"Perarakan ke KLCC ditukar ke pejabat PasKUALA LUMPUR 13 Jun - Tindakan pantas polis berjaya menghalang kira-kira 1,500 penunjuk perasaan daripada parti pembangkang untuk berarak ke Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bagi membantah kenaikan harga minyak.
Ekoran itu perarakan yang bermula di Masjid Jamek Kampung Baru dan dijadualkan ke KLCC selepas solat Jumaat kira-kira pukul 2.10 petang hari ini ditukar ke Ibu pejabat Pas Pusat, Jalan Raja Laut.
Tiada tangkapan atau penyemburan gas pemedih mata dilakukan dalam perarakan sejauh satu kilometer itu yang berakhir kira-kira pukul 4 petang.
Seramai 889 pegawai dan anggota polis daripada Unit Simpanan Persekutuan (FRU), Cawangan Khas, Unit Udara, trafik dan tugas am dikerahkan bagi mengawal perhimpunan dan keadaan lalu lintas.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata, polis berjaya mengawal perarakan itu dengan baik tanpa kejadian tidak diingini berlaku.
"Polis hanya memantau perarakan ini dengan meletakkan anggota di Kampung Baru dan KLCC.
"Kita tidak mahu mengambil tindakan untuk mengelakkan keadaan tidak terkawal dan menjadi ganas," katanya ketika dihubungi.
Antara pemimpin Pas yang hadir dan berucap ialah Naib Presidennya, Mohamad Sabu dan Ketua Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abdul Rahman berkata, beliau berpuas hati dengan kawalan keselamatan yang dijalankan.
Katanya, berlaku kesesakan lalu lintas di Jalan Sultan Ismail dan Raja Laut kerana polis terpaksa menutup laluan tersebut sementara bagi mengawal keselamatan.
"Perhimpunan ini tiada permit, mereka hanya hantar surat pada Selasa lalu untuk memberitahu dan bukan permohonan," katanya.
Ditanya sekiranya polis akan membuat tangkapan terhadap mereka yang terlibat, beliau menegaskan, perkara itu akan disiasat terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan diambil."Utusan Malaysia 14/6/2008
Apabila saya membaca berita tersebut, jelas kepada saya bahawa sebarang demontrasi yang dibuat termasuk Himpunan BERSIH atau HINDRAF boleh dijalankan dengan aman sekiranya pihak polis tidak membuat gangguan.
Ianya juga memberi gambaran bahawa sekiranya pihak Polis menjalankan tugas hakiki mereka iaitu menjaga keselamatan, tidak ada sebab kenapa lain-lain demontrasi tidak boleh diadakan. Tidak timbul isu demontrasi akan menyebabkan ancaman keselamatan kerana pihak polis ada untuk mengawalnya.
Yang timbul selama ini adalah kerana pihak polis yang memulakan provokasi. Rakyat Malaysia sebagaimana yang kita tahu adalah rakyat yang sedia berlemah lembut. Mereka tidak akan membuat onar tanpa sebab-sebab yang tidak munasabah.
Semoga tindakan itu dapat dijelmakan sekali lagi dalam Himpunan Sejuta Rakyat 7 Julai nanti.
Nota : Gambar-Gambar dipetik dari KLPOS
Comments