13.7.09

Hati Sudah Dihala Ke Manek Urai

Alhamdulillah, nampaknya hasrat saya untuk bersama teman-teman peguam lain bertugas di Manek Urai esok dikabulkan tuhan. Insya Allah jika tidak ada aral melintang, petang ini bertolaklah saya ke sana.

Saya dijadualkan bertugas di UPU Chuchoh Puteri. Dan kebetulan pada hari Sabtu lepas semasa bertugas, kes pertama melibatkan isu 'kepolisian' dan orang kampung terjadi di situ. Sekurang-kurangnya memudahkan saya mengenali kepala-kepala di situ.

Ummi akan turut serta. Dan dijangkakan buat kali pertama beberapa peguam muslimat juga akan turut serta. Memang tepatlah kalau dikatakan PRU ini dijadikan medan praktikal peguam berhadapan dengan masyakat (masih ingat Law & Society?).

Sebenarnya kalau mengikut perancangan asal saya saya tidak mungkin dapat ke MU esok sebagaimana alasan dalam tulisan sebelum ini. Ditakdirkan tuhan, atas sebab-sebab yang tidak terjangkau dek kudrat manusia, kes hanya dijalankan sehari sahaja; kelmarin. Tuan Abdul Razak, pendakwa yang mengendalikan kes sempat berbisik dengan saya "Sampai juga hasrat nak ke MU".

Alhamdulillah.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin