13.8.08

Baru 9 Tahun

Tepat-tepat 9 tahun yang lampau, saya memasuki alam baru. Telah saya tinggalkan iblis menangis di pintu masjid yang saya bina. Bersama Ummi. Betapa berat tanggungjawab yang dihadapkan ke atas kepala saya; ketika itu saya mengeluh kesah, kurang senyuman walaupun bergelar raja sehari.

Betapa tidak, beberapa bulan sebelum hari perkahwinan itu, saya yang baru menyelesaikan pengajian, menjalani latihan guaman serta baru bekerja selama dua bulan, tiba-tiba meletakkan jawatan untuk bekerja sendiri. Memang betul-betul bekerja sendiri sehinggakan kerja mendirikan dinding bilik, mengecat, memasang meja, memasang karpet -sekadar menyebut beberapa perkara- tangan sayalah yang menggerakkannya sehingga boleh dipanggil sebuah pejabat.

Dalam kecelaruan pekerjaan itulah saya berkahwin. Bayangkan!!! Tanpa pendapatan tetap, dengan Ummi juga menjalani latihan guaman tanpa elaun.

Rasaya baru kelmarin sahaja peristiwa itu berlalu. Tapi betullah rezeki Allah boleh datang dari sumber yang tidak terduga. Kurnian Allah yang terbesar (setakat ini) empat orang penyejuk mata ayah dan Ummi; Madiha, Madhi, Majida dan Majdi. Tidak seharipun berlalu kecuali saya tidak pernah menyesal memilih Ummi sebagai ibu Al-Khazaain. Sebagaimana Ummi harapnya tidak menyesal memilih saya sebagai bapa Al-Khazaain.

Tentu sahaja sepanjang 9 tahun ini, ada ketika kami menangis dan ada kalanya bergembira. Itu lumrah. Dan saya bersyukur kerana adanya Ummi saya dapat 'menyederhanakan' tangisan dan kegembiraan itu.

Terima kasih Ummi. Terima kasih kerana telah berada di sisi saya, kanan dan kiri depan dan belakang selama ini. Atas dan bawah. Semoga begitu selamanya dengan keberkatan dari Allah jua.

1 comment:

nik nur syuhada said...

terharu mendengarnya....apa ape pun selamat ulangtahun perkahwinan yang ke 9....tahun depan jubli perak dos la...

Blog Widget by LinkWithin