20.7.08

Syabas Tuanku

Saya amat berbesar hati membaca berita ini:

Keputeraan Tuanku Mizan tanpa darjah kebesaran

KUALA TERENGGANU 19 Julai – Buat pertama kali, Istana Terengganu tidak menganugerahkan sebarang darjah dan pingat kebesaran negeri sempena Hari Keputeraan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin ke-46 yang disambut esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau diberitahu bahawa tiada istiadat penganugerahan kepada penerima darjah dan pingat kebesaran pada sambutan esok oleh Istana Terengganu, kira-kira sebulan lepas.

‘‘Saya tidak diberitahu mengenai sebab mengapa tiada pengurniaan darjah dan pingat kebesaran tahun ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak pasti jika terdapat kemungkinan pemilihan penerima dan istiadat pengurniaan akan diadakan selepas ini.

‘‘Setakat ini tiada penerima untuk darjah dan pingat kebesaran, kemungkinan istiadat akan dibuat selepas ini, saya belum diberitahu,” ujarnya.

Darjah kebesaran tertinggi di Terengganu ialah Darjah Seri Setia Sultan Mizan Zainal Abidin Terengganu yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menurut Mokhtar, seperti kebiasaan, Hari Keputeraan Sultan Terengganu akan disambut secara sederhana bermula dengan majlis tahlil dan doa selamat di masjid seluruh negeri malam ini.

Beliau memberitahu, majlis yang sama juga akan dilangsungkan di Istana Maziah di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari esok.

Sampaikan ada jenaka dipertutur dari mulut ke mulut. "Kamu berdiri di Chow Kit, baling secara rambang seketul batu, nescaya batu tersebut akan jatuh di atas kepala seorang Datuk." Malah ada yang menambah "Datuk tadi ambil batu yang kena kepalanya, dibalingkan ke atas, nescaya akan terkena kepala Tan Sri lain pula.".

Sebenarnya bukan jenakapun. Ia adalah realiti kehidupan di Malaysia. Entah kebetulan mungkin, kerana kita mempunyai sistem beraja yang paling ramai atau kerana pemurahnya raja-raja, maka bersesak-sesak datuk-datuk dan tan seri-tan seri dalam negara kita.

Sampai kepada peringkat, kita tidak dapat membezakan yang mana satu datuk original.

Apapun, tahniah diucapkan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan terengganu ke 46. DAULAT TUANKU.

2 comments:

Mohd. Abd. Rashid Bin Yah said...

orang zaman dahulu dikurniakan darjah kebesaran oleh raja-raja melayu oleh kerana mempertaruhkan nyawa mereka demi negara. tapi orang sekarang mendapat anugerah kebesaran hasil dari pembohongan, penipuan, mengampu malah yang menyanyi entah apa-apa pun boleh datuk. saya hanya tunggu dapat pangkat 'datuk' kepada cucu sahaja la.

Nik Bahrum Bin Nik Abdullah said...

Betul. Saya sendiri pernah cuba semasa keluar makan dengan isteri di sebuah hotel di KL. Pelayan datang mengambil pesanan ditujukan kepada saya. Dengan bergurau saya kata "Cuba tanya Datin", sambil saya menunjuk kepada isteri.

Sampai kesudah hari tu, saya dipanggil datuk dan datin kepada isteri.

Bayangkan!! Saya ketika itu dalam usia 30 tahun, orang sudah tak boleh nak beza antara Datuk dengan datuk tiruan.

Dunia....dunia.

Blog Widget by LinkWithin