31.8.08

Snippets - Di Ambang Ramadhan

1. Cuti 3 hari ini saya danUmmi mengunjungi saudara-mara yang akan mengerjakan Umrah di bulan Ramadhan. Pohon untuk menumpang doa mu'tamirin dipanjangkan di sana nanti agar azam 2008 saya dan Ummi dahulu dikabulkan Allah. Antara yang akan ke sana selama sebulan Ramadhan adalah Che (Ibu Ummi), Pok Lan, Mak Cik Aji dan Che Su. Semoga semuanya mendapat umrah mabrurah.

2. Saya dan Ummi sempat mengikuti Forum Merdeka Pelaksanaan Undang-Undang Pasal 152 dan 153 Perlembagaan Persekutuan anjuran Majlis Tindakan Rakyat Kelantan semalam. Kehadiran peserta agak ramai memenuhi Dewan Putri Saadong, Hotel Grand Riverview. Laporan program boleh diikuti di sini. Tapi bagi saya, kenapa rintihan 152 dan 153 ini hanya timbul selepas PRU12? Apa yang telah dibuat oleh UMNO sehingga begitu rupa kesannya?

3. Sempena sambutan hari Kemerdekaan Malaysia kali ke 51, semalam kami-adik-beradik-dalam-pagar menganjurkan BBQ Merdeka. Majlis bermula selepas Isya' sehingga jam 12 malam. Kanak-kanak paling suka semalam kerana teramat banyak makanan di sediakan dan hampir setiap keluarga mendapat cabutan bertuah. Antara blogger-dalam-pagar yang hadir adalah Dari Pandangan Mata, Nik Nabil, Che Wa, Che Su dan Ali Sabki (Link masing-masing boleh di dapati pada bahagian tepi blog ini).

4. Insya Allah kalau anak bulan kelihatan petang ini, umat Islam akan mula berpuasa esok. Tahun lepas Madiha telah mula berpuasa sebanyak 23 hari. Tahun ini katanya nak puasa penuh. Ummi nak bagi upah. Madhi pula awal-awal lagi dah pesan untuk bangun bersahur. Katanya nak lawan kakak.

27.8.08

Roda Anwar Yang Berputar

Sejak kecil saya minat sejarah. Sepanjang hidup saya matapelajaran sejarah adalah subjek yang paling saya minat. Kuliah Maghrib saya yang satu-satu itupun sejak sepuluh tahun dahulu berkaitan sejarah walaupun namanya 'sirah'.

Sejarah jugalah yang memungkinkan saya menguasai bidang undang-undang. Bagi saya sejarah akan sentiasa "repeat itself" dan setiap yang berlaku adalah ibarat roda; sentiasa berputar. Sehari berada di bawah, bersentuhan dengan lecah, najis dan tanah. Dan pada ketika yang lain tentunya akan berada di atas pula.

Dan nampaknya begitulah roda sejarah DS Anwar Ibrahim. 10 tahun yang lampau beliau telah dihina dan diperlakukan sebegitu rupa. Dari seorang bekas timbalan perdana menteri beliau diheret ke penjara, terpukul hina dengan tuduhan yang amat jijik. Kawan-kawan yang ramai menjauhkan diri. Dan ramai yang meramalkan putaran rodanya akan berakhir di situ.

Tapi memang 'Sunnah' Allah. Yang hina tidak selamanya hina dan yang di atas tidak selamanya begitu. Yang hina akan bertukar mulia; ia akan tetap berterusan selagi roda sejarah berputar.

Natijahnya? Semalam kita telah dapat melihat. Sirih telah pulang ke ganggang. Belut telah pulang ke lubuk. DS Anwar mengenggam kembali haknya yang dirampas 10 tahun dahulu. Cuma kali ini atas nama Pakatan Rakyat. Esok beliau akan kembali ke Parlimen untuk berhadapan secara peribadi dengan musuh-musuh politiknya dan mengetuai anggota Pakatan Rakyat.

Ayuh.. Datuk Seri!!! Gunakan peluang yang ada itu untuk melaksanakan sumpah keramatmu. Gunakan kesempatan itu untuk membawa perubahan ke arah Malaysia yang lebih gemilang. Jadikan kemenangan rakyat semalam sebagai hadiah hari kemerdekaan yang paling bermakna. Jangan disia-siakan harapan kami semua.

Kerana Datok Seri, roda akan tetap berputar. Sejarah akan tetap berulang. Kami tidak mahu melihat Dato Seri sebagaimana "10 tahun" sebelum 10 tahun yang lampau.

25.8.08

Olimpik 2008 Menutup Tirai

Dengan penyerahan bendera Olimpik kepada wakil bandaraya London semalam maka berakhirlah sudah Olimpik edisi 2008. Menunggu untuk bertemu lagi di kota London dengan debaran memecahkan rekod ciptaan manusia hebat. Juga untuk menguji samada penguasaan China mengatasi USA, Rusia dan kuasa-kuasa besar sukan lain adalah kerana kehebatan mereka ataupun kerana medannya di kampung halaman sendiri.

Dengan berakhirnya Olimpik 2008 juga, kita dapat melihat rendah tingginya kemampuan ahli sukan kita berhadapan dengan atlet lain samada dari segi jasmani dan rohani. Apa yang pasti 'kejayaan' membawa pulang sebutir pingat berkilau perak seakan tidak memadai dengan jutaan ringgit yang telah dihabiskan sebelum ini.

Rata-rata masyarakat kita membincangkan keharusan anugerah 'Datuk' kepada Chong Wei serta hadiah RM300,000 dan pencen RM3000 sebulan kepadanya; tanpa memikirkan kekecewaan rakyat menyaksikan betapa mudahnya beliau menyerah pada perlawanan akhir badminton sedangkan harapan rakyat seramai 27 juta terletak di atas bahunya.

Perak yang dihadiahkan itu hanyalah sekadar menyamai rekod Olimpik kita sebelum ini.

Bagaimanapun, secara peribadi saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Chong Wei yang berjaya juga meletakkan Malaysia dalam senarai penerima pingat. Dan tentunya, sebagaimana keluhan saya sebelum ini tahniah yang serupa saya tujukan kepada sifu badminton negara Misbun Haji Sidek yang akan menerima gelaran Datuk dari negeri Melaka (Melaka pun Melaka...lah....).

Semoga anugerah-anugerah itu akan menyemarakkan lagi khidmat bakti untuk negara.

Dalam pada itu saya terfikir juga satu perkara. Iaitu kemungkinan besar kita akan kempunan dalam berlawan menggunakan tenaga kerana faktor tubuh rakyat kita yang sedikit kecil jika dibandingkan dengan atlet-atlet luar. Tetapi dalam permainan yang melibatkan emosi dan pemikiran seperti memanah, menembak, boling dan sebagainya kita tentu saja dapat bersaing dengan mereka kerana otak manusia diciptakan tuhan sama sahaja.

Apa kata kalau kerajaan mula mengkaji potensi otak atlet kita sebelum membuat pilihan samada nak hantar atau tidak mereka bertanding di luar negara. Tentu ada perubahan.

21.8.08

Misbun

Sejak kecil saya minat bermain badminton. Walaupun saya boleh dikira bukan seorang 'ahli sukan' kerana saya tidak boleh bermain bola sepak, takraw dan seumpamanya tetapi suatu ketika dahulu kalau bermain badminton berpeluhlah juga lawan menghadapi saya. Minatnya saya dengan badminton; sejak kecil lagi satu-satunya alat sukan yang saya sentiasa miliki adalah raket badminton. Saya pernah berjaga sehingga 2.30 pagi menyaksikan pasukan Malaysia bermain.

Sukan-sukan lain? Jangan harap.

Entah kebetulan atau tidak, apabila disebut badminton, terbayanglah satu nama, "Misbun". Memang sejak kecil kalau bermain badminton, dalam berebut-rebut untuk dapatkan nama pemain kesayangan, nama Misbunlah yang sentiasa bermain dibibir. Memang nama Misbun adalah lagenda badminton negara lebih-lebih lagi dengan kejayaan Lee Ching Wei merangkul pingat perak Olimpik 2008.

Lebih-lebih lagi saya kagum dengan semangatnya yang teramat dedikasi dalam kerja untuk melahirkan jaguh badminton peringkat dunia.

Bertolak dari situ, di atas kejayaan Chong Wei merangkul perak, dihadiahkan dengan wang tunai RM300,000 serta RM3000 sebulan seumur hidup dan gelaran Datuk, janganlah dilupakan terhadap seorang insan yang begitu berjasa itu. Bak kata Choong Wei sendiri Misbun Sidek yang bukan sahaja mengorbankan masa dan tenaga malah keluarga semata-mata untuk memberi perhatian sepenuhnya bagi memastikan kejayaannya di Sukan Olimpik Beijing.

Tidakkah kerajaan negeri Selangor ada sesuatu untuk wira yang tidak didendang itu?

20.8.08

Mabukkah Orang Ini?

Soalan ini saya tujukan kepada seorang penulis terkenal. Yang ada blog sendiri. Dan yang sepatutnya faham tentang sensitiviti rakyat terutamanya dalam hal agama.

Penulis blog yang saya maksudkan itu adalah orang ini. Dia menulis berkenaan kekecewaannya di atas pembatalan Konsert Avril Lavigne yang dijadualkan dua hari sebelum sambutan merdeka sebagaimana petikan arahan dari kerajaan yang dipetiknya.

Bagi saya nak tulis apa pun berkenaan dengan konsert tersebut, tulislah. Samada nak sentuh berkenaan kesesuaiannya dengan budaya, perpaduan, keseniaan dan warisan Malaysia; silakan!!! Tapi apabila dia sudah sentuh berkenaan dengan agama, apatahlagi dalam bentuk menghina. Dia memang kurang ajar.

Ayat-ayat terakhirnya memang celupar, "Maybe we should learn to wear the turbans and learn how to ride camels from now. Remember, Hadi is the PM in waiting." Saya ingin bertanya apa kaitan dan apa niat dia menulis begitu yang mengaitkan bantahan terhadap konsert dengan pemakaian serban ataupun menunggang unta.

Melainkan satu kenyataan yang menghina.

Saya percaya ini bukanlah kali pertama dia menulis perkara seumpamanya. Dan nampaknya tulisan-tulisan seumpama itu akan terus dikeluarkan kerana tidak ada tindakan dari pihak yang berwajib.

Atau adakah tulisannya itu dapat dimaafkan atas alasan mabuk?

19.8.08

Quote Of The Day

"For me, Islam comes first. I am a Muslim first, a party member second. A Muslim first, a lawyer second. A Muslim first, an MP second".

Wow!! What a quote to bless my day....

Rest of the story here.

14.8.08

Pindaan Undang-Undang Syariah

Saya menyambut baik saranan yang dikemukakan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Wan Muhammad Sheikh Abdul Aziz sebagaimana yang dilapurkan hari ini dalam Berita Harian Online, yang antara lain menyebut bahawa Undang-Undang Syariah negara termasuk di negeri-negeri perlu dipinda semula berikutan kadar hukuman serta penaltinya yang dianggap sudah lapuk serta tidak dapat mencegah berlaku pelbagai salah laku dan perlu kepada perubahan

Saya menulis ini dengan menyedari hakikat bahawa Undang-Undang Syariah yang ada itu di atas formula '356' adalah bertentangan dengan hukuman sebenar syariah di bawah hukum hudud, qisas dan ta'zir. Tetapi sebagaimana yang dapat difahami dari kaedah "sesuatu yang tidak boleh diperolehi semuanya, janganlah ditinggalkan semuanya', saya amat-amat bersetuju dengan saranan tersebut.

Kita boleh bayangkan betapa ketinggalannya undang-undang Syariah yang dienakmenkan dalam memenuhi objektif hukuman iaitu untuk memberi pengajaran kepada pesalah dan juga ingatan kepada masyarakat umum. Bayangkan sebagai contoh, hukuman di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985 bagi kesalahan zina seksyen 11, apabila disabitkan dikenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5000 atau kedua-duanya dan disebat enam kali

Itu adalah maksimum hukuman yang boleh dikenakan.

Contoh lain adalah pada seksyen 23 bagi kesalahan galakan maksiat iaitu menganjur, memujuk atau menggalakkan mana-mana orang melakukan apa-apa pekerjaan maksiat adalah bersalah dan jika disabitkan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara selama tempoh tidak lebih empat bulan atau kedua-duanya.

Sahaja!!!

Bagi saya, apalah sangat nilainya hukuman-hukuman tersebut jika dibandingkan dengan kesalahan yang dilakukan, sementelahan pula ianya telah digubal 23 tahun yang lampau, ketika mungkin wang sebanyak RM500 adalah merupakan satu jumlah yang besar.

Tapi tentu sahaja untuk membuat pindaan terhadap undang-undang syariah tersebut beberapa undang-undang lain perlu juga dipinda. Yang paling penting bagi saya adalah kekangan yang terdapat di dalam Muslim Courts (Criminal Jurusdiction) Act, 1965 dengan pindaan terakhir pada tahun 1984. Akta inilah yang mengekang bidangkuasa syariah sebenarnya dengan hanya menetapkan formula 356; penjara tidak lebih 3 tahun, denda tidak lebih RM5000 dan sebat tidak lebih 6 kali sebatan atau gabungan kesemuanya.

Akta inilah yang perlu di pinda.

Menyedari hakikat kekangan itulah, pernah Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa tahun 2007 meluluskan usul agar Kerajaan Negeri Kelantan meminda Enekman Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan 1985 dengan memperuntukkan hukuman maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang bagi setiap kesalahan yang disenaraikan di bawah enakmen tersebut.

Saya tidak pasti apa jadi kepada usul yang diluluskan sebulat suara itu.

Saya berpendapat ini adalah masa yang terbaik untuk membangkitkan isu ini semula di peringkat nasional. Syabas JAKIM.


Nota: Pagi tadi saya dengar Radio IKIM mengulas isu ini. Tapi DJ macam nak potong setiap pendapat yang dikeluarkan. Rileklah Ustaz Zamri, bila lagi nak bagi peluang.

13.8.08

Baru 9 Tahun

Tepat-tepat 9 tahun yang lampau, saya memasuki alam baru. Telah saya tinggalkan iblis menangis di pintu masjid yang saya bina. Bersama Ummi. Betapa berat tanggungjawab yang dihadapkan ke atas kepala saya; ketika itu saya mengeluh kesah, kurang senyuman walaupun bergelar raja sehari.

Betapa tidak, beberapa bulan sebelum hari perkahwinan itu, saya yang baru menyelesaikan pengajian, menjalani latihan guaman serta baru bekerja selama dua bulan, tiba-tiba meletakkan jawatan untuk bekerja sendiri. Memang betul-betul bekerja sendiri sehinggakan kerja mendirikan dinding bilik, mengecat, memasang meja, memasang karpet -sekadar menyebut beberapa perkara- tangan sayalah yang menggerakkannya sehingga boleh dipanggil sebuah pejabat.

Dalam kecelaruan pekerjaan itulah saya berkahwin. Bayangkan!!! Tanpa pendapatan tetap, dengan Ummi juga menjalani latihan guaman tanpa elaun.

Rasaya baru kelmarin sahaja peristiwa itu berlalu. Tapi betullah rezeki Allah boleh datang dari sumber yang tidak terduga. Kurnian Allah yang terbesar (setakat ini) empat orang penyejuk mata ayah dan Ummi; Madiha, Madhi, Majida dan Majdi. Tidak seharipun berlalu kecuali saya tidak pernah menyesal memilih Ummi sebagai ibu Al-Khazaain. Sebagaimana Ummi harapnya tidak menyesal memilih saya sebagai bapa Al-Khazaain.

Tentu sahaja sepanjang 9 tahun ini, ada ketika kami menangis dan ada kalanya bergembira. Itu lumrah. Dan saya bersyukur kerana adanya Ummi saya dapat 'menyederhanakan' tangisan dan kegembiraan itu.

Terima kasih Ummi. Terima kasih kerana telah berada di sisi saya, kanan dan kiri depan dan belakang selama ini. Atas dan bawah. Semoga begitu selamanya dengan keberkatan dari Allah jua.

10.8.08

Kesudahannya Forum Dibatalkan

Sebelum ini saya ada bertanyakan tentang kesudahan isu murtad di negara kita. Berkebetulan pada masa yang sama Majlis Peguam Malaysia dalam rangka untuk menganjurkan satu program yang menyentuh isu pemelukan agama Islam. Walaupun mendapat tentangan masaa termasuk PAS tetapi mereka tetap ingin meneruskannya.

Kesudahannya? Saya mendapat khabar bahawa forum tersebut terpaksa dihentikan awal atas nasihat keselamatan.


Saya tidak akan mengulas panjang pro dan kontra penerusan atau pembatalan forum tersebut kerana bagi saya secara dasarnya sebarang perbincangan, forum atau majlis penerangan adalah bagus untuk pengetahuan. Tetapi pada masa yang sama ianya tidak patut diteruskan jika niat penganjurannya terpesong dari objektif penubuhan penganjurnya.

Saya mencadangkan agar pada masa akan datang, isu-isu yang berkaitan dengan agama Islam hendaklah diuruskan/dipegerusikan oleh jawatankuasa Islam kerana bagi saya orang yang bukan Islam tidak berhak sedikitpun untuk bercakap hal berkaitan Islam samada menyentuh moral ataupun undang-undang.

Tetapi selanjutnya, saya masih lagi ingin bertanya, di mana kesudahannya tentang isu murtad ini. Kerana sebagaimana yang dijelaskan oleh penganjurnya:

"It may be controversial, but that doesn't mean you don't talk about these issues. If it is emotive, if it is sensitive, we still have to talk about discuss these things. That is our position; you need to discuss!" he stressed.

"What we're saying is, it's not an issue of conversion. We're not questioning Article 121 (1A), we're not questioning Article 3 of the Federal Constitution on the status of Islam. When you have two jurisdictions, the civil and the syariah jurisdiction, obviously there will be conflicts of law.

"When you have conflicts of law, you need to resolve these conflicts. This is what we're looking at: How do you resolve these issues? That is all."

Jelas, penganjurannya adalah berdasarkan satu isu sahaja iaitu pertentangan undang-undang yang timbul berkaitan dua bidangkuasa yang ada; bidangkuasa sivil dan bidangkuasa syariah.

Jadi ke mana arahnya? Saya tujukan permasalahan ini kepada saya dan anda yang sepatutnya memilih sebuah kerajaan yang mampu untuk menyelsaikan pertentangan undang-undang tersebut.

Alangkah baiknya jika penganjuran bantahan semalam juga terselit mesej tersebut ke arah mencari kesudahannya.

6.8.08

Apa Kesudahannya Murtad

Saya telah menulis berkenaan dengan isu ini beberapa kali. Pada mulanya berkaitan kes Subashini dan kemudiannya berkatian kes Siti Fatimah. Setiap kali isu ini timbul setiap kali itulah hati saya menggelegak.

Kes terbaru adalah sebagaimana yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan semalam yang menolak rayuan seorang wanita terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk satu pengisytiharan bahawa dia (saya guna dia bukan beliau) berhak untuk meninggalkan Islam serta memeluk Kristian.

Sekali lagi, sebagaimana kebanyakan kes-kes berkaitan isu yang sama keputusannya adalah 2-1. Bermaksud hakim yang beragama Islam menolaknya manakala ada seorang lagi hakim (bukan Islam semestinya) menerima.

Antara lain, YA Hakim Mahkamah Rayuan menolak rayuan tersebut atas alasan - pada pendapat saya - teknikal bilamana dia masih lagi menggunakan nama asalnya sedangkan dia telah menukar namanya kepada nama Islam apabila memeluk agama Islam. Dalam bahasa yang mudah dia sepatutnya menggunakan nama Islam semasa membuat permohonan tersebut.

Iya....bagi saya YA Hakim adalah betul apabila membuat keputusan tersebut walaupun atas dasar teknikal, kerana sebelum ini pun teramat banyak kes-kes peringkat rayuan yang ditolak atas alasan teknikal (sampai bila?).

Tapi atas kesedaran yang lebih luas, apakah kesudahannya. Apakah selama-lamanya mahkamah akan bersikap menafikan (denial) seperti itu; bilamana seperti tidak mahu langsung menyentuh persoalan pokok iaitu boleh atau tidak seseorang yang telah memeluk Islam kembali murtad?

Saya berpendapat persoalan inilah yang utama sekarang dalam isu ini (untuk tujuan entry ini saya tidak akan menjawab soalan boleh atau tidak seseorang murtad kerana bagi saya ia memang tidak boleh dan perlu dihukum dengan hukuman yang sekeras-kerasnya). Untuk itu perlu ada sekurang-kurangnya satu mekanisma yang lebih detail berkenaan dengan permasalahan ini. Seumpama contohnya penggubalan akta undang-undang murtad yang entah bila akan kunjung tibanya. Apa yang ada sekarang hanyalah beberapa seksyen kecil dalam enakmen-enakmen jenayah syariah negeri-negeri yang kewujudannya hanya menambah kecelaruan dalam sistem kehakiman kita.

Kalau tidak percaya cuba teliti beberapa kes yang pernah terjadi sebelum ini seperti kes Mat Ya dan isterinya, nabi Melayu di Selangor dan beberapa kes lain. Kemelutnya sehingga ke Mahkamah Persekutuan hanya semata-mata untuk menentukan samada kerajaan negeri berhak mengenakmenkan undang-undang berkaitan.

Tak celaru kalau begitu?

Kerana itulah bagi saya sudah sampai ketikanya (kalau saudara masih rasa tidak terlambat) untuk semua pihak memainkan peranannya baik YA Hakim, Peguam, exco agama negeri, orang biasa dan juga penulis-penulis blog. Mari kita gembeling tenaga dan fikiran sekurang-kurangya untuk merealisaikan Akta Undang-Undang Murtad dan juga untuk menjenayahkannya bagi dihadiahkan dengan satu hukuman yang terberat dalam kanun jenayah iaitu hukuman mati.

Barulah ada kesudahannya...

4.8.08

Double Celebration Untuk Ummi

Sebagaimana yang telah saya khabarkan sebelum ini, hari ini saya sekeluarga akan berangkat ke Kuala Lumpur. Pada mulanya saya berhasrat untuk ke sana berdua sahaja dengan Ummi memandangkan Madiha, Madhi dan Majida bersekolah. Tetapi Ummi berpandangan lain.

Katanya, "Semua mesti pergi. Dah lama Ummi simpan angan-angan nak bergambar sekeluarga dengan baju graduasi itu.". Oleh kerana alasan itu, saya mengalah walaupun anak-anak terpaksa ponteng sekolah beberapa hari. Anak-anak pulak pantang dengar 'berjalan' pasti nak ikut.

Dan sebagai tambah nilai rehlah, saya berhasrat membawa mereka ke tempat ayah dan Ummi bertemu iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, taman ilmu tersohor di Gombak. Sekurang-kurangnya dapat memberi suntikan motivasi untuk belajar lebih rajin.


Hari ini juga, 4 Ogos adalah hari ulang tahun kelahiran Ummi ke 34. Jadi macam "double celebration"lah pula. Cumanya hari ini kena buat sambutan di atas Citra sepanjang jalan ke Kuala Lumpur. Hadiahnya? Biasiswa pengajian dilupuskan. Hee....heee....


Nota: Kalau ada masa gambar-gambar akan saya masukkan nanti.

3.8.08

Photos of Rehlah Mahabbah

As promised to pemudapc.blogspot, Al-Khazaain present you photos of the Rehlah.






























No words needed.

Snippets - Post Rehlah Mahabbah DPPNK 2008

1. Alhamdulillah, saya selamat sampai ke rumah lebih kurang pukul 9.00 malam selepas menghantar pemuda-pemuda Pengkalan Chepa yang bersama dengan saya ke rumah masing-masing. Sebetulnya sepanjang perjalanan dari Lumut ke Ipoh dan dari Ipoh ke Kota Bharu saya duduk sahaja di bahagian penumpang. Sedap juga rupanya pakai "drebar".

2. Pagi ini saya buat sejarah peribadi berjalan kaki dari hadapan Balai Islam Lundang, melalui Pasaraya Billion, masuk ke Jalan Dusun Muda sebelum sampai di pejabat di Jalan Pengkalan Chepa. Agakan saya lebih kurang 6-7 kilometer juga jauhnya. Saya berjalan kaki bukan protes minyak mahal, tapi saja-saja nak test ketahanan kaki. Alhamdulillah tidak ada masalah. Tapi petang nanti, untuk mengambil kereta yang di tinggalkan untuk servis, kena tumpang oranglah.


3. Hari ini, saya masuk pejabat. Tapi hari ini ajelah kerana esok saya akan bertolak ke Kuala Lumpur bersama Ummi dan anak-anak untuk menghadiri Majlis Graduasi di Universiti Malaya pada 5 Ogos nanti. Bukan graduasi saya, tetapi untuk Ummi yang akhirnya berjaya menghantar tesis Sarjana Syariahnya pada pagi hari terakhir tempoh yang dibenarkan – selepas beberapa kali meminta pelanjutan masa – sebelum senat bermesyuarat pada petangnya. Fooh lega, sebab sayalah sponsornya.


Nampaknya . ber 'rehlah' sekali lagilah saya.


1.8.08

Rehlah Mahabbah DPPNK

Alhamdulillah dengan izin Allah, saya bersama 11 orang pemuda dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Pengkalan Chepa, selamat sampai di Teluk Dalam Resort, Pangkor lebih kurang pukul 7.30 petang semalam.

Kami kemudiannya berkumpul besama lebih 120 orang ahli dewan pemuda PAS kawasan-kawasan seluruh Kelantan untuk menjayakan program Rehlah Mahabbah DPPNK 2008 bermula 31 Julai (semalam) sehingga 2 Ogos 2008 (esok).

Ini adalah kali kedua saya sampai di Pulau Pangkor dan kali pertama di resort ini. Apa yang dapat saya lihat, tempatnya begitu selesa sekali sebagai tempat "untuk meraikan petugas-petugas pilihanraya pemuda", sebagaimana disebut oleh YB Ketua DPPNK dalam ucapannya semasa taaruf semalam.

Program pagi ini dimulakan dengan Solat dan Kuliah Subuh secara berjemaah. Sebentar lagi acara sukaneka dan sukan akan dimulakan dengan beberapa acara telah diatur. Harap-harap DPPPC akan membawa pulang beberapa hadiah yang akan disampaikan malam ini sempena dengan majlis makan malam bersama YB Exco Pembangunan Insan, Belia, Sukan Dan NGO Negeri Kelantan.

Rehlah ini akan berakhir esok apabila semua peserta berkunjung untuk makan tengahari di Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Perak di Ipoh sebelum bergerak pulang.

Semoga program ini mencapai matlamatnya.
Blog Widget by LinkWithin