6.3.08

Undi Pos

Sejak awal minggu lagi petugas-petugas pilihanraya bagi undi pos sudah bekerja. Bermula dengan pengeluaran kertas undi di pejabat-pejabat tanah serta pemerhatian ke atas pelaksanaan pengundian pos di kem-kem tentera dan polis. Bermacam-macam ragam cara pelaksanaannya. Maklumlah bukan semua orang yang berpeluang mengundi pos. Malah yang namanya tersenarai pun, kadang-kadang mendakwa tak pernah mengundi.

Ada dua perkara menarik berkenaan dengan undi pos:

  1. Pengundi boleh memilih samada hendak mengundi di bilik yang disediakan ataupun boleh juga membawa keluar sampul undi untuk mengundi secara bersendirian di mana sahaja yang dia suka dengan syarat sampul undi tersebut mesti sampai ke bahagian pilihanrayanya sebelum waktu pengundian ditutup.
  2. Setiap pengundi pos perlu mengisi dan menyertakan Borang 2 di dalam sampul yang dikembalikan berserta kertas undi. Borang 2 tersebut bertulis antaranya "Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa saya telah menerima kertas undi yang bernombor seperti di atas dan sampul yang mengandungi kertas undi itu".

Saya tidak mahu mengulas berkenaan dengan tatacara pengundian tersebut. Apa yang bermain difikiran saya adalah berkenaan dengan kerahsian pengundian.

Selama ini apa yang kita tahu bahawa setiap undi adalah rahsia agar setiap warganegara boleh menjalankan tanggungjawab tersebut tanpa takut dan bimbang. Oleh kerana itulah SPR akhirnya akur dengan tuntutan agar tiada nombor siri dicatatkan pada kertas undi.

Itu untuk orang awam. Undi pos kebanyakannya adalah untuk tentera dan polis yang kesemuanya makan gaji dan bekerja dengan kerajaan yang dijaga oleh Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan.

Apakah mungkin, jika itu keadaannya undi tersebut boleh diberikan dengan bebas kepada bukan parti kerajaan. Mungkin ada yang betul-betul berani. Tapi bagi yang takut? Majoritinya akan memangkah kerajaan yang berkuasa.

Oleh itu, atas dasar menjamin kebebasan bersuara dan mengundi rakyat, sebagaimana yang dijamin perlembagaan, hapuskanlah sistem undi pos tersebut jika kamu betul-betul berani.

No comments:

Blog Widget by LinkWithin