh diterima pakai.

    Saya berpendapat, Isra' dan Mi'raj Rasul tidak mengajar sedemikian. Isra' dan Mi'raj Rasul mengajar kita untuk redha dengan Qada' dan Qadar Allah disamping berusaha. Nabi Muhammad tidak meminta untuk di hadiahkan dengan Isra' dan Mi'raj; tetapi seusainya perjalanan, dalam keadaan tertekan oleh Abu Jahal lantaran ketidaklogikannya, akidah umat bertambah teguh seteguh iman Abu Bakar.

    Lantaran itu, bagi saya, isu dan usul kebolehpercayaan pemimpin dalam urusan muzakarah dan muqabalah tidak akan memesongkan saya dari matlamat dan perjuangan PAS iaitu Islam. Saya serahkan wala' kepada pimpinan parti untuk membawa saya kepada matlamat tersebut. Selagi belum bercanggah dengan dasar - al-Quran, al-hadis ijma' ulama dan qias - silakan wahai pemimpin-pemimpinku. berjumpalah siapa sahaja untuk menyampaikan dakwah Islam. Melayu, Cina, India, Orang Asli.... teruskan.

    Kenapa pada masa sekarang kita perlu menggugat wala' kita, sedangkan kita mempunyai ruang untuk bermuhasabah dan berbincang. Sedangkan muktamar tahunan hanya beberapa minggu sahaja lagi. Gunakan peluang nanti untuk menyatakan pandangan dan bermesyuarat.

    Bagi saya, tepat sekali Isra' dan Mi'raj mengajar kita. Dan cukuplah dengan satu pegajarannya itu.

    29.7.08

    Memang Betul Gila Talak

    Tergelak saya membaca beberapa berita utama hari ini -Utusan Online, Berita Harian- yang menyiarkan tentang tawaran Datuk Seri Tajol Rosli untuk PAS dan UMNO bergabung membentuk kerajaan Negeri Perak. Cantik punya tawaran iaitu dengan mengekalkan menteri besarnya dari PAS dan boleh berunding pula untuk mengisi jawatan exco.

    Oh yaa... satu lagi, beliau tidak akan menduduki barisan kepimpinan, cukup dengan jadi anggota kerajaan biasa saja....

    POOOORAH!!!! Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.

    Kalau tidak silap saya, UMNO Perak sebelum ini begitu beriya-iya menyatakan kerajaan UMNO akan ditubuhkan selewat-lewatnya 31 Julai 2008. Apa dah jadi? Sehingga terpaksa memujuk PAS pula. Atau adakah sudah terkena pukulan Munajat Rakyat Perak baru-baru ini?

    Bagi saya cukup-cukuplah dengan apa yang telah berlaku setakat ini. Tinggalkanlah politiking sehingga musim pilihanraya akan datang. Rakyat telah menunjukkan mandatnya. Hormatilah keputusan rakyat tersebut. Nanti sampai masa tagihlah simpati dari rakyat untuk mendapat mandat baru.

    Sekarang adalah masa untuk membina hidup baru. Keperluan dan kebajikan rakyat seharusnya diutamakan. Bukannya untuk segelintir pemimpin.

    Nota: Nak rujuk boleh. Tapi kena betulkan yang menjadi punca cerai dulu....

    27.7.08

    Glem Night Mak Nyah

    Seingat saya, tidak pernah saya memandang rendah golongan pondan (lelaki bernaluri lembut); kerana mereka juga mahkluk Allah swt. Soal mereka berperasaan lelaki atau wanita, itu adalah naluri semula jadi mereka. Pendek kata sebagaimana kita mempunyai hak sebagai warganegara dan umat Islam, begitulah juga mereka. Bermaksud, saya sentiasa meraikan mereka seadanya, tanpa perlu terikut-ikut dengan gaya percakapan atau bahasa tubuh mereka.

    Dan saya berjaya "survive" berkawan dengan mereka semasa di UIAM samada dalam urusan pembelajaran ataupun sosial. Pendek kata tiada masalah sedikitpun.

    Tetapi rupanya ada sesetengah golongan tersebut yang lupa diri dengan hakikat penciptaan diri mereka sehingga ada yang melebih-lebihkan naluri kewanitaan mereka dan seakan membiarkan kecintaan terhadap bentuk tubuh wanita sehingga sanggup membuat suntikan, pembedahan dan sebagainya; mungkin sekali pandang kalah wanita sejati.

    Itulah yang saya rasa dan saya lihat malam Sabtu yang lepas.

    Kebetulannya saya mengikuti Hari Keluarga Jawatankuasa Peguam Kelantan di salah sebuah resort di Bachok bersama ahli keluarga yang lain. Sesampainya saya di sana, sebaik sahaja turun dari kereta sudah terdengar sayup -sayup di telinga suara merdu pengacara majlis. Sedang rehearsel rupanya untuk "Glem Night 2008". Aturcaranya? Pertunjukan pakaian termasuk night dress dan bikini.

    Kesudahannya pada malam tersebut, sebagaimana yang saudara mungkin tahu, pertunjukan tersebut telah diserbu oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan sebagaimana berita yang dilapurkan ini. Saya tidak akan mengulas mengenai apa yang saya saksikan kerana berkemungkinan ceritanya panjang.

    Agak mengejutkan kerana boleh terjadi peristiwa sedemikian di sebuah negeri yang terkenal dengan Islamnya dan slogan Membangun Bersama Islam. Tapi begitulah hakikat. Di mana-mana saja ada syaitan yang akan menggoda manusia hatta di tanah suci sekalipun.

    Saya difahamkan bahawa tindakan akan diambil di bawah Seksyen 7 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 kerana kesalahan lelaki memakai pakaian perempuan dan berlagak seperti perempuan di mana-mana tempat awam dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksima seribu ringgit atau penjara maksiama enam bulan atau kedua-duanya. Enakmen ini dikuatkuasa oleh JAHEIK.

    Kenapa tidak dikenakan juga tindakan di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Kelantan 1998 kerana menganjurkan hiburan tanpa lesen di mana jika sabit kesalahan boleh didenda RM10,000.00? Tindakan ini boleh diambil oleh pihak polis ataupun PBT berkaitan.

    Ulasan YAB Tok Guru Menteri Besar Kelantan boleh diikuti di sini.

    Saya berharap itu adalah yang terakhir.

    22.7.08

    Muzakarah: Kenyataan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan




    Adakah Kita Mahu Ditendang Kali Kedua
    Tuesday, 22 July 2008

    Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan (DPPNK) menyokong penuh pendirian Yang Amat Berhormat Tuan Guru Dato’ Haji Nik Abdul Aziz Bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan merangkap Mursyidul Am PAS mengenai isu muzakarah PAS-UMNO. DPPNK menganggap bahawa isu muzzakarah ini hanyalah agenda politik UMNO untuk turut mengheret PAS menanggani masalah dalaman UMNO yang secara nyata telah ditolak oleh rakyat di dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

    Kenapa baru sekarang pemimpin UMNO sibuk dengan isu muzakarah, sedangkan muzakarah ini telah dicadangkan oleh PAS sejak sekian lama tapi tidak pernah disambut oleh UMNO. PAS pernah menghantar surat rasmi kepada UMNO untuk mengadakan muzakarah tapi tidak disambut oleh UMNO. Kenapa semasa UMNO kuat suatu ketika dahulu pemimpin mereka tidak menyambut cadangan muzakarah oleh PAS dan kenapa sekarang apabila keadaan UMNO semakin "nazak", mereka baru sibuk menghulur tangan untuk bermuzakarah dgn PAS.

    Bagi kami DPPNK, ianya tidak lain dan tidak bukan adalah satu lagi tindakan licik politik UMNO di saat sedang ‘nazak’ sekarang ini untuk turut mengheret PAS agar sama-sama merasai masalah dalaman UMNO yang semakin tenat.

    DPPNK mengharapkan agar para pimpinan PAS sentiasa bersabar dan mengambil kira pandangan akar umbi parti samada perlu berunding dengan UMNO atau tidak perlu. Pimpinan juga kena sentiasa ingat sejarah mengenai kelicikan politik UMNO ini yang suatu masa dahulu pernah melamar PAS agar bergabung dengan UMNO untuk menyelesai masalah perbalahan kaum ketika peristiwa 13 Mei 1969. Setelah PAS menyertai BN dan kemudiannya UMNO kembali kuat lalu mereka "tendang" PAS keluar daripada BN. Cukup hebat dan licik.

    Adakah kita (PAS) mahu terkena tendangan kedua UMNO?


    Mohamad Zaki bin Ibrahim
    Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan
    22 Julai 2008
    Kaherah, Mesir


    Berita selanjutnya di sini.

    21.7.08

    Dah Lupa Ke? Masih Berseronok?

    Kita telah meninggalkan perang PRU12 lebih kurang 4 bulan yang lalu. Kalau tidak ada aral bahaya, mengikut kiraan perlembagaan, dalam 4 tahun setengah lagi kita akan berhadapan pula dengan PRU 13.

    Mungkin ramai yang melihat ianya masih jauh. Suasana sekarang adalah untuk meraikan kemenangan. Atau untuk bermain politik. Sehingga kita lupa 4 tahun setengah tetap akan datang. Pejam celik pejam celik, kita sudah tidak mempunyai masa yang cukup lagi.

    Apa yang ingin saya sentuh adalah berkenaan dengan berita ini. Saya tidak nampak di mana-mana hatta sebaran rasmi parti pun menyentuh perkara ini. Sedangkan isu daftar pemilih adalah isu yang penting. Dan antara yang terpenting. Jika sebelum ini kita sanggup menghabiskan wang yang bukan sedikit untuk urusan daftar dan bantah; dan kita telah berjaya dalam PRU 12 lantaran itu.

    Apakah kita tidak mengambil pengajaran PRU11, sehingga kerajaan Islam Kelantan dibezakan dengan 1 kerusi sahaja antara memerintah dan tidak, baru kita termengadah?

    Lebih dari itu saya merasakan urusan tindakan DUN sepatutnya terus dihidupkan. Apa yang saya perhatikan, banyak majlis tindakan dun di seluruh negara, seakan terlupa hatta untuk mengadakan majlis "post mortem" apatahlagi membuat penyusunan semula jentera bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

    Sedangkan ianya tetap akan datang selagi negara mengamalkan demokrasi berperlembagaan.

    Tak salah merasa seronok. Nak bermuzakarah, berbincang atau bertemu? Silakan. Tapi jentera parti dilupa jangan!!

    Nota: Nak memerintah kena gentlemen. Bukan kerana lompat melompat.

    20.7.08

    Syabas Tuanku

    Saya amat berbesar hati membaca berita ini:

    Keputeraan Tuanku Mizan tanpa darjah kebesaran

    KUALA TERENGGANU 19 Julai – Buat pertama kali, Istana Terengganu tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran negeri sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke-46 yang disambut esok.

    Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau diberitahu bahawa tiada istiadat penganugerahan kepada penerima darjah dan pingat kebesaran pada sambutan esok oleh Istana Terengganu, kira-kira sebulan lepas.

    ‘‘Saya tidak diberitahu mengenai sebab mengapa tiada pengurniaan darjah dan pingat kebesaran tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

    Bagaimanapun, beliau tidak pasti jika terdapat kemungkinan pemilihan penerima dan istiadat pengurniaan akan diadakan selepas ini.

    ‘‘Setakat ini tiada penerima untuk darjah dan pingat kebesaran, kemungkinan istiadat akan dibuat selepas ini, saya belum diberitahu,” ujarnya.

    Darjah kebesaran tertinggi di Terengganu ialah Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu yang membawa gelaran Datuk Seri.

    Menurut Mokhtar, seperti kebiasaan, Hari Keputeraan Sultan Terengganu akan disambut secara sederhana bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat di masjid seluruh negeri malam ini.

    Beliau memberitahu, majlis yang sama juga akan dilangsungkan di Istana Maziah di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari esok.

    Sampaikan ada jenaka dipertutur dari mulut ke mulut. "Kamu berdiri di Chow Kit, baling secara rambang seketul batu, nescaya batu tersebut akan jatuh di atas kepala seorang Datuk." Malah ada yang menambah "Datuk tadi ambil batu yang kena kepalanya, dibalingkan ke atas, nescaya akan terkena kepala Tan Sri lain pula.".

    Sebenarnya bukan jenakapun. Ia adalah realiti kehidupan di Malaysia. Entah kebetulan mungkin, kerana kita mempunyai sistem beraja yang paling ramai atau kerana pemurahnya raja-raja, maka bersesak-sesak datuk-datuk dan tan seri-tan seri dalam negara kita.

    Sampai kepada peringkat, kita tidak dapat membezakan yang mana satu datuk original.

    Apapun, tahniah diucapkan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan terengganu ke 46. DAULAT TUANKU.

    15.7.08

    Ulasan Awal Debat

    Setelah meneliti dengan agak teliti dan menjauhkan prasangka, saya berpendapat YB Menteri Penerangan gagal dalam mempertahankan kerajaan BN dalam debat yang baru berakhir sebentar tadi. Saya kira dalam ketiga-tiga pusingan debat, beliau gagal menerangkan secara objektif rasional kerajaan menaikkan harga minyak secara mendadak selepas beberapa bulan pilihanraya walaupun telah berjanji tidak akan menaikkannya semasa kempen pilihanraya.

    Sebagaimana yang telah saya ulas pagi tadi bahawa saya menunggu hujah yang meyakinkan dari kedua-dua pendebat. Saya tidak melihat langsung dari kehebatan cara penyampaian tetapi lebih kepada isi.

    Saya juga berpendapat, YB Menteri Penerangan telah melakukan kesilapan yang teramat besar apabila menyentuh perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan tajuk debat seperti cuba mengungkit kisah-kisah lama yang berbaur politik. Saya dapat melihat ada beberapa orang telah menepuk dahi sambil tersenyum sinis apabila YB Menteri Penerangan mengungkit kisah demontrasi tahun '70an dan kirisis kewangan 1998.

    Bagi saya isu-isu tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan kerana tajuknya bukan cerita lama tetapi lebih menjurus kepada masa depan serta debat tersebut bukan forumnya.

    Baiklah!!! Buat kali pertamanya saya memberikan tabik hormat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas hujah-hujah yang bagi saya mencapai tahap 70% keyakinan yang saya tunggu.

    Dan, saya kira Pak Lah sudah boleh mula berkira-kira untuk melantik Menteri Penerangan baru sebagaimana janji Datuk Shabry.

    Debat Ditunggu (Jika bukan gari yang menghalang....)

    Walaupun ada sedikit keraguan, saya tetap berharap Debat antara DS Anwar Ibrahim dan YB Menteri Penerangan dapat dilansungkan malam ini. Saya sudah menempah tiket kelas pertama untuk mengikutinya dari kaca TV di rumah. Walaupun jarang berkesempatan untuk menonton, saya sebolehnya akan meluangkan masa.

    Kenapa?

    Kerana saya hendak mendengar sendiri mekanisma penurunan harga minyak yang diwarwarkan itu. Saya akan cuba melapangkan fikiran dan terbuka hati saya untuk mendengar hujah-hujah bermutu. Dan saya (setakat ini) tidak berpihak kepada mana-mana pendebat (Memang bolehpun sebab saya orang PAS bukan PKR atau BN).

    Sebetulnya sehingga sekarang saya belum betul-betul mendapat jawapan yang konkrit berkenaan dengan isu minyak. Pihak kerajaan asyik mempertahankan pendiriannya secara membabi buta hatta di Parlimen. Begitu juga pihak pembangkang asyik menyerang sahaja. Jadi saya nak guna betul-betul peluang malam ini untuk menetapkan pemikiran saya tanpa sebarang dorongan kepartian.

    Setakat ini hanya satu hujah sahaja yang termakan dalam pemikiran saya berkenaan dengan harga minyak, iaitu sebagaimana yang diutarakan oleh Ketua Penerangan saya, YB Hj. Mahfuz Omar dalam segmen Debat TV9. Katanya "Negara mengeluarkan lebih kurang 600,000 tong sehari. Kegunaan dalam negeri 400,000 tong sahaja. Apa salahnya jika 400,000 tong dari 600,000 yang dikeluarkan itu dijual murah-murah kepada rakyat, tanpa bergantung kepada import luar? Kita masih ada lagi 200,000 tong untuk dieksport."

    Bagi saya itulah kenyataan yang paling logik. Yang tidak belajar tinggi pun boleh laksanakan.

    Apapun, saya tunggu malam ini. Dan kalau Datuk Seri tak boleh meyakinkan saya, tak usah angan-anganlah nak jadi Perdana Menteri.

    14.7.08

    Bila MOU Terjalin

    Sebagai seorang yang dibesarkan dengan pendidikan agama oleh Yayasan Islam kelantan, saya antara bekas pelajarnya yang bersyukur di atas selesainya kemelut hampir 6 tahun antara Kementerian Pelajaran dan Yayasan Islam Kelantan.

    Berita sebagaimana yang disiarkan melalui berita semalam, Harakah Online dan beberapa akhbar utama negara di mana Yayasan Islam Kelantan bersetuju untuk mendaftar sebanyak 20 buah sekolah buat permulaan dengan Kementerian Pelajaran Malaysia bagi membolehkan bantuan perkapita diberikan.

    Tambah berbesar hatinya saya kerana pentadbiran pengurusan sekolah, guru dan murid serta kurikulum dikekalkan di bawah YIK.

    Walaupun saya bukan guru YIK atau pekerjanya atau apa sahaja yang berkaitan dengan YIK, tetapi saya berpendapat kesediaan kedua-dua pihak bersemuka, berbincang walaupun mengambil masa yang panjang adalah merupakan kemenangan awal. Saya percaya pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan (walaupun silibus politik diajar di sekolah) demi survival masa depan pelajar-pelajar.

    Begitu juga dengan Kementerian Pelajaran. Walaupun saya tidak pernah bersekolah peringkat menengah di bawah kelolaan KP, tetapi KP tetap menimbulkan nostalgia bagi saya. Semasa bersekolah dahulu, saya pernah dua kali mewakili negeri Kelantan dalam pertandingan pidato kelolaan KP (masa itulah saya kenal Khairil Anas). Biasiswa pengajian matrikulasi saya juga ditanggung oleh KP. Pendek kata, banyaklah jasa KP kepada saya.

    Takkan saya lupakan sampai bila-bila. Tapi YIK tetap di hati.

    Tambahan pula saya sudah merancang untuk menghantar anak-anak saya ke sekolah di bawah YIK apabila sampai masanya; mengikut jejak langkah saya, Ummi dan semua emak dan bapa saudaranya yang berjumlah 18 orang (15 orang adik-adik saya, 3 orang abang dan kakak Ummi). Semuanya pernah dan sedang mendapat jasa pendidikan dari YIK.

    Kesemuanya Insya Allah telah dan akan menjadi orang.

    12.7.08

    Saya Sokong 100%

    Saya percaya tidak ada apa lagi yang perlu saya tambah dan ulas, kerana jawapan-jawapan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam wawancara dengan Harakahdaily yang saya petik di bawah saya sokong 100%. Dan pernah sipi-sipi saya ulas sebelum ini.

    Memantapkan kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat
    Harakahdaily
    Fri | Jul 11, 08 | 12:40:09 pm MYT

    HARAKAH: Apa penjelasan Tuan Guru mengenai dakwaan PAS ada perbincangan dengan Umno yang disensasikan media baru-baru ini?

    USTAZ HADI: PAS adalah parti yang menegakkan Islam dengan makna yang menyeluruh. Sasaran Islam ialah seluruh manusia bukan sahaja tertumpu kepada ahli PAS. Kita harus sampaikan mesej kepada pihak yang lain, sebagaimana yang diajar Nabi Muhammad.

    Bukan sahaja bergerak dalam skop di Semenanjung Tanah Arab bahkan Baginda menghantar surat kepada raja-raja. PAS juga wajib meneruskan mesej itu dalam konteks negara kita. Kita jumpa dengan raja-raja dan tidak salah juga kita berjumpa dengan Umno untuk menyampaikan mesej kita. Kalau tidak jumpa dengan Umno macam mana nak sampaikan mesej kita?

    Maknanya benarlah dakwaan adanya pertemuan tersebut?

    Pertemuan antara individu PAS dengan individu Umno dalam menyampaikan mesej Islam kepada mereka.

    Hasil pertemuan dan rumusan PAS?

    Kita beri penekanan kepada kepentingan Islam supaya Umno berubah. Iaitu merujuk kembali kepada kesilapan yang mereka lakukan yang merugikan umat dan agama Islam itu sendiri. Sebagai contoh, dalam masalah pilihan raya. Yang dikira oleh Umno hanya untuk menangkan parti dia, bukan untuk memenangkan Islam. Dalam pilihan raya ke-12 pun Umno tidak kalah, yang kalah MCA, MIC.

    Mereka membuat pembahagian kawasan pilihan raya berdasarkan kepada kepentingan mereka. Penambahan kawasan baru itu dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor. Mengapa tidak ditambah kerusi Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Kedah?

    Ini kerana mereka hendak menjaga kerusi mereka dan bukan kepentingan Islam. Dalam masa yang sama mereka membahagikan kerusi ataupun kawasan pilihan raya yang majoriti Islam kepada wakil rakyat yang bukan Islam. Ini tidak wajar.

    Cuba lihat dalam Pakatan Rakyat, DAP menang di kawasan majoriti kaum Cina, tetapi MCA dan MIC menang di kawasan majoriti Melayu yang diberi oleh Umno. Ini dengan sendiri boleh menghakiskan kedudukan orang Islam dari segi politik.

    Tetapi bukankah PAS mahu perpaduan yang lebih meluas?

    Sekarang ini kita menunggu apa respons daripada Umno dan rakyat. Dan saya pernah berucap dalam perhimpunan di Stadium Melawati, Shah Alam (di awal penubuhan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor). Saya tidak tahu mereka sedar atau tidak, tetapi saya sebut soal perpaduan nasional di kalangan parti politik yang perlu dibincangkan lebih serius dan bukan separuh jalan.

    Perpaduan ini tidak semestinya kita paksa semua parti masuk BN atau gabung satu parti. Ini termasuklah wujudkan demokrasi tulen sebagaimana negara yang sihat demokrasinya.

    Sebagai contoh bukan sahaja pembangkang boleh bangkang tetapi yang mewakili kerajaan juga boleh bangkang. Dalam negara kita, kalau wakil rakyat kerajaan yang bangkang ini akan diambil tindakan disiplin. Bahkan di Barat parti kerajaan boleh sokong undi tidak percaya, yang dibuat oleh pembangkang. Adakah di Malaysia hal ini berlaku? Tidak berlaku.

    Tuan Guru fikir Umno boleh terima pandangan PAS?

    Kepada PAS, orang Melayu mesti menjadi teras kepada politik negara. Ini diterima oleh semua kaum. Bukan pula bermakna hanya orang Melayu yang berhak dalam politik dan kekuasaan tetapi teras politik kita berpihak kepada orang Melayu sebab melihat kepada jumlah penduduk Islam yang majoriti dalam negara ini. Ini perlu diambil kira. Tapi malangnya Melayu sendiri hanyut dalam merealisasikan Islam itu sendiri sebagai kekuatan orang Melayu.

    Sebagai contoh kita tidak sedar Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Agama lain berhak dianut dan diamalkan tetapi di sana ada peruntukan Jadual 9 yang menyekat pelaksanaan Islam setelah diserah Islam itu di bawah kuasa negeri. Tetapi ada peruntukan yang menghalang pelaksana syariat Islam dalam makna yang menyeluruh.

    Walaupun dalam mazhab Islam ada ulama yang sebut syariat Islam itu boleh dilaksanakan kepada orang Islam dan bukan Islam berhak diberi pilihan. Dalam beberapa perkara tertentu boleh kita bahagikan perundangan sebagai contoh kepada tiga bahagian. Yang pertama perkara yang diberi kepada penganut agama masing-masing dalam masalah ibadat undang-undang keluarga dan perkahwinan itu agama masing-masing.

    Dan di sana ada syariat Islam seperti Hudud, Qisas dan Takzir, yang diwajibkan Tuhan dalam al-Quran di mana undang-undang ini wajib bagi Islam. Adapun orang bukan Islam boleh diberi pilihan sama ada nak undang-undang ini atau tidak. Dan di sana ada hukum yang bersama seperti undang-undang jalan raya serta hak milik tanah pertanian dan kediaman tidak ada beza.

    Sepatutnya kita perkenalkan keadilan Islam ini kepada masyarakat di saat kita lihat kegagalan sistem yang lain daripada Islam.

    Mengenai perpaduan berteraskan Islam dan politik Malaysia, Melayu jadi tunggak. Bagaimana ini hendak diterjemah dalam Pakatan Rakyat. Adakah DAP boleh menerimanya?

    Sehingga hari ini kita hanyalah wujudkan persefahaman dalam menghadapi pilihan raya sahaja dengan melihat titik persamaan yang ada, seperti dalam menentang kezaliman, menuntut demokrasi yang bersih, menyeru supaya diperbetulkan penyelewengan yang berlaku, tangani rasuah. Ini perkara bersama. Tetapi bila kita ada kuasa di peringkat negeri, sebagai contoh, di sini kita lihat pembahagian yang saya sebut tadi.

    Dalam perkara yang jadi hak orang Islam, DAP tidak boleh sentuh itu hak orang Islam. Macam kita tidak sentuh hal agama mereka. Mereka janganlah sentuh soal hendak memperlahankan suara azan kita, seperti kita tidak minta dia jangan main mercun masa sambutan malam tahun baru, mereka kena saling hormatilah. Itu menandakan di sana ada beberapa perkara yang perlu dipertahankan dan hormat menghormati.

    Apa pandangan Tuan Guru mengenai rundingan yang berlaku antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dengan kelompok yang hendak menyertai Pakatan Rakyat?

    Bukan dia (Anwar) sahaja, kita pun berhak untuk mengadakan perundingan. Sama juga DAP. Mereka ada hak buat perundingan. Kalau Keadilan sahaja boleh jumpa Umno, PAS tidak boleh jumpa dengan Umno macam mana? Ini yang tidak betulnya.

    Adakah ini salah faham (mengenai hubungan PAS-Umno)?

    Orang lain boleh jumpa Umno, kenapa PAS tidak boleh jumpa Umno? Itu tidak faham namanya. Atas dasar Islam kita berhak. PAS boleh berunding dengan mana-mana pihak. Tidak ada sesiapa yang jadi Ketua Pakatan Rakyat. Pimpinan secara kolektif dan kita setuju masing-masing pemimpin parti mencari pengaruh mengajak rakan dalam BN supaya bersama dengan kita. Oleh sebab itu, tidak timbul isu mengapa orang PAS jumpa Umno.

    Itu politik kampung sahaja yang tidak boleh (melarang) jumpa dengan Umno dan orang PAS. Kita dah uar-uarkan 'engagement' yang disebut dalam muktamar kita, ini keterbukaan kita.

    Penerimaan ahli PAS mengenai 'engagement' seperti ini macam mana?

    Saya lihat inilah yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam pilihan raya umum ke-12 yang telah memberi kemenangan kepada PAS. Dan orang PAS boleh buat kerja untuk memenangkan Pakatan Rakyat. Perlu disedari bahawa PAS yang paling banyak cawangan. PAS yang paling banyak pekerja dalam pilihan raya ke-12. Orang PAS sedia bekerja bagi pihak parti lain. Jadi, selepas capai kemenangan perlu diambil kira peranan orang-orang PAS ini. Sebab orang PAS bukan bodoh! Jangan ketepikan peranan mereka selepas kita menang pilihan raya.

    Mungkin PAS mahu dilihat sebagai entiti penting dalam Pakatan Rakyat?

    Ya, bahkan undi popular perlu dilihat kepada undi menyeluruh. PAS beri penekanan kepada kerusi negeri. Negeri kita dapat 83 kerusi, DAP 73 dan Keadilan dapat 40. Ini perlu dilihat bukan lihat kepada Parlimen sahaja. Kawasan Parlimen ini didukung oleh kerusi negeri.

    Dakwaan liwat terhadap Dato' Seri Anwar. Adakah ia mengganggu Pakatan Rakyat atau PAS?

    Saya tidak mahu kerja-kerja politik diganggu oleh isu-isu berkait dengan masalah individu. Masalah individu diselesaikan secara masalahnya sendiri. Oleh kerana itu saya lebih bersetuju supaya masalah itu diselesaikan di mahkamah yang adil. Kalau Mahkamah Sivil tidak boleh selesai, mestilah dibawa ke Mahkamah Syariah. Yang cara bersumpah (mubahalah) ini, (perlu) sekiranya tidak ada mahkamah.

    Maknanya ia perlu selesai di mahkamah?

    Ya! Ya! Selesaikan di mahkamah ....

    Isu Anwar, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, Datin Seri Rosmah Mansor, Altantuya dan macam-macam berlaku, telah mencetuskan kecelaruan politik sekarang. Apakah pandangan Tuan Guru?

    Malangnya yang memainkan isu ini adalah media. Media Melayu pula. Melibatkan pemimpin-pemimpin Melayu. Adakah mereka tidak malu mengemukakan isu-isu ini (pendedahan hal peribadi yang mengaibkan), sedangkan kita menghadapi masalah kenaikan harga minyak, masalah inflasi yang lebih penting.

    Bagaimana hendak menangani masalah rasuah, masalah jenayah. Kes bunuh Altantuya adakah berbeza dengan kes bunuh Pak Long, Mak Ngah, Ah Chong di kampung yang dibunuh? ... sama sahaja. Sepatutnya ialah soal keadilan itu untuk semua sebagaimana slogan dalam pilihan raya.

    Mengapa pembunuhan Altantuya ini dibesarkan, sedangkan pembunuhan di kaki lima dibiarkan? Yang penting penyiasatan yang adil kepada semua itu perlu. Dalam isu ini barangkali ada kepentingan politik sama ada tuduhan membabitkan Anwar ataupun Najib? Yang pertama sikap orang yang jadi pemimpin itu sendiri dan yang kedua sikap media itu sendiri. Mesti berpada-pada bukannya 'loose'. Itu yang penting.

    Ada pandangan menyatakan perlunya pimpinan Melayu seperti Anwar, Tuan Guru sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi duduk bincang soal Islam dan Melayu?

    PAS sudah lama mendesak muzakarah diadakan di kalangan pemimpin Islam dan parti-parti orang Melayu sejak tahun 50-an hingga kini. Keadaan itu masih terbuka. Bahkan sebaik sahaja buka pintu muzakarah, PAS (akan) sertai. Kalau dibuka itu respons kita. Tetapi asas muzakarah itu mestilah didasarkan kepada asas akidah dan ajaran yang dianuti oleh orang Melayu itu sendiri iaitu Islam.

    Berbalik kepada isu Anwar, mahu atau tidak isu membabitkan beliau perlu dihadapi dan diterima dan implikasinya kepada PAS juga yang sertai Pakatan Rakyat. Apa pandangan Tuan Guru?

    PAS ada pengaruh dan kedudukannya sendiri. PAS simpati dengan rakan Pakatan Rakyat yang terima padah dari fitnah ini dan kita sama-sama ambil tanggungjawab untuk mengatasinya sebaik mungkin. Tetapi PAS tetap utuh dengan sebagai parti yang ada akar umbi yang sudah lama dan bertapak begitu kuat. Dan saya rasakan bahawa apa yang ditumpukan oleh orang PAS ialah untuk menegakkan Islam itu dengan makna yang menyeluruh.

    Apabila banyak fitnah, adakah ini petanda sudah tiba masanya Malaysia menggunakan lebih banyak undang-undang Syariah supaya wujud keadilan dalam negara?

    Saya bersetuju! Islam pun perlu diberi peluang untuk dilaksanakan dan bermula dengan orang Islam sendiri sebagaimana yang kita luluskan di Kelantan dan Terengganu semasa PAS memerintah. Di mana undang-undang Syariah itu dimulakan dengan orang Islam. Sementara orang bukan Islam diberi pilihan sama ada mereka mahu undang-undang Islam atau tidak tetapi dalam kes peribadi dan agama kita tidak campur. Itu sudah jelas.

    Harapan Tuan Guru mengenai muktamar tahunan PAS yang akan berlangsung Ogos ini?

    Muktamar kali ini ialah muktamar pascapilihan raya. Satu anjakan paradigma berlaku dalam politik negara secara umum termasuk orang PAS sendiri. Kita berjaya pecahkan tembok perkauman antara kaum dan pelbagai agama. PAS berjaya tubuhkan Kelab Penyokong PAS yang disertai oleh bukan Islam yang menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka. Mereka kerja secara sukarela kepada PAS. Mereka memenangkan calon PAS di peti-peti undi sebagai tambahan kepada kekuatan PAS yang sudah ada.

    Yang kedua, perubahan di kawasan bandar yang dapat maklumat moden melalui perkembangan ICT. Di sini menunjukkan betapa rakyat perlu dapat maklumat bebas dan terkini yang menyaksikan PAS dapat sokongan di bandar dan pinggir bandar.

    Ketiga, walaupun PAS tidak mendapat kerusi Parlimen sebanyak kerusi pada tahun 1999, namun kali ini berlaku satu perubahan. PAS dikatakan menjadi 'king maker' kepada politik negara. Dalam penyertaannya melalui kerajaan campuran di negeri yang tidak dikuasai sepenuhnya seperti di Kedah.

    Dalam keadaan PAS adakan campuran dengan parti lain di Perak, rakan Pakatan Rakyat memberi kepercayaan kepada PAS memimpin dua buah negeri Kedah dan Perak selain yang telah ada Kelantan. Satu negeri kepada Keadilan di Selangor dan satu negeri kepada DAP di Pulau Pinang.

    Jadi ini menunjukkan kepercayaan yang diberi Pakatan Rakyat untuk memimpin negeri. Dan kita hargai kepercayaan ini. Apa yang penting PAS mesti laksanakan slogan semasa pilihan raya iaitu 'Islam For All'. Itu mesti direalisasikan. Sebab itu kita harapkan NGO dan parti bukan Islam jangan risau dengan pelaksanaan ini. Kita harap apa yang disebut sebagai 'Islamophobia' tidak berlaku kepada rakyat Malaysia.


    Kita dah ada model di Kelantan. Kini masuk penggal kelima, dan di Terengganu satu penggal. Tidak ada sebab mereka risau jika kita realisasikan slogan tadi. Kepada ahli PAS, teruskan bekerja bukan sahaja untuk pilihan raya ke-12, dalam masa yang sama kerja selepas PRU-12 untuk isi kemenangan.

    Kepada rakan-rakan Pakatan Rakyat kita harapkan supaya jentera PAS jangan digunakan untuk menjayakan pilihan raya ke-12 sahaja, sebaliknya selepas pilihan raya itu seolah-olah mereka tidak ada peranan lagi.


    Tambah sikit jah: Semoga kita semua pakat reti basa dan tidak mengikut arus semata.
    Blog Widget by LinkWithin