Skip to main content

Kemenangan Awal - N 05 - Kijang

Terlebih dahulu diucapkan setinggi tahniah kepada Puan Wan Ubaidah binti Omar yang telah menang tanpa bertanding bagi kerusi N 05 Kijang. Saya berada bersama beliau dalam dewan penamaan calon di Sek. Menengah Kebangsaan Pengkalan Chepa 1 ketika keputusan tersebut diisytiharkan oleh RO. Sekilas ucapan tahniah terus diucapkan atas kemenangan tersebut.

Sebetulnya banyak kejadian menarik berlaku pagi tadi. Saya akan catatkan disini antaranya.

1. Saya telah dilantik untuk menjadi pencadang kepada YAB Tuan Guru Dato' Menteri Besar merangkap panel peguam bagi calon-calon PAS kawasan Pengkalan Chepa. Urusan pengisian borang kesemua calon adalah menjadi tanggungjawab saya. Berbekalkan pengalaman sejak tahun 1995 lagi serta beberapa siri perbincangan dengan rakan-rakan peguam lain, Alhamdulillah urusan pengisian borang tersebut dapat diselesaikan tanpa sebarang masalah, walaupun 3 malam berturut-turut tidur tidak nyenyak.

2. Saya telah mengemukakan 3 bantahan secara bertulis apabila masa untuk mengemukakan bantahan dibuka pada jam 10 pagi. Secara khususnya:

1. Terhadap calon N 06 Chempaka yang mengemukakan borang pencalunan tanpa menurunkan tandatangan beliau pada borang tersebut - Bantahan tersebut ditolak atas alasan calon yang hendak bertanding telah hadir sendiri dan menunjukkan hasrat untuk bertanding.

2. Terhadap calon P 020 Pengkalan Chepa berkenaan dengan status pekerjaannya yang dikatakan sebagai pesara - Bantahan tersebut ditolak apabila beliau menunjukkan sekeping surat peletakan jawatan.

3. Terhadap calon N 05 Kijang atas alasan beliau merupakan seorang yang tidak layak kerana telah dikenakan perintah kebangkrapan. Alasan ini telah diterima oleh RO apabila dikemukakan bukti perintah tersebut yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam bertarikh Januri 2007.

3. Saya berpendapat keputusan RO terhadap bantahan 1 di atas adalah tidak tepat kerana ianya bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Tapi keputusan RO dalam perkara tersebut adalah muktamad dimana rayuan hanya boleh dibuat melalui petisyen.

Itulah gambaran umum apa yang terjadi sebentar tadi. Insya Allah kalau ada masa saya akan ceritakan dengan lebih terperinci.

Comments

Anonymous said…
Takbir!!!

Popular posts from this blog

Nikah Batin

Nikah adalah upacara agama. Ianya adalah sesuatu yang amat suci. Ia adalah permulaan untuk membentuk sebuah keluarga yang sempurna; ayah, ibu dan anak-anak. Lebih besar lagi, persemendaan hasil dari perkahwinan yang sah menjadi asas kepada wujudnya sebuah masyarakat yang berfungsi. Setiap ajaran agama di dunia - lebih-lebih lagi Islam - amat menitikberatkan soal nikah. Tidak cukup dengan pendaftaran sibil, pasangan dinikahkan juga mengikut tradisi masing-masing. Pasangan yang melanggar norma ini, dipandang jelek oleh masyarakat hatta oleh masyarakat barat yang terkenal dengan kemajuan kebendaan. Tapi hari ini, saya dikejutkan dengan berita ini - Nikah Batin - !!! Jika sebelum ini hanya pemberitaan khabar angin tentang nikah batin oleh beberapa ajaran tarikat sesat, tetapi hari ini sudah sampai di mahkamah; bertujuan untuk mengesahkan nikah tersebut. Ringkas sungguh nikahnya. Tidak perlu wali, jurunikah. Hanya bersaksi Allah sahaja. Saya tercari-cari juga dalam kitab-kitab muktabar ber...

Susur Galur Saya

Saya percaya ramai di kalangan kita; apabila ditanya tentang nama-nama nenek moyang hanya dapat menyebut sekadar dua atau tiga lapis sahaja iaitu sekadar tingkatan moyang. Selebihnya? Wallahu a’lam. Bagi kebanyakan orang urusan tersebut tidaklah sepenting mana, tapi bagi sesetengah yang lain susur galur inilah jati diri mereka. Bagi diri saya sendiri, saya bertuah sebenarnya kerana sekurang-kurangnya 13 lapisan saya ketahui iaitu sehingga ke awal abad 17. Senarainya adalah seperti berikut: Nik Bahrum Bin Nik Abdullah bin Raja Ahmad bin Raja Mat bin Raja Abdullah bin Raja Senik bin Raja Kecik bin Raja Mohamad bin Raja Abd Rahman bin Raja Kecil Sulong bin Raja Omar bin Raja Sakti. Manakala di sebelah ibu pula saya adalah anak kepada Nik Syamsiah binti Nik Som bin Raja Senik bin Raja Husin bin Raja Bongsu bin Raja Senik dan seterusnya sebagaimana susur galur sebelah bapa. Setakat ini yang saya belum jelas adalah susur keturunan sebelah Tokku (ibu Nik Abdullah) kerana se...