31.3.09

Tahniah Dato' Nik Amar

Saya sekeluarga mengucapkan tahniah kepada YDP kami Ustaz Nik Mohd Amar yang dikurniakan anugerah Ahli Yang Kedua (Datuk Paduka) bagi Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (D.J.M.K) yang membawa gelaran Dato'.

Anugerah itu dikurniakan sempena ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra kali ke-59 yang diadakan di Balai Besar.

17.3.09

Adakah kerana Mereka Negara Islam?

1. Selain dari peristiwa-peristiwa dalam negeri yang berlaku seminggu dua ini, peristiwa-peristiwa luar negara juga tidak kurang hebatnya. Antaranya adalah pergaduhan yang tidak pernah reda di Pakistan dan juga isu waran tangkap ke atas Presiden Sudan oleh ICJ.

2. Pergolakan terbaru di Pakistan adalah ekoran hukuman penjara-kediaman-terhad terhadap Nawas Syarif 25 Febuari lepas. Beliau dan peyokongnya membantah hukuman tersebu.

3. Tahu-tahulah saja kalau rakyat Pakistan membantah sesuatu perkara!!! Bukan setakat batu malah bom juga dilontar-lontar.

4. Sedangkan isu yang sebenar iaitu keganasan, kemiskinan dan ketidakstabilan politik seakan tidak dipedulikan oleh pemimpin. Atau lambat bertindak. Janji pilihanraya Presiden untuk mengembalikan jawatan ketua hakim negara juga belum dilaksanakan sedangkan sebulan sudah berlalu.

5. Dalam negara yang sebegitu sensitif macam-macam boleh berlaku. Mungkin juga dicetuskan oleh negara jiran yang cuba bermusuh!!!?

6. Tidak dapat tidak kehidupan rakyat tidak lagi stabil sedangkan itulah hasrat rakyat sebenarnya.

7. Tuduhan ke atas Omar al-Bashir pula begitu berat sebelah. Apakah tindakan seorang ketua negara yang mempertahankan kedaulatan negara dari ancaman pemberontak dalam negeri boleh dianggap sebagai membunuh?

8. Kalau begitu ambillah tindakan juga terhadap ketua kerajaan Filipina, Sri Langka. Bush dan Blair pun apa kurangnya. Hampir sejuta umat mati tanpa menyedari apa dosa mereka. Kenapa diam?

9. Saya beranggapan, tuduhan dan waran tangkap ke atas Presiden Sudan itu adalah tuduhan berat sebelah.

10. Hanya semata-mata Pakistan dan Sudan adalah dua buah negara umat Islam; adakah mereka layak diperlakukan sebegitu rupa?

11. Oh....saya mesti meneruskan boikot saya.

12.3.09

Tahniah Nik Nomadiha 20A SPM 2008

Tahniah saya ucapkan kepada Nik Normadiha Nik Mohamad Kamal pelajar Maahad Muhammadi Perempuan yang menerima keputusan SPMnya pagi ini. Dengan keputusan 20A (19A1 1A2) tersebut, saya percaya beliau adalah antara pelajar terbaik seluruh Malaysia (atau mungkin yang terbaik?).

Kejayaan tersebut membuktikan satu perkara iaitu "Man jadda wajada" - Siapa berusaha akan mendapat hasilnya-. Tidak kira siapa kamu, sebanyak mana harta kamu atau keturunan mana kamu. Yang penting adalah berusaha dan bertawakal kepada Allah.

Cuma jika boleh saya panjangkan sedikit...di hadapan nanti cabaran yang lebih besar bakal menjelma. Lebihkan usaha. Dan juga lebihkan tawakal. Insya Allah selamat.

9.3.09

Maulidur Rasul 1430

Selamat menyambut Maulidur Rasul kepada seluruh umat Islam.

Sesungguhnya kedatangan Rasulullah SAW telah membawa rahmat ke seluruh alam ini.

Dan bersempena dengan Hari Wanita Antarabangsa semalam. Ketahuilah bahawa kedatangan Islam telah mengubah persepsi masyarakat dunia jahiliah secara total terhadap kedudukan wanita.

Bukankah kamu dari penghinaan kemudiannya dimuliakan oleh Islam. Dan bukankah Rasulullah memuliakan kamu tiga kali ganda dari lelaki. Serta meletakkan tanggungjawab kamu sama seperti lelaki.

Oh!!!! Alangkah tidak bersyukurnya manusia.

4.3.09

Poligami Dan Harta Sepencarian

Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 (Negeri Kelantan)

Seksyen 23 (10) -Poligami

Tiap-tiap Mahkamah yang memberi kebenaran atau memerintahkan supaya perkahwinan itu didaftarkan di bawah seksyen ini, hendaklah mempunyai kuasa atas permohonan mana-mana pihak kepada perkahwinan -

  • (a) ...
  • (b) untuk memerintahkan supaya apa-apa aset yang telah diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagikan.

1. Secara ringkasnya seksyen ini menerangkan berkenaan dengan harta sepencarian. Di mana mahkamah yang mendengar permohonan poligami oleh suami mempunyai kuasa (atas permintaan pihak-pihak) untuk membuat perintah bahawa segala harta sepencarian terlebih dahulu dibahagi antara suami dan isteri berkenaan. Maksudnya perintah terhadap harta sepencarian tersebut boleh dibuat serentak dengan kebenaran untuk berpoligami terhadap suami.

2. Tujuannya adalah untuk menjaga maslahat isteri dan juga untuk mengelak kekeliruan status harta dengan isteri kedua atau ketiga jika berlaku pertikaian kemudiannya.

3. Seringkali dalam ceramah-ceramah saya kepada perkumpulan wanita berkenaan dengan peruntukan ini, mereka nampak gembira. Malah ada yang berkata "Ini baru adil...".

4. Tapi saya juga menerangkan kepada mereka implikasi disebaliknya, iaitu harta-harta yang didaftarkan atas nama isteri atau yang diperolehi oleh isteri pun juga termasuk dalam kategori tersebut. Maksudnya perlu dibahagikan juga sebagai harta sepencarian.

5. Ini terpakai kebiasaannya dalam situasi suami pinjam nama isteri untuk membeli harta. Si isteri menganggap itu adalah hak mereka.

6. Terdiam mereka. Ada juga yang berkata "Pulak dah...!!!!".

7. Hakikatnya, manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada. Yang dilihat adalah dari sudut material semata. Malah ada yang merelakan suami "makan luar" semata-mata tidak mahu bermadu.

8. Ditambah pula beberapa perkumpulan kononnya membela hak asasi wanita. Tapi lupa kepada pandangan agama. Hakikatnya wanita sendiri memperbodohkan diri sendiri.

2.3.09

2 Tahun Majdi

Semalam 1 Mac 2009, Nik Ahmad Majdi cukup umur 2 tahun. Tidak ada majlis hari jadi; meniup lilin dan nyanyian ulang tahun untuk merayakannya, sebagaimana tradisi untuk kakak-kakak dan abangnya sebelum ini. Cuma kerana kebetulan ayah dan ummi ada masa - Ummi menggoreng meehun dan ayah rasa nak makan cheese cake - dapatlah merasa sedikit seorang.


2 tahun adalah waktu yang singkat sahaja. Mengikut syariat, 2 tahun adalah sekurang-kurangnya waktu anak-anak menyusui ibu. Wajib seorang ayah menyediakan nafkah untuk susu itu; samada dari tubuh ibunya, upah ataupun susu tin. Jelasnya, syariat meletakkan tanggungjawab itu ke atas si ayah walaupun jagaan anak berada di tangan ibu.

Mungkin saudara merasa pelik dengan catatan saya kali ini. Masakan seorang ayah akan mengabaikan tanggungjawab itu...sedemikian rupa... ?

Hakikatnya, tuntutan nafkah anaklah antara tuntutan yang paling banyak di mahkamah syariah di seluruh negara selepas berlakunya perceraian. Ramai yang beranggapan apabila putus hubungan dengan si ibu, tanggungjawab terhadap anaknya juga turut terputus. Sedangkan hakikatnya hubungan anak dan ayah tetap terjalin dari pandangan agama.

Nafkah terhadap anak -pakaian, makan minum, tempat tinggal, pendidikan- akan berterusan sehinggalah anak-anak boleh berdikari. Anak lelaki sudah selesai pendidikan dan bekerja manakala anak perempuan sehingga mereka berkahwin.

Dan antara tanggungjawabnya juga adalah menjadi wali perkahwinan anaknya.

Kerana itulah, antara kes-kes yang menjadi cemuhan saya adalah kes tuntutan anak dan nafkah. Bagi saya kes-kes seperti itu sepatutnya di selesaikan secara rundingan tanpa gangguan mana-mana pihak termasuk mertua dan keluarganya. Anak itu adalah anak mereka berdua. Tidak sepatutnya ada suara lain yang mengganggu proses rundingan tersebut.

Melainkan jika mendatangkan mudarat besar terhadap kebajikan anak-anak; "yang lain-lain sila jauhkan diri" sepatutnya menjadi selogan kes tuntutan anak dan nafkah di mahkamah.

Kerana itulah saya terkejut membaca berita ini. Akibat dari campurtangan keluarga.

Bilakah kisah seperti ini akan berakhir??? Saya tidak mempunyai jawapannya. Tapi itulah antara yang bermain difikiran saya, semasa menikmati cheese cake ulangtahun Majdi yang ke 2 semalam.

1.3.09

"See You In Court!!"

...Demikianlah buat kesekian kalinya ucapan terakhir yang selalu saya ucapkan kepada pelajar-pelajar kursus Psikologi Forensik USM; pada kelas terakhir mereka. Setelah 10 jam perbincangan berkaitan undang-undang dan tatacara keterangan di mahkamah serta peraturan berkaitan dengannya, saya percaya pelajar-pelajar tersebut sudah bersedia untuk hadir ke mahkamah.

Sebenarnya agak sukar, sebagaimana yang saya tulis sebelum ini; berbincang undang-undang dengan orang yang tidak mendapat latihan khusus dalam bidang ini. Apatahlagi sekiranya perbincangan berkait rapat dengan tatacara serta prosedur di mahkamah.

Soalan yang sering diutarakan selalunya "apa rasional undang-undang sedemikian rupa"? Sedangkan itulah rupanya undang-undang yang digubal dan diterima pakai di mahkamah. Hendak tidak hendak, ianya mesti diikuti. Samada suka atau tidak.

Kehadiran di mahkamah misalnya, adalah sesuatu yang taboo bagi sesetengah orang. Bahkan ada sebahagian peguam (rakan saya semestinya)yang kali terakhir menjejakkan kaki di mahkamah adalah semasa diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara dahulu. 10 tahun yang lampau. Manakala sebahagian yang lain, berusaha juga untuk hadir ke mahkamah kerana mengiringi pelatih dalam kamar mereka yang baru diterima masuk sebagai peguam.

Manakala bagi peguam yang hadir ke mahkamah sekalipun, walaupun hebat dalam pemeriksaan semula saksi; jarang yang berlapang dada apabila dipanggil sebagai saksi di mahkamah.

Jika anda ingat, hatta mantan PM kita, Dr. Mahathir sendiri berbagai afidavit diikrarnya untuk mengelak diri dipanggil sebagai saksi dalam kes DSAI.

Kerana itulah, bagi saya persedian minda adalah teramat penting bagi pelajar-pelajar bakal saksi pakar itu. Agar nanti keterangan yang diberi adalah keterangan yang benar dan tidak memihak. Serta boleh membantu mahkamah mencapai keputusan yang adil.
Blog Widget by LinkWithin